SENSOR anti perlanggaran yang semakin banyak dilengkapkan pada kereta moden hari ini sudah bukan lagi jadi ciri pelik dan istimewa. Namun, dalam dunia motosikal, ia masih baharu, dan Suzuki antara pengeluar yang cuba bereksperimen dengan teknologi tersebut.
Walaupun Suzuki dilihat cuba merintis teknologi keselamatan motosikal, tetapi pengeluar itu setakat yang diketahui kini masih berkira-kira mahu memasang teknologi sensor pada produk sendiri. Tetapi siapa tahu Suzuki mungkin berubah fikiran dalam masa terdekat nanti.
BACA >>> Indonesia Lancar Suzuki GSX-R150 Matt Edition Warna Merah Kusam
DOKUMEN PATEN DARI JEPUN
Ini berdasarkan satu lagi pendedahan dokumen paten dari Jepun yang dipercayai rancangan Suzuki untuk memasang reflektor radar pada beberapa poin strategik motosikal supaya mudah dikesan kenderaan lain, terutama yang memiliki sensor anti-perlanggaran (anti-collision).
Antara kelemahan utama motosikal sejak dulu lagi ialah sosok fizikal kecil yang menyukarkan pengguna jalan raya lain perasan kelibat si penunggang. Ini kerana pemandu lebiuh cenderung memerhatikan kereta atau kenderaan besar lain, dan bukan motosikal. Malah, motosikal lebih mudah terdedah kepada risiko titik buta.
BACA >>> #TahukahAnda: Apakah Teknologi Keselamatan Perlanggaran (Crash Safety Technology)?
Jadi apa saja peranti atau kaedah yang mampu meningkatkan kejelasan penunggang atas jalan memang diakui sangat membantu. Salah satunya, 'signal capang' yang cukup dimarahi penunggang Malaysia atas alasan estetika. Dan mungkin teknologi terbaharu yang dibangunkan Suzuki juga semestinya dapat membantu.
Reflektor radar berdasarkan paten Suzuki ini dilihat cukup efisien buat kereta jenis semi autonomi atau autonomi penuh (pandu sendiri). Ini kerana apa yang menjadi kebimbangan penunggang motosikal ialah kecekapan sensor anti-rempuhan mengesan kelibat mereka. Malah ia dibuktikan dengan banyak kes kemalangan melibatkan kenderaan autonomi di Amerika Syarikat.
Jadi, reflektor radar Suzuki ini akan berfungsi dengan sensor kereta autonomi supaya kelibat penunggang dapat dikesan seperti mana pengguna jalan raya dan objek sekeliling lain.
BACA >>> Suzuki GSX-R1000R (2017) Guna Teknologi MotoGP dan Sentuhan Juara Superbike
Menariknya, rekabentuk reflektor radar itu cuma reflektor semata-mata dan tidak memerlukan sebarang punca kuasa untuk berfungsi. Ini bermakna ia boleh dimuatkan pada mana-mana motosikal.
Jadi, memang tidak mustahil teknologi Suzuki itu akan jadi sangat penting buat kereta moden masa kini dan akan datang yang dilengkapi ciri sensor anti-rempuhan. Ini secara tidak langsung bukan saja menjamin keselamatan penunggang, tetapi juga pemandu era gajet hari ini yang semakin kurang fokus memandu disebabkan terleka dengan telefon pintar masing-masing.
SUMBER: RideApart
Leave a Reply