LANDSKAP pasaran automotif Malaysia berdepan cabaran baharu berikutan peperangan yang tercetus di Timur Tengah.
Harga bahan api tanpa subsidi melonjak naik dan kesannya dirasa ketara pengguna diesel.

Dalam tempoh tiga bulan berturut-turut, jualan trak pikap pupular, Toyota Hilux menyaksikan peningkatan dan adakah momentum itu dapat dikekalkan bulan-bulan mendatang?
Satu kebetulan, Toyota Hilux BEV dilancarkan di tengah kemelut kenaikan diesel dan mampukah trak pikap elektrik itu menggantikan Hilux yang popular sejak sekian lama?
Isu Subsidi, Lonjakan Harga Bahan Api

Situasi ekonomi semasa memaksa perubahan besar pada struktur harga di pam bagi minggu 9 – 15 April 2026.
Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), anggaran peruntukan bulanan bagi Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) melonjak kepada RM2.2 bilion pada Mac lalu, hampir tiga kali ganda berbanding RM700 juta sebelum itu.
Berikut harga petrol dan diesel 9 – 15 April 2026:
- Diesel B10/B20: RM6.72 seliter (naik 70 sen)
- Euro 5 B7: RM6.92 seliter
- RON95 (tanpa subsidi): RM4.27 seliter
- RON97: RM5.35 seliter
- Bantuan BUDI Madani: RM300 sebulan (diteruskan bagi April 2026)
Prestasi Pendaftaran Toyota Hilux Q1 2026

Berdasarkan data pendaftaran rasmi, Toyota Hilux mempamerkan pergerakan dinamik dalam carta 10 model kenderaan terlaris Malaysia.
Hilux memulakan tahun di kedudukan ke-10 pada Januari, sebelum mendaki ke tangga ke-9 pada Februari.
Bagaimanapun, pendaftaran pada Mac menyaksikan Hilux tersingkir dari kelompok elit apabila menduduki tangga ke-12 keseluruhan:
- Januari: 1,338 unit (kedudukan ke-10)
- Februari: 1,677 unit (kedudukan ke-9)
- Mac: 1,749 unit (kedudukan ke-12)
- Jumlah Kumulatif (YTD Q1): 4,764 unit
Toyota Hilux – Raja Trak Pikap

Walaupun terkeluar dari senarai 10 terlaris, Toyota Hilux terus mendominasi segmen trak pikap dengan jurang sangat ketara.
Pendaftaran Hilux pada Mac (1,749 unit) mencatatkan dua kali ganda lebih tinggi berbanding gabungan ketiga-tiga pesaing utama yang hanya 815 unit:
- Toyota Hilux: 4,764 unit
- Ford Ranger: 788 unit (Jan: 251 | Feb: 263 | Mac: 274)
- Isuzu D-Max: 782 unit (Jan: 249 | Feb: 261 | Mac: 272)
- Mitsubishi Triton: 774 unit (Jan: 247 | Feb: 258 | Mac: 269)
- Hilux BEV vs Diesel: Jurang harga mencabar
Walaupun harga diesel sedang melonjak, faktor harga jualan kenderaan tetap menjadi penentu utama.
Toyota Hilux BEV dijual pada harga RM226,300 dan jauh lebih tinggi berbanding Hilux diesel yang bermula RM104,880 sehingga RM173,280.
Jurang harga mencecah sehingga RM121,000 menyukarkan pengguna awam dan perusahaan kecil dan sederhana (SME) untuk beralih kepada teknologi elektrik penuh.
Simbol Hijau Korporat, Agensi Utiliti
Mampukah Toyota Hilux BEV menggantikan populariti model diesel?
Pada harga melebihi RM220,000, mungkin sukar untuk pengguna awam, temasuk perniagaan kecil dan sederhana (SME). Namun, Hilux BEV sangat relevan untuk dijadikan sebagai simbol hijau buat syarikat korporat dan agensi utiliti utama.
Organisasi besar seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), TM, Indah Water, Prasarana, Maxis, Axiata dan banyak lagi boleh menggunakan Toyota Hilux BEV sebagai bukti komitmen terhadap sasaran emisi sifar.
Dengan spesifikasi 144kW (196ps), bateri 59.2kWj dan jarak pemanduan sejauh 257km (WLTP), trak pikap elektrik itu sesuai untuk kegunaan operasi di kawasan bandar yang memerlukan imej korporat bersih tanpa mengorbankan ketahanan off-road yang menjadi signatur Hilux.
Kedudukan Jenama Suku Pertama (YTD Mac 2026)
Berikut kedudukan 10 jenama teratas mengikut pendaftaran terkumpul (YTD) setakat Mac 2026:
- Perodua: 74,233 unit
- Proton: 48,440 unit
- Toyota: 22,208 unit
- Honda: 13,618 unit
- Chery: 7,744 unit
- Mitsubishi: 3,061 unit
- Mazda: 2,339 unit
- BYD: 2,261 unit
- Mercedes-Benz: 2,063 unit
- Jetour: 1,680 unit
SUMBER: data.gov.my, PaulTan

















