
Bermula Julai 2026, BMW M2 bakal menerima M Performance Track Kit, sebuah pakej komponen berprestasi tinggi yang ditala untuk prestasi litar namun kekal sah digunakan untuk pemanduan jalanan.
Penawaran terbaharu daripada BMW M Performance Parts ini menumpukan kepada peningkatan dinamik jentera melalui teknologi masa hadapan dan kualiti tanpa kompromi.

Pembangunan kit ini dilakukan dengan kerjasama pakar BMW M yang menggunakan kepakaran daripada pengalaman perlumbaan, selain menjalani proses pengoptimuman aerodinamik di terowong angin BMW.
Penalaan (fine-tuning) keseluruhan kit ini diketuai oleh Jörg Weidinger, jurutera ujian pembangunan casis dan pemandu handalan BMW M.
Aerodinamik dan Kawalan Litar Maksimum

Satu daripada komponen utama dalam M Performance Track Kit ialah splitter depan boleh laras secara manual yang disatukan dengan difuser depan.
Melengkapi bahagian hadapan adalah difuser pada gerbang roda dan saluran udara di bawah penyejuk minyak enjin.
Gabungan ini berfungsi meningkatkan daya mendap dengan bantuan aero flicks untuk cengkaman lebih mantap.

Di bahagian belakang, sayap belakang swan neck yang diinspirasikan daripada model perlumbaan BMW M4 GT4 dan BMW M4 GT3 turut dipasangkan.
Sayap ini menawarkan Race Mode unik di mana kedudukannya digerakkan ke belakang sebanyak 50 mm untuk keberkesanan aerodinamik maksimum.
Apabila berada dalam Street Mode, kedudukannya mematuhi peraturan jalan raya Jerman (StVZO).

Sudut kecondongan (angle of attack) sayap ini juga boleh dilaras melalui dua tetapan berbeza bagi mengimbangi daya mendap pada gandar belakang mengikut karakter litar.
Satu lagi ciri unik ialah lampu brek yang disepadukan pada sayap belakang tersebut.
Casis dan Pengendalian Sport

Bagi aspek pengendalian, kit ini dilengkapi penyerap hentak dengan redaman mampatan dan lantunan yang boleh dilaras 4-hala, support bearings boleh laras serta sistem damper permotoran pertama yang sah digunakan di jalan raya.
Penyerap hentak ini boleh diturunkan sehingga 20 mm di bahagian depan dan belakang. Pelarasan ketinggian boleh dilaras tanpa had.
Komponen ini berinteraksi secara unik terutamanya apabila digabungkan dengan tayar ultra-track pilihan.

Sistem Ekzos M Performance untuk BMW M2 CS
Selain kit trek, BMW turut memperkenalkan sistem ekzos M Performance untuk model eksklusif BMW M2 CS.
Sistem ini bukan sahaja meningkatkan aspek visual melalui penggunaan tip ekzos daripada karbon dan titanium, malah ia juga lebih ringan sekitar 8 kg berbanding komponen standard.
Laluan gas ekzos yang dioptimumkan memberikan bunyi enjin enam silinder sebaris berkuasa 530 hp yang lebih agresif melalui beberapa mod talaan bunyi yang disediakan.

Spesifikasi dan Maklumat Teknikal
M Performance Track Kit (BMW M2)
- Ketersediaan bermula Julai 2026
- Splitter depan manual boleh laras dengan difuser depan
- Laluan udara bawah penyejuk minyak enjin
- Sayap belakang swan neck dengan Race Mode (anjakan 50 mm ke belakang)
- Lampu brek bersepadu pada sayap belakang
- Penyerap hentak dengan pelarasan mampatan dan lantunan 4-hala
- Ketinggian boleh diturunkan sehingga 20 mm
- Pengoptimuman aerodinamik melalui ujian terowong angin BMW
- Harga di Jerman 23,500 Euro (RM108,123.50) tidak termasuk cukai dan pemasangan

Sistem Ekzos M Performance (BMW M2 CS)
- Pengurangan berat sekitar 8 kg berbanding ekzos asal
- Tip ekzos diperbuat daripada kombinasi karbon dan titanium
- Pilihan beberapa mod talaan bunyi enjin
- Harga di Jerman bermula daripada 8,343.50 Euro (RM38,388.44) tidak termasuk pemasangan





















