GERGASI automotif Jepun, Honda secara rasmi mengumumkan penstrukturan semula besar-besaran terhadap strategi elektrifikasi kenderaan.
Langkah drastik itu melibatkan pembatalan pembangunan dan pelancaran tiga model kenderaan elektrik (EV) yang asalnya dirancang untuk pengeluaran di Amerika Utara bagi 2026.

Keputusan tersebut diambil selepas mengambil kira perubahan landskap perniagaan global dan faktor luaran mencabar dan apa mengejutkan, Honda mengakui tidak dapat bersaing!
Model-model yang sah dibatalkan pengeluaran ialah Honda 0 SUV, Honda 0 Saloon dan Acura RSX.
Honda menjelaskan, meneruskan pengeluaran dalam situasi permintaan EV menurun mendadak ketika ini hanya akan mengundang kerugian lebih besar pada masa depan. Keputusan berkenaan turut memberi kesan kepada perancangan global jenama itu.
Faktor Semakan Strategi
Walaupun Honda kekal komited terhadap matlamat neutral karbon menjelang 2050, pengeluar itu mengakui wujud kekangan besar dalam segmen kereta penumpang kompak.
Antara punca utama semakan itu adalah kemerosotan keuntungan dalam perniagaan automotif akibat perubahan dasar tarif di Amerika Syarikat (AS). Dasar tersebut memberi kesan kepada kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) dan hibrid.
Selain itu, sumber yang sebelum ini banyak dialihkan kepada pembangunan EV menyebabkan daya saing produk Honda di Asia sedikit terjejas.
Di AS sendiri, pengembangan pasaran EV didapati semakin perlahan berikutan pelonggaran peraturan bahan api fosil dan semakan semula subsidi EV daripada Kerajaan. Hal itu memaksa Honda menilai semula pelaburan besar dilakukan.
Persaingan Pasaran China, Asia
Di pasaran China dan Asia pula, nilai pilihan pelanggan kini beralih daripada aspek fizikal seperti penjimatan bahan api dan ruang dalaman kepada perisian yang terus berkembang untuk memenuhi cita rasa pelanggan.
Persaingan jadi semakin sengit dengan kemunculan pengeluar EV baharu yang memanfaatkan kekuatan dalam pembangunan kenderaan jangka pendek dan Kenderana Ditakrifkan Perisian (Software-Defined Vehicles, SDV) seperti Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS).
Dalam persekitaran persaingan sengit itu, Honda mengakui tidak mampu menawarkan produk yang memberikan nilai untuk wang yang baik berbanding pengeluar EV baharu tersebut, sekali gus menyebabkan penurunan daya saing pengeluar.
Kesan Kewangan, Kerugian Besar
Keputusan menghentikan projek EV membawa implikasi kewangan yang sangat besar.
Honda menjangka merekodkan kerugian daripada pelupusan dan kemerosotan nilai harta, loji, peralatan dan aset tidak ketara yang diperuntuk untuk tiga model EV tersebut.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026, Honda mengunjurkan perbelanjaan operasi antara 820 bilion yen (RM20.3 bilion) hingga 1.12 trilion yen (RM27.7 bilion).
Ekuiti dalam kerugian sekutu pula mencecah 110 bilion yen (RM2.7 bilion) hingga 150 bilion yen (RM3.7 bilion).
Kerugian luar biasa bukan disatukan pula dianggarkan 340 bilion yen (RM8.4 bilion) hingga 570 bilion yen (RM14.1 bilion).
Secara keseluruhan, jumlah perbelanjaan tambahan atau kerugian berkaitan semakan strategi itu dianggarkan mampu mencecah sehingga 2.5 trilion yen (RM61.8 bilion).
Hala Tuju Masa Hadapan Fokus Hibrid
Sebagai langkah pemulihan, Honda akan menyusun semula kerangka strategik bagi membina semula daya saing.
Strategi utama kini beralih kepada memperkukuh perniagaan kenderaan hibrid, terutama di pasaran utama seperti Jepun dan AS. Honda juga merancang meluaskan barisan model di India yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi.
Bagi pasaran Asia lain, Honda bakal melancarkan kenderaan hibrid generasi baharu sambil mengoptimum agihan sumber syarikat.
Pengenalan EV pada masa depan akan dilaksana secara lebih fleksibel dengan memantau trend permintaan dan tahap keuntungan semasa.
Maklumat lebih terperinci mengenai penstrukturan semula strategi jangka sederhana dan panjang itu akan dibentangkan pada sidang akhbar Mei nanti.
Pemotongan Imbuhan Eksekutif Tertinggi
Susulan kerugian besar itu, barisan pengurusan tertinggi Honda secara sukarela melepaskan sebahagian daripada imbuhan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027.
Presiden dan Pengarah Wakil akan menerima pemotongan 30 peratus daripada imbuhan bulanan selama tiga bulan.
Ahli Jawatankuasa Pengurusan dan Naib Presiden Eksekutif berkaitan automotif pula dipotong 20 peratus daripada imbuhan bulanan selama tiga bulan.
Selain itu, Presiden dan Naib Presiden Eksekutif dipotong insentif jangka pendek (STI) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026.
Tindakan ini membawa kepada pengurangan keseluruhan imbuhan tahunan sebanyak 25 peratus hingga 30 peratus daripada jumlah asas.
Ini adalah langkah akauntabiliti terhadap pindaan ramalan pendapatan penyatuan setahun penuh yang merosot mendadak.



































