
TWISTED Automotive yang dikenali sebagai pakar kejuruteraan semula kenderaan 4×4 ikonik British telah melancarkan projek Range Rover sulung mereka.
Dikenali sebagai Twisted Range Rover Classic atau TRRC ia merupakan sebuah terjemahan unik yang berasaskan model dua pintu klasik.
Selepas 25 tahun menumpukan kepakaran kepada model Defender kini Twisted membawa falsafah anti-ordinary mereka kepada satu lagi lagenda automotif British.

Projek ini lahir daripada nostalgia peribadi pengasasnya iaitu Charles Fawcett. Beliau membesar dengan memori bapanya memandu sebuah Range Rover dua pintu pada era 1980 an yang diubah suai dengan gaya ikonik.
Melalui TRRC Fawcett ingin menghidupkan semula memori tersebut dalam bentuk sebuah jentera moden yang tetap mengekalkan jiwa asal model klasiknya.
Trenkuasa dan Prestasi

Nadi utama TRRC ialah enjin LT1 V8 berprestasi tinggi dengan kapasiti 6.2 liter yang mampu menghasilkan kuasa mencecah 500 ps. Kuasa ini disalurkan ke sistem pacuan melalui transmisi automatik lapan kelajuan.
Bagi memastikan kawalan yang mantap Twisted menggunakan pengalaman selama dua dekad daripada program Defender mereka untuk menala sistem pengendalian kenderaan ini.
Walaupun prestasi dan maklum balas pemanduan ditala supaya terasa tajam dan responsif Twisted memberikan tumpuan khusus kepada aspek keselesaan.
Komponen sesendal (bushing)telah dilaras semula dengan teliti bagi memastikan TRRC kekal selesa dan tidak terlalu keras semasa dipandu sesuai dengan karakter sebuah Range Rover yang sepatutnya fleksibel di atas jalan raya.
Rekaan Luaran dan Ketelitian Panel

Rekaan luaran TRRC merupakan gabungan elemen terbaik daripada pelbagai era model Classic. Ia menggabungkan bampar hadapan gaya tahun 1970 an dengan rekaan gril dan bingkai lampu hadapan dari era 1990 an.
Setiap panel badan luaran dihasilkan baharu menggunakan aluminium buatan tangan oleh pakar tukang besi British.
Tahap ketelitian Twisted terhadap jarak antara panel adalah sangat tinggi bagi memastikan mutu binaan yang sempurna.
Antara ciri unik yang ditawarkan adalah pilihan mengecat tiang C dengan warna badan bagi menonjolkan gayaan dua pintu tersebut.
Selain itu kedudukan bahagian hadapan direndahkan sedikit untuk memberikan profil yang lebih agresif.
Ruang Dalaman dan Perincian Eksklusif

Bahagian kabin turut menerima sentuhan kejuruteraan semula sepenuhnya. Kedudukan kerusi kini diletakkan lebih rendah bagi memastikan garis penglihatan pemandu tepat ke arah bahagian atas cermin hadapan untuk memaksimumkan keterlihatan luas yang menjadi identiti Range Rover.
Satu perincian unik yang menunjukkan obsesi Twisted terhadap kualiti ialah pemasangan penebat bunyi pada bahagian bawah permaidani dan bukannya pada kerangka besi.

Ini membolehkan pemilik melihat kemasan cat yang sempurna pada bahagian lantai jika permaidani diselak.
Ruang dalaman turut dilengkapi dengan kemasan kulit premium dan sistem hiburan moden yang disorokkan dengan kemas.

Eksklusiviti dan Harga
Twisted hanya akan menghasilkan sebanyak 12 unit TRRC setahun secara buatan tangan di Thirsk. Setiap unit perlu melalui program pengesahan sejauh 804 km sebelum diserahkan kepada pemilik.
Walaupun harganya bermula daripada 350,000 pound (RM1,825,950) tidak termasuk cukai tempatan permintaan terhadap model ini sangat luar biasa.
Kesemua slot pengeluaran untuk tahun 2026 telah habis ditempah dan tempahan bagi tahun 2027 juga dilaporkan hampir penuh.

Spesifikasi Teknikal TRRC
- Model Penderma: Range Rover Classic dua pintu LHD atau RHD (1990 hingga 1992)
- Enjin: 6.2 liter TV8 petrol
- Kuasa Maksimum: 500 ps
- Transmisi: Automatik lapan kelajuan
- Sistem Brek: Twisted 6 piston hadapan dan 4 piston belakang
- Casis: Diperkukuh dengan salutan e-coated hitam satin
- Panel Badan: Aluminium buatan tangan dengan gerbang roda jenis rolled
- Dalaman: Kedap bunyi penuh dengan kemasan kulit pada semua permukaan
- Ciri Tambahan: Kerusi sport hadapan dengan pemanas dan audio 8 saluran

















