
JENAMA kereta Jepun, Toyota, secara rasmi mengumumkan harga Land Cruiser FJ di Thailand, sekali gus menjadikannya pasaran pertama dunia untuk model baharu ini. SUV 4WD lima tempat duduk itu dipasang di Thailand dan ditawarkan pada harga promosi 1,269,000 Baht (sekitar RM152,300), turun daripada harga biasa 1,289,000 Baht (sekitar RM154,700) sehingga 31 Ogos 2026.
Menariknya, model ini dibangunkan di bawah kod nama 500D dan menggunakan platform IMV0 body-on-frame, sama seperti Hilux Champ. Ini meletakkannya dalam kategori SUV lasak sebenar, bukan sekadar crossover urban biasa.
Dibina Atas Casis Hilux Champ

Land Cruiser FJ dibangunkan dengan konsep Freedom & Joy, yang juga menjadi inspirasi kepada nama FJ itu sendiri. Ia menggunakan casis SSWB (Super Short Wheelbase) dengan jarak roda 2,580 mm, lebih pendek daripada Fortuner untuk memudahkan pemanduan dalam bandar dan off-road teknikal.
Toyota turut memperkukuh struktur casis dengan pengukuhan side rail belakang, crossmember baharu, sokongan sistem 4WD dan perlindungan bawah enjin, menjadikannya lebih tahan lasak untuk kegunaan ekstrem.
Dimensi Kompak, Jiwa Off-Road
Dari segi saiz, Land Cruiser FJ berukuran 4,610 mm panjang, 1,855 mm lebar dan 1,890 mm tinggi, dengan kelegaan tanah 245 mm.
Ia juga mampu meredah air sedalam 700 mm, radius pusingan 5.5 meter, serta ruang but antara 765 hingga 1,522 literapabila tempat duduk belakang dilipat.
Enjin 2.7 Liter, 166 Horsepower

Kuasa disalurkan oleh enjin petrol 2.7 liter 2TR-FE empat silinder dengan teknologi Dual VVT-i, menghasilkan 166 horsepower pada 5,200 rpm dan 245 Nm tork pada 4,000 rpm.
Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik 6-kelajuan bersama sistem part-time 4WD dan rear differential lock, sesuai untuk pemanduan jalan biasa mahupun off-road berat.
Suspensi Tahan Lasak

Bahagian suspensi menggunakan double wishbone di depan dan sistem 4-link belakang dengan spring gegelung, satu setup yang memberi keseimbangan antara keselesaan dan kemampuan off-road.
Ia juga dilengkapi rim aloi 18 inci dengan tayar 265/60 R18, brek cakera berpengudaraan depan dan belakang serta tayar simpanan saiz penuh.
Kabin Premium, Gaya Praktikal
Masuk ke ruang dalaman, kabin tampil dengan tema hitam bersama kemasan kulit pada stereng, papan pemuka dan tempat duduk.
Antara ciri utama termasuk tempat duduk pemandu larasan kuasa 8 hala, pendingin hawa dual-zone, penapis PM2.5, skrin meter digital 7 inci dan skrin infotainmen 12.3 inci dengan Apple CarPlay serta Android Auto.
Ciri Keselamatan Lengkap

Toyota turut melengkapkan FJ dengan pakej Toyota Safety Sense, termasuk sistem amaran pelanggaran depan, bantuan kekal lorong, blind spot monitor, rear cross traffic alert dan radar cruise control.
Turut tersedia ialah kamera 360 darjah dengan Transparent Chassis, sensor parkir depan dan belakang serta tujuh beg udara.
Aksesori Genuine Toyota
Bagi pembeli yang mahukan gaya lebih rugged, Toyota menawarkan beberapa pakej aksesori rasmi seperti Unbound Explorer Package, Urban Unique Package dan Freedom Journey Package.
Pakej ini merangkumi snorkel, roof rack ARB, pelindung bawah enjin, side awning dan beberapa aksesori kosmetik tambahan untuk gaya overlanding.
























