HONDA memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) mini, Honda Super-N 2026, yang dibuat serentak di Britain dan Jepun.
Di Jepun, model itu dikenali sebagai Honda Super-ONE dan dijadual mula dijual akhir Mei 2026. Sebelum pelancaran rasmi, Honda akan mula menerima tempahan awal di Jepun bermula Khamis ini (16 April 2026).
Jualan Honda Super-N di Britain pula dijadual bermula Julai 2026. Tawaran EV segmen-A itu pada harga bawah £20,000 (RM106,735) dilihat berjaya memintas Volkswagen yang ketika ini sedang membangunkan EV mampu milik untuk pasaran Eropah.
Pembangunannya Super-N mengikut pendekatan Man-Maximum, Machine-Minimum (M/M) bagi memastikan aspek teknologi dan rekabentuk memenuhi keperluan pemandu serta penumpang.
Inspirasi Rekabentuk, Platform
Asas kejuruteraan hatchback EV itu menggunakan platform ringan daripada rangkaian kei-car Siri N yang popular di Jepun.
Dari sudut estetika, rekabentuk mengambil ilham model legenda 1980-an, iaitu Honda City Turbo II.
Penampilan luaran menyerlah dibentuk profil badan lebar, bampar lebih besar dan saluran aero yang menangkap pandangan bagi memberikan gambaran prestasi pemanduan yang dinamik.
Pada bahagian dalaman, kerusi sport direka teliti untuk sokongan dan keselesaan lebih baik.
Ruang dalaman turut menerima kemasan biru khas sebagai tribut kepada City Turbo II asal, manakala lampu ambien menerangi papan pemuka dengan cahaya biru sejuk pada malam. Warna lampu tersebut akan bertukar kepada ungu pekat apabila pemandu memilih mod BOOST.
Prestasi, Dinamik Pemanduan
Jurutera Honda menala sistem suspensi dan casis bagi memberikan prestasi dinamik lebih hebat dalam segmen EV mini.
Pengujian ekstensif dijalankan di pelbagai kondisi permukaan jalan raya di Jepun dan Britain untuk memastikan tahap kalibrasi sesuai dengan situasi pemanduan sebenar.
Satu ciri utama ditawarkan ialah mod BOOST yang berfungsi meningkatkan output kuasa serta-merta. Bagi membangkitkan emosi pemanduan, sistem Kawalan Bunyi Aktif (ASC) akan menjana bunyi enjin simulasi yang menarik.
Ini digabungkan dengan transmisi simulasi 7-kelajuan bagi memberikan respons segera EV, tetapi masih mengekalkan hubungan emosi pemanduan kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE).
Trenkuasa
Sistem pacuan Honda Super-N menggunakan unit e-Axle kompak dan cekap. Berat keseluruhan ringan menjadikan EV itu antara model paling ringan di Eropah, sekali gus menyumbang kepada dinamik pemanduan lincah dan mengujakan.
Kunci utama kepada pengalaman pemanduan mendebarkan ialah mod BOOST yang berfungsi meningkatkan output kuasa daripada e-Axle tersebut daripada 47kW (64 ps) kepada 70kW (95 ps) bagi menghamburkan potensi prestasi sepenuhnya.
- Motor elektrik tunggal kompak e-Axle
- Output kuasa 47kW (64 ps) sehingga 70kW (95 ps) melalui mod BOOST
- Transmisi simulasi 7-kelajuan
- Jarak pandu elektrik mod bandar 320km
- Jarak pandu gabungan 206km


























