
STELLANTIS Malaysia memperkenalkan kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik Leapmotor C10 PLUS versi dipertingkat bersama edisi terhad Leapmotor C10 PLUS Night Edition.
Kenderaan elektrik (EV) baharu itu menampilkan naik taraf trenkuasa yang menawarkan kecekapan pengecasan lebih tinggi, jarak pemanduan lebih jauh dan prestasi dipertingkat, pada harga bermula RM148,000.
Platform 800V, Jarak 510KM

Leapmotor C10 PLUS kini menggunakan platform 800V bersama bateri lebih besar berkapasiti 81.9kWj, membolehkan jarak pemanduan sehingga 510km (WLTP).
Output kuasa turut meningkat kepada 299hp dan tork 360Nm, berbanding 215hp dan 320Nm sebelum ini, manakala pecutan 0-100kmj sepantas 6.2 saat dengan kadar penggunaan tenaga15.1Wj/km.
Pengecasan pantas (DC) turut dinaik taraf kepada 180kW, membolehkan pengecasan 30 – 80 peratus diselesaikan dalam tempoh 22 minit.
Bahagian kabin mengekalkan rekabentuk moden dengan material mesra alam OEKO-TEX® Standard 100.
Pilihan warna ialah Pearly White (putih), Canopy Grey (kelabu) dan Tundra Grey (kelabu) dengan tona dalaman hitam, manakala Glazed Green (hijau) dipadankan eksklusif dengan dalaman Camel Brown (coklat).
Night Edition Terhad 50 Unit
Leapmotor C10 PLUS Night Edition dihadkan hanya 50 unit dengan menampilkan kemasan dua tona dan bumbung hitam, kit badan aerodinamik baharu serta rim 20 inci Trident berwarna hitam kusam.
Harga Leapmotor C10 PLUS ialah RM148,000 (MSRP), manakala Night Edition dengan tambahan RM8,000.
Rebat Sehingga RM13,000

Pelanggan boleh menikmati rebat RM9,000 untuk kedua-dua model, selain subsidi insurans RM4,000 untuk pembeli terawal, menjadikan jumlah penjimatan sehingga RM13,000. Promosi sah sehingga 31 Mac 2026.
Kedua-dua model kini ditayangkan kepada umum di Sunway Pyramid (LG2, Orange Concourse) pada 27 Februari – 1 Mac 2026.
Leapmotor C10 PLUS hadir dengan waranti kenderaan enam [6] tahun atau 150,000km, dan waranti bateri [8] tahun atau 160,000km (mana satu tiba dulu).







