
JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil tindakan tegas termasuk merampas dan menyita motosikal individu yang melakukan aktiviti ‘mat rempit’ di kawasan balai perlepasan terminal baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, arahan sudah dikeluarkan kepada JPJ untuk melaksanakan operasi penguatkuasaan secara besar-besaran bagi membendung kegiatan tersebut daripada terus berleluasa.
Menurut beliau, tindakan agresif itu perlu bagi memastikan keselamatan orang awam dan imej kemudahan awam tidak tercalar akibat perbuatan tidak bertanggungjawab.
Apa yang berlaku ini bukan sahaja membahayakan nyawa, malah sangat memalukan,” katanya.
Ancaman Keselamatan dan Imej Negeri
Anthony turut menegaskan bahawa tindakan merempit di kawasan lapangan terbang boleh dianggap sebagai satu bentuk sabotaj terhadap keselamatan dan ekonomi negeri.
Beliau berkata, kerajaan sudah membelanjakan hampir RM450 juta bagi menaik taraf LTSIP untuk meningkatkan konektiviti udara serta merangsang pembangunan ekonomi dan pelancongan di Kelantan.
Namun, kegiatan tidak bermoral di kawasan terminal berkenaan boleh menjejaskan imej negeri serta keyakinan pelancong.
Perketat Kawalan Akses
Dalam masa sama, beliau turut meminta Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) supaya memperketat kawalan laluan keluar masuk ke terminal bagi mengelakkan kawasan itu terus menjadi lokasi aktiviti haram.
Langkah penguatkuasaan bersepadu diharap dapat membendung gejala ‘mat rempit’ sekali gus memastikan keselamatan pengguna lapangan terbang terus terjamin.
SUMBER: SinarHarian







