KOKPIT terbuka, roda mudah tanggal dan kerusi tunggal adalah antara ciri eksklusif yang cukup sinonim dengan sesebuah kereta lumba Formula Satu (F1). Namun kebelakangan ini, muncul tuntutan yang mendesak ciri keselamatan tambahan kepada pemandu supaya dilindungi daripada serpihan dan gangguan lain ketika berlumba.
Ada banyak cadangan diusulkan, tetapi apa dinyatakan di bawah ini adalah antara penyelesaian yang sedang diteliti Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) menerusi rekacipta dipanggil 'Shield' (perisai).
Ciri baharu itu berupa cermin depan daripada material polikarbonat (baca: plastik), yang direka secara aerodinamik untuk membalut sekeliling kokpit terbuka, ataupun menutup keseluruhan kokpit. Namun, jika kokpit ditutup sepenuhnya, isu pengudaraan pula perlu diatasi supaya pemandu tidak kepanasan sepanjang perlumbaan akibat bahang enjin dan persekitaran.
LEBIH PRAKTIKAL BERBANDING 'HALO'
Dipersembahkan secara digital pada model Williams FW40 2017, cadangan itu kini diterima (sekurang-kurangnya buat masa sekarang) sebagai paling praktikal berbanding peranti 'halo' (gambar atas) berupa frem gentian karbon, yang dipasang mengelilingi kokpit. Namun, rupa peranti tersebut dilihat agak pelik dan seakan menghalang pandangan pemandu selain berisiko menyebabkan kemalangan dan kekalahan.
Walaupun cadangan awal 'Shield' itu diterima pakai FIA, ciri baharu tersebut masih jauh daripada penyelesaian akhir dan banyak lagi ujian perlu dilakukan. Ferrari sendiri akan melakukan ujian 'perisai' tersebut (sebelum ini dipanggil aeroscreen) semasa sesi latihan di Grand Prix Britain minggu depan. Jika tidak, penyelesaian akan kembali semula kepada rekabentuk peranti 'halo'.
Di bawah ini adalah gambaran artis, Giogio Piola dari Motorsport.com
SUMBER: Car Scoops
Leave a Reply