PEMANDU Formula Satu (F1) dari Jepun, Yuki Tsunoda berdepan detik cemas apabila jentera Red Bull RB7 yang dipandu tiba-tiba terbakar ketika sesi demonstrasi di San Francisco, Amerika Syarikat (AS), hujung minggu lalu.
Aksi yang sepatutnya menjadi pertunjukan ‘donat’ penuh gaya di Marina Boulevard bertukar dramatik apabila bahagian belakang jentera era 2011 itu mula dijilat api.
Apapun, Tsunoda, 25, sempat keluar dari kokpit dengan selamat sejurus menyedari insiden tersebut, sebelum petugas keselamatan bertindak pantas memadam kebakaran.
Insiden itu berlaku di depan ribuan penonton yang awalnya menyangka sebahagian pertunjukan ‘show run’ Red Bull.
RB7 Juara Dunia 2011 Kembali Beraksi

Red Bull RB7 yang dipandu Tsunoda ialah jentera yang membawa Red Bull meraih gelaran dunia berganda musim 2011. Dalam acara sama, Tsunoda turut berkongsi pentas bersama bekas pelumba F1 dan rallycross, Scott Speed, pelumba off-road Ford, Mitch Guthrie serta bintang motocross gaya bebas (freestyle), Aaron Colton.
Sebelum api marak, Tsunoda sempat menghiburkan penonton dengan aksi pusingan tayar berasap tebal, simbolik kepada karakter agresif jentera V8 era tersebut.
Namun, kepulan asap kali ini bukan sekadar hasil ‘burnout’, sebaliknya berpunca kebakaran sebenar di belakang kereta.
Reaksi Peminat, Status Tsunoda Musim 2026

Di media sosial, ada peminat berseloroh mendakwa Tsunoda ‘terlalu beremosi’ selepas kehilangan kerusi perlumbaan tetapnya. Bagi musim 2026, beliau dipindahkan ke peranan pelumba uji dan simpanan Red Bull selepas tempatnya diganti Isack Hadjar pada penghujung musim 2025.
Tsunoda sebelum ini secara terbuka mengakui kecewa dengan keputusan tersebut, tetapi cuba menerima hakikat situasi baharu itu. Musim F1 2026 dijadual membuka tirai menerusi Grand Prix (GP) Australia di Albert Park, Melbourne pada 6 – 8 Mac ini.
Masih belum pasti sama ada Tsunoda akan kembali ke grid sebagai pelumba sepenuh masa dalam masa terdekat.
Demonstrasi Berisiko, Tetapi Terkawal

Insiden seperti itu bukan perkara luar biasa dalam acara demonstrasi kerana jentera lama sering dipaksa beroperasi di luar parameter perlumbaan sebenar.
Faktor suhu, sistem bahan api dan komponen yang sudah berusia boleh menyumbang kepada risiko teknikal. Apapun, perkara paling penting adalah keselamatan pemandu terjamin dan tiada kecederaan dilaporkan.
Bagi Red Bull dan penganjur, insiden itu mungkin menjadi pengajaran tambahan dari aspek pemeriksaan teknikal, tetapi bagi peminat, ia kekal sebagai momen dramatik yang mengingatkan dunia F1 sentiasa penuh risiko, walaupun sekadar sesi ‘demo run’.
SUMBER: Motorsports.com














