
HONDA mengumumkan pelancaran SUV ZR-V yang telah dipertingkatkan untuk pasaran Jepun.
Model ini dijadualkan menemui pengguna pada hari Jumaat, 27 Mac dengan memperkenalkan beberapa pembaharuan penting bagi mengekalkan daya saingnya dalam segmen SUV.
Sejak diperkenalkan, ZR-V telah menerima maklum balas positif daripada pelanggan melalui reka bentuk yang pintar dan elegan serta menawarkan pengalaman pemanduan yang berkualiti tinggi lagi mengujakan.

Bagi mengukuhkan lagi barisan model sedia ada, Honda turut memperkenalkan edisi khas baharu yang dikenali sebagai CROSS TOURING.
Varian ini membawakan gaya hidup aktif bagi memenuhi kepelbagaian gaya hidup serta pilihan pelanggan yang lebih luas.
Integrasi Teknologi Google Built-in Melalui Honda CONNECT

Antara pembaharuan utama bagi model e:HEV Z termasuk edisi khas BLACK STYLE dan CROSS TOURING adalah penggunaan paparan Honda CONNECT 9 inci yang kini menyokong fungsi Google built-in.
Sistem ini merangkumi ciri Google Assistant, Google Maps dan Google Play yang menghubungkan pergerakan kenderaan dengan aktiviti harian pengguna secara lancar.
Selain itu, ruang kabin kini dilengkapi dengan slot USB Type-C yang menyokong fungsi Power Delivery (PD) serta lampu ambien pada ruang kaki tempat duduk hadapan.
Perincian Edisi Khas BLACK STYLE dan CROSS TOURING

Varian BLACK STYLE hadir dengan perubahan pada bahagian gril hadapan yang mana corak menegak sebelum ini telah digantikan dengan corak sarang lebah berwarna Berlina Black.
Identiti sporty dan premium model ini diperkukuhkan lagi dengan penggunaan komponen eksklusif berwarna Crystal Black Pearl pada garnish bampar hadapan, pelindung bucu bampar, garnish sisi, pelindung gerbang roda, antena sirip yu, cermin sisi dan pemegang pintu luar.
Melengkapkan gaya ini adalah penggunaan rim aluminium bersaiz 18 inci dengan kemasan Berlina Black serta dark machined clear coat.

Bagi varian CROSS TOURING, fokus diberikan kepada imej yang aktif untuk kegunaan di bandar mahupun aktiviti off-road.
Ia menampilkan gril hadapan corak sarang lebah dengan kemasan cat matte gray metallic serta rim aluminium 18 inci berwarna hitam kusam .
Bahagian dalaman menampilkan penggunaan warna greige yang dipadankan dengan jahitan berwarna jingga bagi mewujudkan ruang kabin yang segar dan terbuka.
Trenkuasa Hibrid, Tiada Turbo
ZR-V hadir secara eksklusif dengan trenkuasa 2.0 liter hibrid dan pilihan pacuan dua roda (FF) atau semua roda (4WD). Penawaran ini bermakna pengguna di Jepun tidak lagi mempunyai pilihan enjin 1.5 liter turbo.
Enjin Pembakaran Dalaman (ICE):
- Enjin: LFC 2.0L Direct Injection Atkinson Cycle, 4 silinder sebaris DOHC
- Output Maksimum: 141 ps@6,000 rpm
- Tork Maksimum: 182Nm@4,500 rpm
- Kapasiti Tangki Bahan Api: 57 liter
Motor Elektrik (Motor Penjana dan Motor Pemacu):
- Kod Motor: H4
- Jenis: Motor segerak AC
- Output Maksimum: 135 kW (184 ps)@5,000 hingga 6,000 rpm
- Tork Maksimum: 315Nm@0 hingga 2,000 rpm
- Bateri Utama: Litium-ion (72 sel)
Transmisi dan Pacuan:
- Transmisi: Electric continuously variable transmission (e-CVT)
- Sistem Pacuan: Pacuan Roda Hadapan (FF) atau Pacuan Empat Roda (4WD)

Kadar Penggunaan Bahan Api (WLTC):
- FF: 22.0 km/l hingga 22.1 km/l
- 4WD: 20.5 km/l hingga 20.8 km/l
Harga Jualan ZR-V
Di Jepun, ZR-V dijual daripada 3.7 juta yen (RM93 ribu) sehingga 4.7 juta yen (RM119 ribu).
- e:HEV X (FF): 3,707,000 yen (RM93,601.75)
- e:HEV X (4WD): 3,927,000 yen (RM99,156.75)
- e:HEV Z (FF): 4,307,600 yen (RM108,766.90)
- e:HEV Z (4WD): 4,527,600 yen (RM114,321.90)
- e:HEV Z Special Edition BLACK STYLE (FF): 4,479,200 yen (RM113,100.00)
- e:HEV Z Special Edition BLACK STYLE (4WD): 4,677,200 yen (RM118,099.30)
- e:HEV Z Special Edition CROSS TOURING (FF): 4,529,800 yen (RM114,377.45)
- e:HEV Z Special Edition CROSS TOURING (4WD): 4,727,800 yen (RM119,376.95)
Honda ZR-V e:HEV Z Special Edition CROSS TOURING
Honda ZR-V e:HEV Z Special Edition BLACK STYLE





























