PROGRAM mingguan KL Car Free Morning (KLCFM) tidak akan diadakan pada dua Ahad berturut-turut, iaitu 22 dan 29 Mac 2026. Perkara itu diumumkan jawatankuasa penganjur KLCFM berikutan sambutan cuti Hari Raya Aidilfitri.
Acara yang biasa berlangsung setiap pagi Ahad di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur itu dibatalkan bagi memberi laluan kepada musim perayaan dan pergerakan orang ramai sepanjang tempoh cuti tersebut.
Pengumuman Cuti Tambahan Hari Raya

Awal minggu ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan satu cuti umum tambahan sempena Hari Raya Aidilfitri, bergantung keputusan melihat anak bulan.
Jika 1 Syawal jatuh pada Jumaat (20 Mac), maka Isnin (23 Mac) akan menjadi cuti umum tambahan. Namun jika Hari Raya jatuh pada Sabtu (21 Mac), maka Jumaat (20 Mac) akan diisytihar sebagai cuti umum tambahan.
Laluan Bandar Dibuka untuk Aktiviti Rekreasi

KL Car Free Morning ialah program rekreasi popular di ibu kota, yang mana laluan jalan raya sekitar pusat bandar sepanjang kira-kira 5km – 7km ditutup setiap pagi Ahad.
Sepanjang tempoh itu, laluan tersebut dibuka sepenuhnya kepada orang ramai untuk aktiviti seperti berbasikal, berlari, berjalan kaki dan bermain kasut roda tanpa gangguan trafik.
Program Dijangka Kembali April 2026
Susulan pembatalan dua minggu terakhir Mac, peminat aktiviti KLCFM dijangka perlu menunggu sehingga April nanti untuk menyertai semula acara tersebut.
Program ini sejak diperkenalkan menjadi antara inisiatif bandar dalam menggalakkan gaya hidup sihat dan memberi peluang kepada warga kota menikmati suasana pusat bandar tanpa kenderaan bermotor.








