JIKA memandu dalam hujan lebat, jangan lupa mengucapkan terima kasih kepada Mary Anderson kerana jasa beliaulah kereta kita hari ini mempunyai pengelap cermin depan (windshield wiper).
Anderson dilahirkan di Greene County, Alabama pada 1866 ketika Era Pemulihan (Reconstruction Era) selepas pasca era Perang Saudara. Pada 1889, Anderson berpindah dengan ibu dan adiknya ke bandar Birmingham, Alabama dan membina Fairmont Apartments di Highland Avenue. Menjelang 1893, Anderson berpindah pula ke barat di Fresno, California, di mana beliau bekerja sebagai pengembala lembu dan di ladang anggur.
Bila pula masanya beliau cipta pengelap cermin depan kereta?
Kisahnya begini...
LAP CERMIN GUNA TANGAN
Dalam satu trip lawatan ke New York City pada musim sejuk 1902, Anderson yang ketika itu menaiki tram menyedari pemandu kereta memandu dengan membuka tingkap di kedua-dua belah pintu supaya tangan mereka dapat dikeluarkan untuk mengelap cermin depan yang ditimbuni ketulan salji dengan pengelap getah (seperti pengelap yang ada di pam minyak).
Apabila pulang ke Alabama, beliau membayar seorang pereka untuk menghasilkan peranti operasi-tangan untuk membersihkan cermin depan kereta. Kemudian rekaan itu dibawa kepada sebuah syarikat tempatan untuk menjadikan ia berfungsi.
Hasilnya, beliau mendapat paten selama 17 tahun bagi rekaan pengelap cermin hadapan itu pada 1903. Rekaannya itu terdiri daripada tuil dalam kereta yang mengawal bilah pengelap getah di luar cermin depan. Rekaan itu masih sama seperti digunakan kereta moden hari ini.
BACA >>> #RetroAuto: Aloha Wanderwell - Wanita Pertama Pusing Dunia, Rentas 4 Benua
Tuil beroperasi menggerakkan lengan berspring ke belakang dan hadapan, sekali gus menyapu sebarang objek atau sisa atas cermin. Sebenarnya, terdapat beberapa versi pengelap cermin kereta yang dicipta lebih awal, tetapi Anderson orang pertama yang menyempurnakan semua ciptaan terdahulu dengan efektif.
Pada 1905, Anderson cuba menjual hak paten kepada sebuah sebuah firma Kanada, tetapi ditolak dengan alasan tiada nilai komersil. Namun, apabila hak paten beliau tamat pada 1920 (selepas 17 tahun) dan perniagaan pengeluaran automobil berkembang semakin pesat, barulah penggunaan pengelap cermin kereta mula popular selepas dikomersialkan seorang lagi (John) Anderson sebagai aksesori yang mudah diganti dan dibeli di mana-mana kedai auto. Dia - John Anderson - ialah pengasas kepada bilah pengelap kereta jenama ANCO, dan tiada kena mengenai dengan Mary Anderson.
Pada 1922, Cadillac menjadi pengeluar kereta pertama yang menjadikan pengelap cermin kereta sebagai keperluan standard.
ANDERSON DALAM BUDAYA POPULAR
Siapa sangka ciptaan Anderson turut mencetuskan budaya popular di negaranya, Amerika Syarikat. Nama beliau pernah disebut dalam siri kartun The Simpsons musim ke-17, episod 19: Girls Just Want to Have Sums ketika Marge Simpsons bertekak dengan suaminya Homer dan anak lelakinya, Bart mengenai kesamaan jantina.
Marge: Lihatlah, seorang wanita juga reka pengelap cermin kereta
Homer: Dan ia jadi hebat dengan ciptaan lelaki, kereta!
BACA >>> #TahukahAnda: Apakah Posisi Memandu Betul dan Selamat untuk Wanita Tubuh Kecil?
Rekaan Anderson turut disebut dalam program kuiz di Britain; QI (Quite Interesting); Musim ke-10, Episod 16 - Just the Job. Anderson meninggal dunia pada usia 87 tahun.
Leave a Reply