DONGFENG Motor Corporation mengumumkan peluasan portfolio kenderaan elektrik (EV) jenama itu di pasaran Malaysia menerusi pelancaran dua model EV baharu, Dongfeng 007 (sedan) dan Dongfeng VIGO (SUV).
Langkah itumenandakan fasa baharu perjalanan Dongfeng di Malaysia, menerusi kerjasama Volt Auto dan Central Auto Distributors Bhd (CADB) bagi memperkenalkan barisan EV generasi baharu yang direka untuk gaya hidup moden, prestasi pintar dan kegunaan harian.
Pakej Pemilikan Menyeluruh

Sebagai sebahagian pelancaran, Dongfeng menawarkan pakej pemilikan lanjutan untuk kedua-dua model, terdiri daripada:
- Pengecas dinding (wallbox) ABB percuma
- Waranti kenderaan enam [6] tahun tanpa had perbatuan
- Waranti trenkuasa lapan [8] tahun tanpa had perbatuan
Dongfeng 007: Sedan EV Generasi Seterusnya

Menerajui peluasan itu ialah sedan EV generasi baharu, Dongfeng 007, yang direka untuk pemandu bandar yang mengutamakan prestasi, rekabentuk inovatif dan teknologi canggih.
Menampilkan rekabentuk liftback elektrik futuristik dan aerodinamik, Dongfeng 007 menawarkan gabungan pecutan pantas, keupayaan jarak jauh dan pengecasan pantas, yang menjadikan model itu sesuai untuk persekitaran bandar moden.
Model EV tersebut sebelum ini mencuri perhatian serantau menerusi pelancaran profil tinggi di Singapura dengan kemunculan istimewa selebriti dari Korea Selatan, Jessica Jung, yang mengaitkan Dongfeng 007 dengan gaya hidup kontemporari dan rekabentuk premium.
Di Malaysia, Dongfeng 007 ditawarkan pada harga bermula RM161,000, selepas diskaun pelancaran khas RM8,888.
Spesifikasi Dongfeng 007

- Pecutan 0 – 100kmj sepantas 3.9 saat
- Jarak gerak sehingga 650km
- Sistem bunyi WANOS Premium dengan 19 pembesar suara, termasuk audio pada penyandar kepala
- Rekabentuk liftback elektrik yang praktikal
- Pengecasan pantas (DC) 80 peratus dalam 11 minit
Kehadiran model EV itu menandakan kesungguhan Dongfeng untuk bersaing serius dalam segmen sedan elektrik premium di Malaysia.
Dongfeng VIGO: SUV Elektrik Orientasi Gaya Hidup

Turut diperkenalkan buat julung kali di Malaysia ialah Dongfeng VIGO, iaitu kenderaan utiliti sukan (SUV) EV yang direka untuk kegunaan harian, keperluan keluarga dan gaya hidup aktif.
Dibina sebagai SUV segmen-C, Dongfeng VIGO menawarkan ruang dalaman luas dan praktikal, seperti:
- Ruang but 500 liter
- Tambahan 72 liter ruang simpanan tersembunyi
- Jarak roda 2,715mm dengan nisbah ruang boleh guna terbaik dalam kelas
Antara ciri unik Dongfeng VIGO ialah ‘Heaven and Earth Gate’, iaitu pintu belakang terpisah inovatif yang mampu menampung beban sehingga 150kg, yang menjadikan ruang belakang sebagai platform serba guna untuk aktiviti luar seperti perkhemahan.
Spesifikasi Dongfeng VIGO

Dongfeng VIGO dilengkapi kokpit pintar dengan unit infotainmen skrin sentuh definisi tinggi (HD) 12.8 inci yang menyokong konektiviti Apple CarPlay dan Android Auto, serta dikuasakan cip prestasi tinggi.
Ciri tambahan lain ialah:
- Mod pintar: Rest, Camping dan Music Speaker
- Pad pengecasan wayarles 50W
- Bumbung panoramik
- Lampu ambien 256 warna dengan alunan muzik disepadu
- Fungsi Vehicle-to-Load (V2L) 3.3kW
Aspek keselamatan diperkukuh dengan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 2 dan kamera panoramik 540º dengan pandangan casis lut sinar.
Dongfeng VIGO turut menyokong pengecasan pantas (DC) sehingga 167kW, untuk pengecasan 0 – 80 peratus sepantas 9 minit, dan Sistem Pengurusan Termal Pintar (ITMS) yang direka khas untuk iklim tropika Malaysia.
Dongfeng VIGO dijangka ditawarkan pada harga bermula RM100,000, selepas diskaun pelancaran khas RM8,888.
Pencarian Duta Dongfeng

Sempena kemasukan rasmi ke pasaran Malaysia, Dongfeng turut melancarkan Pencarian Duta Dongfeng, dengan tiga pemenang akan dipilih dan menerima:
- Hadiah Pertama: RM100,000
- Hadiah Kedua: RM50,000
- Hadiah Ketiga: RM30,000
Semua pemenang juga akan menikmati tajaan model Dongfeng selama setahun, dengan kebebasan memilih model kegemaran masing-masing.
Inisiatif itu mencerminkan kepercayaan Dongfeng mengenai pengalaman EV perlu dinilai dalam konteks kehidupan sebenar, bukan sekadar spesifikasi semata-mata.
Komitmen Jangka Panjang Dongfeng di Malaysia
Sebagai sebahagian strategi jangka panjang, Dongfeng merancang membina kehadiran tempatan yang kukuh bagi menyokong jualan, pengalaman pelanggan dan servis selepas jualan.
Pada masa sama, Volt Auto turut mengumumkan perancangan meneroka pemasangan tempatan (CKD) peringkat serantau, bagi menyokong ekosistem EV Malaysia, mempercepat penggunaan EV dan mewujudkan peluang ekonomi jangka panjang.
Menerusi pengenalan Dongfeng 007 dan Dongfeng VIGO, jenama itu jelas bersedia melangkah lebih jauh dalam membawa EV berteknologi tinggi yang selari gaya hidup moden rakyat Malaysia.





















































































































