
BYD memperkenalkan BYD ATTO 3 EVO untuk pasaran Eropah. Model ini tampil dengan gayaan rupa baharu dan berbeza daripada pasaran tempatan.
Melalui versi EVO, BYD menawarkan lebih kuasa, kapasiti bateri yang lebih besar, jarak pemanduan lebih jauh serta sistem pengecasan yang lebih pantas.
Penambahbaikan ini turut disertakan dengan struktur varian yang lebih ringkas dan senarai spesifikasi yang dipertingkatkan bagi meletakkan model ini di hadapan pesaingnya.
Trenkuasa dan Prestasi

BYD ATTO 3 EVO dibina berasaskan e-Platform 3.0 versi terkini yang dibangunkan sendiri oleh BYD. Melalui platform ini, model rupa baharu beralih daripada konfigurasi pacuan roda hadapan kepada pilihan pacuan roda belakang atau pacuan semua roda.
Sistem suspensi belakang juga telah dinaik taraf daripada reka bentuk empat pautan kepada sistem lima pautan yang lebih canggih untuk memberikan dinamik pemanduan yang lebih mantap.
Model ini hadir dalam dua versi dengan kapasiti bateri tunggal baharu yang lebih besar iaitu 74.8 kWj.

Varian Design menggunakan pacuan roda belakang dengan motor elektrik tunggal yang menghasilkan 230 kW (313 ps) dan tork 380Nm. Ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 5.5 saat dengan jarak gerak sejauh 510 km berdasarkan kitaran WLTP Gabungan.
Varian Excellence pula dilengkapi pacuan semua roda dengan penambahan motor hadapan. Ia menghasilkan output gabungan sebanyak 330 kW (449 ps) dan tork 560Nm.

Pecutan 0 hingga 100 km/j bagi varian ini hanya mengambil masa 3.9 saat, menjadikannya satu tawaran unik dalam kelas SUV keluarga elektrik dengan jarak gerak sejauh 470 km.
Kedua-dua varian ini turut menawarkan kapasiti tunda yang lebih tinggi iaitu 1,500 dengan brek.
Teknologi Bateri dan Pengecasan Pantas

Satu lagi perubahan utama pada model ini adalah penggunaan unit bateri Blade BYD baharu yang lebih besar berkapasiti 74.8 kWj.
Bateri berasaskan litium besi fosfat (LFP) ini dipasang menggunakan teknologi Cell-to-Body (CTB) di mana sel bateri disepadukan secara terus ke dalam casis.
Kaedah ini bukan sahaja meningkatkan kekuatan dan ketegaran kenderaan, malah mengoptimumkan ruang kabin kerana lantai penumpang bertindak sebagai bahagian atas bateri.

Seni bina elektrik 800V pada ATTO 3 EVO membolehkan pengecasan pantas DC sehingga 220 kW.
Sistem ini membolehkan bateri dicas dari 10 peratus ke 80 peratus dalam masa 25 minit sahaja. Untuk pengecasan AC pula, ia menyokong sehingga 11 kW tiga fasa.
Selain itu, model ini dilengkapi teknologi Vehicle-to-Load (V2L) yang membolehkan ia membekalkan kuasa sehingga 3 kW kepada peranti luaran.
Reka Bentuk dan Praktikaliti Ruang

Perubahan luaran melibatkan reka bentuk bampar hadapan dan belakang baharu, rim aloi 18 inci, profil sisi yang lebih kemas serta spoiler yang lebih sporty pada bahagian bumbung.
Walaupun mengekalkan dimensi luaran yang sama dengan model terdahulu iaitu panjang 4,455 mm, lebar 1,875 mm dan tinggi 1,615 mm, susunan ruang dalaman menjadi lebih efisien.
Tombol gear telah dipindahkan ke kolum stereng bagi memberikan suasana kabin hadapan yang lebih luas.

Ruang but kini telah ditingkatkan sebanyak 50 liter menjadi 490 liter dan boleh diperluaskan sehingga 1,360 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.
Tambahan paling menarik ialah but hadapan atau frunk berkapasiti 101 liter di bawah bonet hadapan yang sesuai untuk menyimpan barang belian atau kabel pengecasan.

Inovasi Teknologi dan Keselamatan
Kabin ATTO 3 EVO dilengkapi sistem infotaimen skrin sentuh 15.6 inci yang terbesar dalam segmennya. Sistem ini menyepadukan fungsi Google termasuk Google Maps, Google Play Store dan Google Assistant.
Pembantu suara AI turut menggunakan model bahasa besar (LLM) berasaskan awan untuk memahami arahan suara yang lebih kompleks.

Dari segi keselamatan, model ini dilengkapi pakej sistem bantuan pemandu yang menyeluruh seperti berikut:
- Tujuh beg udara
- Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Kawalan Jelajah Pintar (ICC), Kawalan Had Laju Pintar
- Amaran Pelanggaran Hadapan dan Belakang, Amaran Lintasan Trafik Hadapan dan Belakang
- Pengesanan Titik Buta, Bantuan Keluar Lorong
- Pengecaman Papan Isyarat Trafik
Spesifikasi BYD ATTO 3 EVO 2026 Eropah
Varian Design (Pacuan Roda Belakang)
- Motor elektrik: 230 kW (313 ps)
- Tork: 380Nm
- Pecutan 0-100 km/j: 5.5 saat
- Jarak gerak WLTP Gabungan: 510 km
- Jarak gerak WLTP Bandar: 710 km
- Kapasiti bateri: 74.8 kWj
- Kapasiti tunda dengan brek: 1,500
- Pengecasan DC: 220 kW
- Pengecasan AC: 11 kW tiga fasa
Varian Excellence (Pacuan Semua Roda)
- Motor elektrik: 330 kW (449 ps)
- Tork: 560Nm
- Pecutan 0-100 km/j: 3.9 saat
- Jarak gerak WLTP Gabungan: 470 km
- Jarak gerak WLTP Bandar: 630 km
- Kapasiti bateri: 74.8 kWj
- Kapasiti tunda dengan brek: 1,500
- Pengecasan DC: 220 kW
- Pengecasan AC: 11 kW tiga fasa

Dimensi dan Ruang
- Dimensi (P/L/T): 4,455 mm / 1,875 mm / 1,615 mm
- Jarak roda: 2,720 mm
- Berat tanpa muatan: 1,880 (Design) / 1,990 (Excellence)
- Saiz roda: 18 inci
- Kapasiti but: 490 liter hingga 1,360 liter
- Kapasiti but hadapan: 101 liter


































