BERITA tergempar! KERAJAAN kini sudah memulakan proses rundingan dengan Gamuda Bhd untuk mengambil alih konsesi lebuh raya yang mempunyai pegangan majoriti, membabitkan empat lebuh raya bertol di Selangor dan Kuala Lumpur.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan dipetik Kosmo berkata, dengan kejayaan pengambilalihan itu kelak, Kerajaan merancang menghapuskan mekanisma kutipan tol sedia ada. Menurutnya, empat lebuh raya bertol itu terdiri daripada:
- Lebuhraya Damansara Puchong (LDP)
- Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT)
- Lebuhraya Shah Alam (KESAS)
- Terowong SMART
CAJ KESESAKAN
Sebagai ganti, caj kesesakan (congestion charge) akan diperkenalkan, tetapi cuma pada waktu puncak sahaja (enam jam), sebaliknya waktu bukan puncak (11 malam - 5 pagi) tiada bayaran dikenakan, iaitu PERCUMA. Malah, pengguna akan menikmati diskaun 30 peratus berbanding kadar tol sedia ada bagi waktu biasa.
Bagaimanapun, setakat ini kami tiada maklumat mengenai bilakah tempoh 6 jam waktu puncak tersebut? Adakah ada dua sesi waktu puncak untuk pagi dan petang, misalnya 5 pagi-11 pagi dan 4 petang - 10 malam? Bilakah pula waktu biasa seperti dinyatakan? Adakah hari minggu, atau tengah hari?
KUTIPAN CAJ UNTUK TAMPUNG KOS SELENGGARA
Menurut Kerajaan lagi, hasil kutipan caj kesesakan akan diguna pakai untuk menampung kos operasi dan penyelenggaraan lebuh raya serta bayaran pinjaman. Lebihan kutipan akan disalurkan kepada satu dana pengangkutan awam yang kemudian akan digunakan untuk meningkat kualiti pengangkutan awam seluruh negara.
Lain-lain perincian berkenaan cadangan ini akan diumumkan Kementerian Kewangan pada masa sesuai.
Katanya, Kerajaan Pakatan Harapan berjanji dalam manifesto pilihan raya lalu untuk mengambil alih konsesi lebuh raya bertol dan menghapuskan bayaran tol secara berperingkat, menurut terma perjanjian konsesi. Ini antara langkah kerajaan dalam mengurangkan kos sara hidup pengguna lebuh raya.
Leave a Reply