
KTM memperkenalkan KTM 890 Adventure R Rally 2026 yang hadir dalam unit terhad untuk pasaran dunia sebagai ekspresi paling tajam bagi kejuruteraan rali KTM yang dibangunkan daripada DNA juara Dakar.
Model itu diletakkan sebagai jentera advencer kelas pertengahan yang paling berorientasi prestasi dalam segmen.

Walaupun model KTM 890 Adventure R sudah menjadi penanda aras bagi prestasi kembara off-road, varian Rally direka khas untuk penunggang yang mahukan suspensi tahap kilang, ergonomik spesifikasi rali dan komponen tanpa kompromi terus dari bilik pameran.
Dibina untuk menakluk dan bukan sekadar merentasi rupa bumi, model itu mendapat ilham langsung daripada jentera rali Red Bull KTM Factory Racing.
Suspensi WP Pro Components

Sistem suspensi model itu diambil terus daripada program perlumbaan WP Pro Components yang membawakan teknologi perlumbaan sebenar ke segmen advencer dan bukan sekadar komponen jalanan diubah suai.
Fork WP Xplor Pro ringan dengan teknologi Cone Valve berfungsi harmoni dengan absorber WP Xplor Pro.
Gabungan itu memberikan jarak travel 270mm unggul dalam kelas, dan prestasi redaman luar biasa di kawasan rupa bumi paling ekstrem.
Walaupun menawarkan kawalan bahagian depan mantap dan rintangan hentakan bawah cemerlang, aspek keselesaan tetap diutamakan bagi memberikan kestabilan dan ketenangan ketika memecut, walaupun dimuat beg bagasi atau penumpang.
Trenkuasa, Mod Rally

Nadi jentera ialah enjin Parallel-Twin 889cc yang kompak dengan output kuasa 106ps dan tork 100Nm @ 6,500rpm.
Fokus rali motosikal diperkukuh dengan sistem elektronik canggih seperti Offroad ABS, pelbagai mod tunggang seperti Rally Mode, Kawalan Traksi (TC), dan regulasi gelincir Motor Slip Regulation (MSR).
Penunggang juga boleh melaras prestasi secara langsung melalui paparan TFT 5 inci yang dilengkapi unit konektiviti, dan navigasi belok demi belok dipertingkat Turn-by-Turn+.
Rekabentuk, Waranti Premium

Dari sudut visual, edisi 2026 menampilkan rekabentuk baharu yang diilhamkan daripada Red Bull KTM Factory Racing, dan dilengkapi ekzos Akrapovič Slip-on Line.
Penampilan itu mengimbas kembali jentera juara Dakar sebelum ini dalam menghasilkan motosikal yang sedia menghadapi sebarang rupa bumi.

Bagi menambah keyakinan terhadap prestasi, KTM 890 Adventure R Rally 2026 didatangkan dengan waranti kilang KTM Premium Manufacturer’s Warranty yang baru diperkenalkan.
Penunggang akan mendapat manfaat perlindungan sehingga empat [4 ]tahun yang disokong reliabiliti KTM yang terbukti di litar lumba. Bagi memastikan waranti kekal sah, servis berkala mesti dijalankan mengikut pelan servis di pengedar sah KTM.
KTM 890 Adventure R Rally 2026 akan mula dikeluarkan di Austria pada Mac ini.
Spesifikasi Utama KTM 890 Adventure R Rally
- Enjin Parallel-Twin 889cc dengan outpu kuasa 106ps, dan tork 100Nm
- Suspensi WP Xplor Pro dengan jarak travel 270mm)
- Ekzos Akrapovič Slip-on Line
- Pelana rali dan peg kaki Factory Racing
- Pakej Tech Pack merangkumi Rally Mode, Quickshifter+, Kawalan Jelajah dan regulasi gelincir Motor Slip Regulation (MSR)
- Offroad ABS dan pelbagai Mod Tunggang
- Panel meter TFT 5 inci dengan navigasi Turn-by-Turn+
- Roda Heavy-Duty (2.15×21 inci (depan), dan 4.00×18 inci (belakang)
- Pelindung tangki karbon
- Sproket belakang Supersprox-Stealth
- Grafik rali baharu dengan rekabentuk tangki bahan api dwi-warna
- Waranti KTM Premium Manufacturer’s Warranty hingga empat tahun








