BREK Pegun Automatik @ Auto-Hold Brake (AHB) semakin menjadi ciri biasa kenderaan masa kini apabila banyak pengeluar mula beralih dari fungsi brek tangan manual kepada brek tangan elektrik @ Electric Parking Brake (EPB) untuk kenderaan transmisi automatik. Namun sesetengah pemandu menganggap ia sebagai ciri picisan yang tidak berapa penting.
Faktanya, AHB banyak membantu memudahkan tugas memandu dengan membuatkan pemanduan jadi lebih selesa, terutama dalam situasi trafik sesak yang memerlukan pemandu kerap bergerak dan berhenti.
AHB membolehkan pemandu merehatkan kaki tanpa perlu memikirkan kerja-kerja menarik dan melepaskan brek tangan secara manual, atau risaukan situasi kereta tetiba terundur ke belakang ketika mengalihkan kaki dari pedal brek ke pedal minyak.
BACA >>> Pendedahan Kedua: ADAS - Lengkapkan Proton X70 dengan Ciri Keselamatan Termaju
SEBAHAGIAN KOMPONEN ABS DAN ESP
Fungsi AHB juga ialah sebahagian komponen Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Program Stabiliti Elektronik (ESP). Sistem ini diaktifkan dengan menekan butang AHB @ Brake Hold / Auto-Hold yang biasanya terletak di konsol tengah dekat suis EPB (rujuk foto atas), lalu ia secara automatik berfungsi memegang tekanan brek, sama seperti fungsi menarik brek tangan secara manual.
Apa perlu pemandu buat ialah mengenakan sedikit tekanan ke atas brek (dengan memijak pedal brek) supaya tekanan mencukupi untuk mengaktifkan AHB. Selepas semua sempurna (dapat diketahui menerusi lampu indikator AHB pada panel meter), anda kini dalam keadaan selamat mengangkat kaki anda dari pedal brek. Brek akan dilepaskan automatik apabila pedal minyak diinjak.
BACA >>> #TahukahAnda: Benarkah Minyak Brek Boleh Berubah Jadi Teruk?
Ada beberapa perkara yang perlu difikirkan. Antaranya, sila periksa sama ada ciri AHB ialah jenis aktif atau pasif. Jangan buat andaian ia sudah siap diaktifkan walaupun kereta anda ada fungsi memori untuk menyimpan tetapan terakhir. Jadi, tidak kira aktif atau tidak, anda perlu selalu periksa fungsi AHB!
Sila ketahui, AHB hanya boleh diaktifkan jika anda berada dalam kereta yang ditutup pintu dan tali keledar dipasang. Sekiranya kenderaan ditunda atau ditarik, pengeluar biasanya akan menyarankan anda mematikan fungsi AHB. Perlu juga diketahui, AHB sebenarnya tidak menggantikan fungsi brek tangan. Jadi sila pastikan EPB berfungsi sebelum meninggalkan kenderaan.
APAKAH BEZA HSA DAN HHA DAN AHB?
Sesetengah kenderaan ada menawarkan ciri Bantuan Mula Daki @ Hill-Start Assist (HSA) dan ada pula Bantuan Pegun Bukit @ Hill-Hold Assist (HHA). Apakah bezanya? Jawapannya, kedua-dua ciri itu sama, cuma istilah berbeza. Tetapi apakah pula perbezaan antara HSA/HHA dan AHB?
Jawapannya,
HSA berfungsi menghalang kenderaan terundur ketika mengalihkan kaki dari pedal brek ke pedal minyak dalam tempoh masa tertentu. Fungsi HSA kerap dilengkapkan pada kereta manual, yang bertujuan memegunkan kedudukan kenderaan ketika pemandu mengangkat kaki kiri dari klac untuk menukar gear, dan mengalihkan kaki kanan dari pedal brek ke pedal minyak.
AHB sebaliknya berfungsi memegang atau memegunkan kenderaan anda di tempat ia berhenti hingga pedal minyak ditekan semula. Tidak perlu lagi tarik-lepas-tarik-lepas brek tangan supaya kereta tidak bergerak (terutama di permukaan jalan tidak rata) seperti kereta konvensional.
Dalam bahasa mudah, HSA ada tempoh masa tertentu sebelum tekanan brek dilepaskan automatik. Sebaliknya AHB tiada had masa, asalkan kaki tidak menekan pedal minyak sebagai cara menyah aktif tekanan brek untuk kereta bergerak.
Fahamkan?
SUMBER: PracticalMotoring
Leave a Reply