
Caterpillar, jenama terkenal dalam industri jentera pembinaan, kini dilihat sedang mengintai peluang untuk memasuki segmen trak pikap heavy-duty.
Terbaharu, syarikat itu memperkenalkan konsep Cat Truck – sebuah trak yang dibangunkan berasaskan Ford Super Duty, lengkap dengan kit badan khas, logo CAT serta kemasan warna kuning ikonik.
Inspirasi Dari Dunia AI

Menariknya, idea untuk menghasilkan trak ini bermula daripada imej janaan kecerdasan buatan (AI) yang tular di internet sekitar penghujung 2024.
Menurut Caterpillar, reaksi pengguna dan kontraktor terhadap imej tersebut sangat luar biasa sehingga mendorong syarikat untuk merealisasikan konsep sebenar.
Bukan Rekaan Kosong
Berbanding membina dari platform serba baharu, Caterpillar memilih untuk menggunakan asas Ford Super Duty – menjadikan pembangunan lebih praktikal dari segi keupayaan tork dan penundaan.
Namun, sentuhan Cat jelas kelihatan melalui rekaan agresif, aksesori tambahan serta pendekatan teknologi yang lebih fokus kepada kegunaan tapak pembinaan.
Sarat Teknologi Pintar
Apa yang membezakan Cat Truck daripada trak konvensional ialah penggunaan teknologi berasaskan AI.
Antara ciri utama termasuk stesen pelancaran dron, sistem pemantauan keletihan pemandu serta sistem kamera pintar yang mampu mengesan kehadiran pekerja berhampiran jentera berat.
Kokpit Digital Dengan Pembantu AI
Di dalam kabin, terdapat skrin tambahan yang menempatkan pembantu AI Caterpillar, yang berfungsi membantu pemantauan operasi serta keselamatan di tapak kerja.
Sistem ini direka untuk meningkatkan kecekapan serta mengurangkan risiko kemalangan dalam persekitaran kerja yang mencabar.
Masih Sekadar Konsep
Buat masa ini, Caterpillar belum mengesahkan sama ada Cat Truck akan memasuki fasa produksi.
Namun, melihat kepada potensi serta keperluan industri logistik dan pembinaan, tidak mustahil versi produksi akan muncul di tapak kerja dalam beberapa tahun akan datang.
SUMBER: Car And Driver







