
PROJEK Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang menghubungkan Shah Alam dan kawasan sekitarnya dijangka beroperasi sebelum Jun tahun ini (2026) selepas semua proses ujian, pentauliahan dan penyelesaian isu teknikal dimuktamadkan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ketika ini dua kumpulan tren melibatkan 14 daripada 22 tren sudah selesai menjalani ujian larian tanpa gagal (fail-free run, FFR), manakala baki lapan tren lagi sedang menjalani ujian sama selama 22 hari.
Ujian, Pentauliahan APAD
Loke berkata, selepas ujian FFR selesai sepenuhnya, proses seterusnya adalah ujian dan pentauliahan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Semuanya dijangka disiapkan dalam masa satu hingga dua bulan akan datang. Sasaran baharu diletakkan adalah sekitar Mac tahun ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan terdapat beberapa isu teknikal yang masih perlu diselesaikan sebelum laluan itu boleh dibuka kepada orang ramai.
Bukan Isu Rasionalisasi Kos
Dalam perkembangan sama, Loke menafikan kelewatan pengoperasian LRT3 mempunyai kaitan dengan langkah rasionalisasi kos projek sebelum ini.
Menurut beliau, kelewatan yang berlaku ketika ini berpunca daripada isu teknikal yang timbul ketika fasa ujian sistem, dan bukan akibat pengurangan skop atau kos pelaksanaan projek pada 2018.
Pada masa sama, Prasarana Malaysia Berhad sedang mempercepatkan penyempurnaan semua ujian berkaitan supaya laluan tersebut dapat dibuka lebih awal dari Jun.
Laluan Penting Shah Alam – Klang
LRT3 ialah projek penting bagi meningkatkan kesalinghubungan pengangkutan awam di koridor Shah Alam – Klang – Bandar Utama, sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut.
Dengan sasaran operasi sebelum pertengahan tahun ini, orang ramai kini menantikan pembukaan rasmi laluan yang sudah beberapa kali mengalami penangguhan.
SUMBER: BeritaHarian



