GREAT Wall Motor (GWM) Malaysia secara rasmi melancarkan kenderaan pelbagai guna (MPV) hibrid plug-in (PHEV) mewah, Wey G9 Hi4 PHEV yang menandakan satu lagi pencapaian penting dalam strategi peluasan jenama kenderaan tenaga baharu (NEV) pengeluar itu di pasaran tempatan.
Ditawarkan pada harga atas jalan (OTR) RM269,800, GWM Wey G9 Hi4 PHEV dipasang secara tempatan (CKD) di Malaysia dan turut dirancang sebagai hab eksport serantau ke pasaran Asean.
Prestasi Pintar dengan Teknologi Hi4 PHEV
GWM Wey G9 Hi4 PHEV dikuasakan sistem hibrid pintar Hi4 GWM yang menggabungkan enjin petrol turbo bersama dwi-motor elektrik, dengan output kuasa gabungan 442ps dan tork 642Nm.
MPV mewah itu mampu memecut 0 – 100kmj sepantas 5.7 saat, sambil mengekalkan kestabilan pemanduan menerusi sistem Kawalan Pemvektoran Tork Pintar (iTVC) yang menyesuaikan agihan kuasa mengikut permukaan jalan dan kondisi cuaca.
Dalam mod elektrik penuh, jarak pemanduan mencecah hingga 170km, manakala jarak keseluruhan melebihi 1,000km, menjadikan model itu sesuai untuk kegunaan harian dan perjalanan jarak jauh.
Kabin Kelas Pertama untuk Semua
Mengutamakan keselesaan tiga baris tempat duduk, GWM Wey G9 Hi4 PHEV membawa konsep ‘Kelas Pertama untuk Semua (First Class for All), dengan ruang kabin luas, panjang keseluruhan 5,050mm, jarak roda 3,085mm, dan lantai kabin rata bagi memudahkan pergerakan penumpang.
Kerusi depan menggunakan kulit Nappa lengkap fungsi ventilasi dan urutan, manakala barisan kedua menampilkan kerusi kapten ‘Graviti Sifar’ (Zero Gravity) dengan sokongan boleh laras elektrik. Barisan ketiga pula direka selesa untuk penumpang dewasa.
Senyap, Mewah dan Teknologi Tinggi
Tahap kebisingan kabin direkodkan hanya 63.4dB pada halaju 120kmj, hasil penggunaan kaca akustik dua lapisan, penebat bunyi berstruktur dan teknologi pembatalan bunyi aktif HALOSonic.
Sistem audio premium 21 pembesar suara 2,440W ditala khas untuk akustik kabin, yang menjanjikan pengalaman hiburan setaraf kenderaan mewah.
Selain itu, GWM Wey G9 Hi4 PHEV turut dilengkapi fungsi beban kepada kenderaan (V2L) 3.3kW dan kotak penyejuk berserta pemanas 12.5 liter yang boleh beroperasi 24 jam walaupun enjin dimatikan.
Keselamatan Komprehensif Tanpa Kompromi

Struktur badan menggunakan lebih 83.01 peratus keluli kekuatan tinggi, dengan kekuatan tegangan antara 1,500 hingga 2,000MPa, dan kekuatan bumbung hingga 12 tan.
MPV itu dilengkapi beg udara penuh untuk semua barisan tempat duduk dan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 2 membabitkan lebih 20 ciri keselamatan aktif bagi melindungi pemandu dan penumpang.
Warna, Waranti dan Manfaat Pemilikan
GWM Wey G9 Hi4 PHEV ditawarkan dalam tiga warna luaran:
- Aurora White (putih)
- Wisdom Grey (kelabu)
- Nebula Black (hitam)
Pilihan dalaman pula merangkumi:
- Dalaman hitam dengan bumbung kelabu
- Dalaman coklat dengan bumbung kelabu
Manfaat pemilikan standard adalah:
- Lima [5] tahun penyelenggaraan percuma
- Lima [5] tahun data sambungan percuma
- Pengecas dinding (Walbox) percuma
- Waranti kenderaan enam [6] tahun tanpa had perbatuan
- Waranti sistem hibrid lapan [8] tahun atau 180,000km
GWM Malaysia turut menawarkan kepada 1,000 pelanggan pertama skrin hiburan di tempat duduk baris kedua secara percuma.





































































































