MUNGKIN keadaan ekonomi dan ketidakstabilan politik menyebabkan negara-negara Afrika menduduki 8 daripada 10 senarai negara paling berbahaya memandu. Dua lagi tempat diisi negara Asia, Iran dan Thailand. Ya, Thailand dan bukan Malaysia. Berbanggalah.
Setiap tahun, berjuta-juta manusia maut akibat kemalangan jalan raya seluruh dunia dengan menyebabkan kerugian puluhan bilion dolar disebabkan kerosakan, ganti rugi, pampasan, dan pelbagai kesan sampingan lain. Senarai 10 negara paling bahaya memandu di dunia di bawah ini diambil daripada statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Unit bagi jumlah kematian ialah bagi setiap 100,000 penduduk.
BACA >>> Beg Udara Luaran Mampu Kurangkan Impak Kemalangan Teruk Hingga 40 Peratus
10. MOZAMBIQUE - 31.6
Pemandu Mozambique dikatakan kurang bersabar. Mereka juga kurang peduli dan prihatin kepada pengguna jalan raya lebih kecil seperti pejalan kaki dan penunggang motosikal, termasuk tiada asas kemahiran memandu selamat. Inilah sebab kenapa negara itu menjadi antara negara paling berbahaya memandu di dunia.
9. RWANDA - 32.1
Republik Rwanda ialah antara negara yang berkepadatan tinggi di Afrika. Tabiat memandu teruk dan tidak mematuhi undang-undang jalan raya meletakkan negara itu dalam senarai negara paling berbahaya memandu di dunia.
8. IRAN - 32.1
Di Iran, kematian akibat kemalangan jalan raya membabitkan hampir semua pengguna seperti pemandu kereta, penunggang motosikal dan basikal, dan pejalan kaki secara sama rata. Iran ialah salah satu negara yang tiada undang-undang larangan ke atas kanak-kanak memandu. Bank Dunia juga pernah menyenaraikan Iran sebagai antara negara yang memiliki situasi trafik paling rumit di dunia.
7. REPUBLIK AFRIKA TENGAH (CAR) - 32.4
Pemandu di Republik Afrika Tengah kerap berdepan dengan insiden rompakan bersenjata yang menjadi punca kepada peningkatan kadar kematian jalan raya di negara itu. Malah, kualiti jalan raya juga sangat teruk walaupun tidak mengalami iklim ekstrem seperti salji dan banjir.
6. TANZANIA - 32.9
Di Tanzania, pemilikan lesen memandu sangat longgar dan rata-rata pemandu tiada pengetahuan tentang pemanduan selamat. Kondisi jalan raya turut menjadi penyumbang besar kepada kadar kemalangan di sana. Malah, penguatkuasaan had laju dan pendaftaran kenderaan juga tidak ketat, cuma sekadar ada saja.
5. REPUBLIK DEMOKRATIK CONGO - 33.2
Kualiti jalan raya di Congo ualah paling teruk di dunia yang sangat mudah rosak akibat cuaca. Lubang besar atau lopak lumpur sentiasa ada sepanjang jalan raya di negara ini. Ketidaktentuan politik turut mempengaruhi kadar kematian disebabkan kereta di Congo.
4. LIBERIA - 33.7
Kondisi jalan raya teruk dan jenayah bersenjata meletakkan Liberia di kedudukan keempat sebagai negara paling berbahaya memandu di dunia. Penduduk Libya dilaporkan hanya memandu pada waktu siang kerana risiko dibunuh dalam kereta ketika malam ialah sangat tinggi.
3. MALAWI - 35
Kondisi jalan raya teruk, fasiliti kurang disenggara dan kurang pencahayaan ialah cabaran paling bahaya ketika memandu di Malawi. Ini diburukkan lagi dengan masalah rompakan, jalan berlubang, haiwan melintas dan kereta dipandu tanpa lampu.
2. THAILAND - 36.2
Memandu laju, memandu mabuk atau undang-undang jalan raya yang kurang ketat dipercayai menjadi faktor penyebab angka kematian jalan raya tinggi di Thailand. Menurut Chiang Mai CityNews, jumlah pemandu mabuk yang terbabit kemalangan ialah lebih 80 peratus dengan membabitkan 25 peratus kadar kematian secara keseluruhan.
1. LIBYA - 73.4
Kemalangan jalan raya ialah pembunuh nombor tiga terbesar di Libya dan punca paling utama ialah memandu mabuk. Selain itu, ribut pasir juga menjadi antara punca kemalangan di negara Afrika yang mampu menyebabkan penglihatan pemandu terjejas, selain mengakibatkan kenderaan tertimbus.
BACA >>> Senarai 10 Negara Pemandu Teksi Paling Teruk Di Dunia
SUMBER: MSN
Leave a Reply