PERKEMBANGAN teknologi keselamatan motosikal semakin agresif, dan kini jenama aksesori motosikal, Alpinestars, menampilkan generasi terbaharu sistem beg udara pintar – Alpinestars Tech-Air 5 Plasma.
Model itu dikatakan paling ringan, paling selesa dan paling maju pernah dihasilkan jenama Itali berkenaan. Direka hasil lebih dua dekad penyelidikan, Tech-Air 5 Plasma menggantikan Tech-Air 5 dalam barisan produk sedia ada.
Ia hadir dengan kelengkapan sensor baharu, perisian dipertingkat dan pengurangan berat sekitar 0.4kg berbanding model terdahulu.
Ditawarkan pada harga RM3,682 dan tersedia dalam saiz XS hingga 4XL, Plasma menyasarkan penunggang jalan raya, trek dan juga off-road yang mahukan tahap perlindungan aktif tanpa perlu sistem bertali (tether).
Sistem Penderia Berasaskan Data Perlumbaan
Nadi kepada sistem itu ialah konfigurasi enam sensor, merangkumi akselerometer tri-paksi dan giroskop tri-paksi. Semua data pergerakan dianalisis algoritma berasaskan kecerdasan buatan (AI) secara masa nyata.
Apa membezakan Plasma adalah pangkalan data kemalangan dan tunggangan yang dikumpul sejak 2004, termasuk maklumat daripada pelumba MotoGP yang menggunakan sistem Alpinestars. Jutaan kilometer data tunggangan dan ribuan insiden kemalangan digunakan untuk menala respons sistem supaya lebih tepat.
Sensitiviti Tiga Mod Tunggang
Hasilnya, penunggang boleh memilih tiga mod tunggang: Street, Race dan Off-Road, yang masing-masing dengan sensitiviti pengaktifan berbeza mengikut senario.
Apabila sistem mengesan kemalangan, beg udara boleh mengembang sepantas 20 milisaat. Untuk mengaktifkan sistem, dan penunggang hanya perlu menutup zip vest dan memastikan flap magnetik depan ditutup.
Lampu LED bersama getaran halus akan memberi isyarat bahawa sistem sudah bersedia.
Lebih Ringan, Lebih Fleksibel

Dengan berat sekitar 1,530 gram, Tech-Air 5 Plasma dikatakan 25 peratus lebih ringan berbanding model sebelumnya, sekali gus menjadi beg udara paling ringan pernah dihasilkan Alpinestars.
Rekabentuk baharu itu juga lebih nipis dan fleksibel, yang boleh dipakai di bawah jaket tunggang (tanpa pelindung belakang tambahan).
Canggih, Tapi Bukan Premium
Namun komprominya adalah liputan perlindungan sedikit berkurang berbanding model premium seperti Tech-Air 7 dan Tech-Air 10.
Walaupun tiada beg udara yang benar-benar ‘bernafas’, Plasma direka dengan beberapa saluran aliran udara pada bahagian bahu dan belakang bagi meningkatkan keselesaan ketika tunggangan jarak jauh.
Perlindungan, Kos Selepas Kemalangan

Dari segi keselamatan, ia dilengkapi pelindung belakang Tahap 1, manakala sistem beg udara turut diperakui mengikut piawaian EN1621-4:2013 Tahap 1, iaitu standard yang menguji ketahanan terhadap hentaman objek tirus menggunakan metodologi sama seperti perisai konvensional.
Selepas pengaktifan, kartrij gas boleh diganti sendiri pengguna pada kos sekitar RM550 selagi beg dalaman tidak rosak. Setiap beg dalaman direka untuk sehingga enam kali pengembangan sebelum perlu diganti sepenuhnya pada harga sekitar RM1,650.
Alpinestars turut menyarankan sistem diganti selepas tempoh 10 tahun, dengan servis berkala setiap dua tahun atau setiap 500 jam tunggangan.
Aplikasi, Kuasa Bateri
Seperti kebanyakan peranti moden, Plasma hadir dengan aplikasi khas yang memaparkan status sistem, tahap bateri dan kemas kini perisian tegar (firmware). Fungsi ‘MyRide’ turut membolehkan penunggang merekod dan memetakan laluan tunggangan.
Sumber kuasa datang daripada bateri litium-ion terbina dalam yang menawarkan sehingga 30 jam penggunaan, dengan pengecasan melalui port USB Type-C pada modul paparan LED.
Evolusi Teknologi Beg Udara
Walaupun jaket beg udara sudah wujud sejak akhir 1990-an, Alpinestars antara perintis sistem elektronik tanpa tali. Penyelidikan bermula sekitar awal 2000-an sebelum ujian sistem elektronik pertama dijalankan pada 2004.
Teknologi tersebut mula digunakan di pentas MotoGP pada 2009 menerusi sistem Tech-Air Race. Beberapa tahun kemudian ditawarkan kepada pengguna komersial yang awalnya terhad kepada sut lumba sehelai.
Menjelang 2014, sistem modular berdiri sendiri mula diperkenalkan untuk kegunaan lebih meluas.
SUMBER: MotorcycleNews.com











