PADA 2017, Honda dikhabarkan bekerjasama dengan Nissan dan Toyota untuk menghasilkan teknologi sel bahan api. Kemudian, pada penghujung tahun itu, satu paten motosikal sel bahan api Honda didedahkan yang jelas menunjukkan kerjasama bertiga itu kini sudah membuahkan hasil.
Bagaimanapun, selepas itu tiada lagi khabar berita mengenai model konsep dengan teknologi bahan api tersebut dibangunkan Honda hingga sekarang.
BACA >>> Polis London Uji Skuter Hidrogen - Suzuki Burgman
Terkini, satu permohonan paten baharu daripada Honda diterbitkan pada 9 April lalu yang memperincikan sistem ambilan udara untuk motosikal dikuasakan sel bahan api, membuktikan perkembangan Honda dalam memajukan idea tersebut. Paten tersebut menjelaskan bagaimana salur ambilan udara di depan enjin dan sisi jentera, dimuatkan di sebalik fairing, akan menghirup udara sebelum mengalir menerusi unit sel bahan api.
Salur udara itu akan direka dengan apa yang dinamakan paten itu sebagai 'titik ubah' (turning point), dengan debu dan air akan dihimpunkan untuk mengelak memasukan dalaman enjin motosikal. Udara akan bekerja menerusi unit sel bahan api itu dan disalur keluar ke belakang dengan bantuan kipas terbina dalam.
BACA >>> Firma Israel-Australia Bangunkan Bahan Api Berasaskan Air, Emisi Sifar Jadi Realiti?
Paten itu mencadangkan kenderaan menggunakan rekabentuk kluster dwi lampu utama, tanpa cermin depan, dan dipasangkan pada frem kradel. Tangki hidrogen akan diletakan bawah pelana, manakala kuasa disalurkan ke roda belakang menggunakan mekanisme hab khas berbanding tali sawat atau rantai.
FASILITI STESEN ISI JADI ISU
Masih sukar mengetahui sama ada jentera berenjin sel bahan api hidrogen mampu berdaya maju atau sebaliknya, tetapi ia sesuatu yang menarik untuk diperhatikan.
Dari segi lain, status hidrogen sebenarnya sama seperti bahan api biasa. Kita perlu berhenti, isi dan bergerak. Kelebihan bahan api ini ialah isian dilakukan lebih pantas daripada model elektrik yang memerlukan masa minimum setengah jam.
Namun, apa yang perlu dipertimbangkan ialah usaha membangunkan stesen hidrogen. Malah usaha penghantaran hidrogen asli juga berisiko tinggi. Malah, berita terbaharu yang melaporkan empat gergasi motosikal di Jepun sedia membangunkan piawaian baharu teknologi bateri yang standard dan boleh ditukar ganti atau beli, peluang untuk teknologi hidrogen ini semakin sukar mendapat tempat.
BACA >>> Honda, Yamaha, Kawasaki dan Suzuki Akan Bekerjasama Tetapkan Standard Motosikal EV
Mungkin kelebihan yang ada ialah ciri mesra alam ditawarkan bahan api jenis ini.
SUMBER: RideApart
Leave a Reply