JENAMA motosikal, CFMoto Malaysia terus memperluas tawaran motosikal ringan di pasaran tempatan dengan memperkenalkan Papio Racer sebagai motosinal mini atau ‘fun bike’ dengan karakter ilham jentera lumba.
Model itu direka khas untuk penunggang urban yang mahukan motosikal saiz kecil, lincah dan menyeronokkan untuk tunggangan harian.
Ditawarkan pada harga RM8,888, tidak termasuk cukai jalan dan insurans, CFMoto Papio Racer hadir dalam pilihan tiga warna: Clay Yellow (kuning), Nebula White (putih) dan Champion Blue (biru).
Enjin 126cc, Transmisi 6-Kelajuan
CFMoto Papio Racer dikuasakan enjin silinder tunggal 126cc penyejukan udara dengan output kuasa 7kW (9.4hp) @ 8,250rpm, dan tork 9.2Nm @ 6,500 rpm.
Menggunakan sistem suntikan bahan api elektronik (EFI), motosikal mini itu dipadankan klac multiplat jenis basah dan transmisi manual 6-kelajuan.
Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui sistem pacuan rantai, manakala kapasiti tangki petrol 7 liter memberikan jarak mencukupi untuk tunggangan bandar.
Fork USD, Brek Cakera dengan ABS
Sistem suspensi CFMoto Papio Racer menggunakan fork terbalik (USD) di depan, dan monoshock boleh laras (belakang) untuk keseimbangan antara keselesaan dan kestabilan.
Sistem brek pula dipasang brek cakera tunggal 210mm dengan kaliper dwi-piston (depan), dan brek cakera tunggal 190mm dengan kaliper piston tunggal (belakang.
Ciri keselamatan dilengkapi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran.
Dimensi Kompak, Mudah Dikendali
CFMoto Papio Racer menggunakan tayar 120/70-12 (depan), dan 130/70-12 (belakang), yang menyumbang kepada karakter pengendalian lincah dan tangkas.
Dimensi motosikal berukuran panjang 1,750mm, lebar 700mm dan tinggi 1,080mm dengan jarak roda 1,214mm.
Tinggi pelana cuma 760mm, manakala jarak tinggi bumi 150mm dan berat cuma 11kg, yang membuatkan model itu mudah dikendali, terutama buat penunggang baharu atau mereka yang mahukan motosikal ringan untuk pergerakan dalam bandar.
Panel Meter Hibrid, Kawalan Traksi
Antara ciri ditawarkan CFMoto Papio Racer adalah:
- Panel meter hibrid analog-digital, dengan slot khas untuk port pengecas USB
- Sistem kunci mekanikal dengan ciri keselamatan tambahan
- Suis keselamatan tongkat sisi
- Suis lampu kecemasan (hazard)
- Sistem Kawalan Traksi (TCS)
- Sistem lampu LED penuh untuk lampu utama, lampu siang (DRL), lampu belakang dan lampu signal belok.
- Rekabentuk sporty dengan kehadiran pelindung visor angin kecil dan winglet untuk identiti yang mengambil ilham jentera lumba.
Waranti Dua Tahun
Setiap pembelian CFMoto Papio Racer didatangkan dengan waranti pengeluar dua tahun atau 20,000km (mana satu tiba dulu).
Pemilik juga boleh mendapatkan alat ganti tulen secara dalam talian melalui rangkaian rasmi CFMoto Malaysia.
Pada harga mampu milik, spesifikasi moden dan karakter tunggangan menyeronokkan, CFMoto Papio Racer dilihat sebagai pilihan menarik dalam segmen motosikal mini dan ‘fun bike’ di pasaran Malaysia.





























