DUCATI memperkenalkan Ducati Formula 73 2026, iaitu cafe racer edisi terhad yang dihasilkan sempena meraikan ulang tahun ke-100.
Cafe racer itu adalah tribut kepada model ikonik Ducati 750 Super Sport Desmo yang pernah mencatatkan sejarah besar dalam dunia perlumbaan motosikal berasaskan pengeluaran.
Ducati Formula 73 dibangunkan dengan menggabungkan teknologi terkini bersama pesona asli jentera klasik bagi menarik minat peminat motosikal yang menghargai rekabentuk malar segar.
Inspirasi Sejarah, Kejayaan Imola
Kelahiran Ducati Formula 73 diilhamkan daripada kejayaan model Ducati Super Sport yang menjadi replika kepada jentera Ducati 750 Imola Desmo.
Pada 1972, pelumba Paul Smart (foto atas kiri) dan Bruno Spaggiari memenangi perlumbaan Imola 200 (juga dipanggil 200 Miglia) di Imola yang menjadi titik-tolak kepada dominasi Ducati dalam perlumbaan superbike sehingga kini.
Model asal Ducati 750 Super Sport Desmo juga memegang status sebagai motosikal jalanan Ducati pertama menggunakan sistem pemasaan injap desmodromik.
Elemen gaya hidup 1970-an yang penuh kreativiti dan pembaharuan budaya turut menjadi asas kepada pembangunan model tersebut.
Rekabentuk Cafe Racer Urban
Ducati Formula 73 2026 hadir dengan penampilan cafe racer urban yang langsing dan tangkas. Skema warna Silver (perak) dan Aqua Green (hijau) diambil terus daripada arkib sejarah pusat gaya Ducati, Centro Stile Ducati untuk menyamai rupa asal Ducati 750 Super Sport Desmo.
Satu perincian menarik ialah jalur emas vertikal pada tangki yang merujuk kepada bahagian tidak dicat pada jentera lumba asal bagi memudahkan pemeriksaan tahap bahan api.
Ciri unik lain ialah bar hendal jenis clip-on dengan cermin sisi hujung hendal dan penggunaan komponen aluminium bilet pada tuas brek dan klac, serta penutup tangki bahan api Rizoma.
Sebagai model eksklusif, setiap unit mempunyai nombor siri pada plat hendal dan disertakan sijil ketulenan serta kotak khas berisi lakaran sejarah.
Trenkuasa Desmodue 803 cc L-Twin
Ducati Formula 73 2026 dikuasakan enjin 2-injap L-Twin Desmodue 803cc dan agihan desmodromik yang memenuhi piawaian Euro5+.
Enjin itu mengekalkan tradisi teknikal Ducati sejak era 1970-an dan 1980-an yang mementingkan karakter tunggangan asli.
Output kuasa dihasilkan 73hp (53.7kW) @ 8,250rpm dan tork 65.2Nm @ 7,000rpm. Bagi memastikan prestasi optimum, Ducati melengkapkan Ducati Formula 73 dengan sistem terotel elektronik Ride-by-Wire yang menjadikan respons enjin lebih cepat, progresif dan lancar walaupun pada halaju rendah.
Sistem ekzos menggunakan mufler Termignoni yang direka khas dengan perincian estetika unik untuk memberikan bunyi padu selain membangkitkan nostalgia perlumbaan.
Kuasa dihantar ke roda melalui sistem transmisi yang dilengkapi ciri anjakan pantas Ducati Quick Shift DQS untuk pertukaran gear lebih pantas.
Teknologi, Kawalan Tunggangan
Walaupun nampak klasik, Ducati Formula 73 dilengkapi sistem elektronik moden seperti model Ducati lain seperti Kawalan Traksiu Ducati (DTC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) Belokan, sistem Ducati Quick Shift (DQS) dan dua mod tunggang: Sport dan Road.
Frem trelis keluli yang dicat hijau (Aqua Green) dipadankan rim jejari 17 inci dan tayar Pirelli Diablo Rosso IV bagi memastikan pengendalian mudah dan selamat dalam pelbagai situasi tunggangan.
Ketersediaan Pasaran, Harga
Ducati Formula 73 2026 hanya dikeluarkan 873 unit bernombor di seluruh dunia. Sebagai rujukan, model di Britain dijual pada harga £15,095 (RM80,430).
Cafe racer itu dijadualkan tiba di bilik pameran Eropah menjelang musim bunga tahun ini (sekitar Mac – Mei 2026), manakala pasaran global lain dijangka menerima unit tersebut menjelang akhir musim panas (sekitar Ogos – September 2026).
Peminat juga boleh mendapatkan aksesori tambahan seperti helmet Arai dan jaket sport yang menggunakan skema warna sedondon dengan model tersebut.
Spesifikasi Ducati Formula 73 2026
- Enjin 4-lejang 2-injap L-Twin Desmodue 803cc penyejukan udara
- Output kuasa 73hp (53.7kW) @ 8,250rpm, dan tork 65.2Nm @ 7,000rpm
- Mufler ekzos Termignoni
- Berat kerb 183kg
- Frem Trelis keluli
- Sistem Suspensi fork terbalik (USD) KYB 41mm (depan), dan monoshock KYB boleh laras prabeban (belakang)
- Sistem Brek brek cakera 330mm dengan kaliper radial Brembo 4-piston dan ABS belokan Bosch (depan), dan brek cakera 245mm dengan kaliper apung 1-piston dan ABS Belokan Bosch (belakang)
- Tayar Pirelli Diablo Rosso IV 120/70 (depan), dan 180/55 (belakang)
- Pakej Elektronik Unit Unjuran Inersia (IMU), ABS Belokan, DTC, Mod Kuasas dan DQS
- Panel Meter TFT 4.3 inci
- Mod Tunggang Sport dan Road
- Lampu LED penuh dengan lampu siang (DRL)
- Tambahan Sistem Multimedia Ducati (DMS) dan navigasi belok demi belok Turn-by-Turn















































