
SEMPENA Kejuaraan Dunia MotoGP 2025 di Litar Antarabangsa Sepang, CFMoto Malaysia memperkenalkan model sportbike terbaharu, CFMoto 250SR Lite.
Majlis pelancaran diadakan di reruai pameran rasmi CFMoto Malaysia di Lot C03, yang menampilkan gabungan DNA prestasi tinggi dengan gaya moden dan keselesaan tunggangan bandar.
Pada harga jualan RM9,988, tidak termasuk cukai jalan dan insurans, CFMOoto 250SR Lite kini boleh didapati di semua pengedar sah CFMoto seluruh negara dalam tiga warna pilihan: Nebula Black, Gem Black dan Zephyr Blue.
Kuasa Responsif, Enjin Canggih
CFMoto 250SR Lite dijana enjin 4-lejang silinder tunggal 249cc DOHC penyejukan cecair dengan suntikan bahan api elektronik (EFI) yang menghasilkan output kuasa 20.5kW (27.5hp) @ 9,750rpm dan tork 22Nm @ 7,250rpm.
Gabungan nisbah mampatan 11.3:1, dan klac antigelincir (slipper clutch) memberikan kawalan lebih halus ketika menurunkan gear dengan pantas, sekali gus mengurangkan risiko tayar belakang menggelincir ketika mengambil selekoh agresif.
Sistem Suspensi , Brek Lebih Yakin
Tugas suspensi CFMoto 250SR Lite digalas fork teleskopik di depan dan monoshock di belakang, yang masing-masing menawarkan jarak travel 120mm dan 40mm untuk kestabilan lebih baik.
Kuasa membrek diberikan kepada brek cakera 292mm dengan kaliper 2-piston (depan) dan brek cakera 220mm dengan kaliper piston tunggal (belakang) serta lengkap dengan Sistem Brek-Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran untuk prestasi hentian lebih selamat dalam pelbagai kondisi jalan.
Rekabentuk Moden, Praktikal
Bahagian roda CFMoto 250SR Lite menggunakan rim aloi 17 inci dengan tayar 110/70-R17 (depan), dan 140/60-R17 (belakang). Sportbike itu memiliki dimensi panjang 2,010mm, lebar 750mm, dan tinggi 1,080mm, manakala jarak roda 1,360mm.
Berat penuh 165kg, manakala kapasiti tangki petrol 12 liter yang cukup untuk jarak tunggangan memuaskan.
Ciri lain diberikan CFMoto 250SR Lite ialah panel meter digital penuh, dua port pengecas USB (Type-A dan Type-C) dan sistem lampu LED penuh (termasuk lampu signal belok dan kecemasan).
Visor angin tebal dan rekabentuk badan ilham karbon menyerlahkan imej sporty sportbike tersebut, manakala ekzos gaya lumba melengkapkan penampilan agresif.
Waranti, Sokongan Selepas Jualan
Setiap pembelian CFMOTO 250SR Lite didatangkan dengan waranti tanpa had perbatuan selama dua tahun, selain akses alat ganti asli melalui platform dalam talian rasmi CFMoto Malaysia yang memastikan pemilik menikmati pengalaman pemilikan yang mudah dan menyeluruh.















Leave a Reply