KEPADA mereka yang mahu menukar atau menaik taraf motosikal, terutama ke kelas 250cc, salah satu kriteria utama diperhatikan selain harga pastinya bilangan silinder.
Logiknya mudah; lebih banyak silinder, lebih banyak kuasa.
Tambahan pula, bunyi deruman dihasilkan enjin dwi-silinder lebih 'garang' dan berbeza dengan enjin kapcai. Ini juga antara sebab motosikal berenjin dwi-silinder seperti Kawasaki Ninja 250 atau Yamaha R25 menjadi pilihan ramai sejak dilancarkan beberapa tahun dulu.
Namun, itu tidak bermakna motosikal dengan enjin silinder tunggal kurang bermutu. Pengeluar seperti Honda dan KTM masih menggunakan konfigurasi silinder tunggal untuk enjin sportbike 250cc masing-masing, seperti Honda CBR250R dan KTM RC250. Malah, KTM turut menggunakan konfigurasi ini dengan sesaran lebih besar seperti 373cc (RC390) dan 690cc (Duke 690).
Jadi apakah kelebihan motosikal dengan enjin 1-silinder yang membuatkan ia mampu bersaing dengan motosikal dwi-silinder? Ikuti perbandingan di bawah.
BACA >>> KTM RC 390 R (2018), Model Edisi Terhad untuk Pelumba Serius - 500 Unit Sahaja
1-SILINDER / SILINDER TUNGGAL
Ini ialah konfigurasi enjin paling meluas kerana digunakan semua jenis motosikal bersesaran 150cc ke bawah. Bukan saja kapcai dan skuter, juga digunakan sportbike bersesaran sama atau lebih kecil seperti Yamaha R15 dan Aprilia RS4 125 sebagai contoh.
Kelebihan
- Binaan enjin lebih ringkas menjadikan ia lebih murah untuk dihasilkan dan dipasarkan oleh pengeluar
- Saiz enjin lebih kecil dan lebih ringan turut memberi kesan ke atas motosikal, lebih ramping dan ringan.
- Penyenggaraan lebih murah, memandangkan cuma perlukan satu set komponen.
- Hantaran kuasa lebih responsif. Digabungkan dengan saiz lebih kompak, menjadikan motosikal jenis ini sangat sesuai buat mereka yang gemar bermain selekoh rapat.
- Penggunaan bahan api lebih jimat, terutama pada kelajuan rendah, kerana enjin lebih pikap dan badan motosikal lebih ringan
Kekurangan
- Getaran lebih ketara disebabkan pergerakan jisim piston lebih berat dan besar berbanding dwi-silinder bersesaran sama
- Had ligat lebih rendah, turut mengehadkan kuasa maksimum yang boleh dihasilkan.
- Kurang efisien dalam menghasilkan kuasa, lantas penggunaan bahan api lebih tinggi pada kelajuan tinggi berbanding enjin dwi-silinder pada kelajuan sama
2-SILINDER / DWI-SILINDER
Dalam enjin dwi-silinder, setiap omboh masih menggerakkan engkol yang sama, tetapi melalui proses pembakaran berbeza. Jadi, berbanding menunggu setiap kitaran 4 lejang sebelum menghasilkan kuasa seperti enjin silinder tunggal, enjin dwi-silinder bersesaran sama mampu menghasilkan kuasa lebih kerap.
Sememangnya dengan saiz silinder lebih kecil (125cc setiap satu untuk enjin 250cc), maka kuasa yang dihasilkan setiap silinder lebih lemah. Namun, kelebihan komponen yang lebih ringan membolehkah ia diligat lebih tinggi dan menghasilkan kuasa lebih banyak.
Lebih menarik lagi, aturan pemasaan pembakaran dan sudut engkol yang boleh dipelbagaikan dapat menghasilkan karakteristik hantaran kuasa dan deruman ekzos berbeza. Ini boleh dilihat apabila membandingkan motosikal dwi-silinder aras mula seperti Yamaha R25 dan Kawasaki Ninja 250 (sebaris, 180°), Naza Blade 250 (V-Twin, 75°) dan Benelli TNT 300 (piston selari, 360°).
Bagaimanapun, untuk perbandingan ini, kita cuma fokus kepada dwi-silinder sebaris 180° kerana ia pilihan popular yang paling mudah didapati di pasaran.
Kelebihan
- Had rev lebih tinggi membolehkan enjin mencapai kuasa maksimum lebih tinggi.
- Kurang getaran dan enjin rasa lebih lancar walaupun dalam kelajuan tinggi.
- Bentuk fizikal motosikal lebih lebar memberikan imej lebih gah.
- Hantaran kuasa masih responsif, tiada perbezaan ketara dengan silinder tunggal.
- Penggunaan bahan api yg lebih efisyen, terutama pada kelajuan tinggi
Kekurangan
- Motosikal lebih berat dan lebar, memberi impak ke atas pecutan dan pengendalian, terutama dalam situasi trafik sesak.
- Kos penyenggaraan sedikit mahal berbanding silinder tunggal, kecuali melibatkan kedua-dua belah silinder seperti servis injap, beza kos lebih terasa.
- Penggunaan bahan api kurang efisien pada kelajuan rendah (akibat pecutan yang lebih lemah), lantas bukan pilihan paling tepat untuk tunggangan jarak dekat yang banyak melibatkan situasi henti-mula.
KESIMPULAN
Jentera dengan enjin dwi-silinder boleh dikatakan pilihan terbaik kepada mereka yang mahu menaik taraf kepada kelas 250cc. Walaupun ada sedikit kekurangan, kelebihan dari segi kuasa dan kosmetik sentiasa mampu mengaburi kekurangan tersebut.
Bagaimanapun, jika anda benar-benar terikat bajet, tetapi masih mahukan kuasa, jentera 250cc silinder tunggal masih mampu memenuhi keinginan anda. Sudah semestinnya, asalkan anda bersedia menerima kekurangan motosikal tersebut. Pada masa sama, itu tidak bermakna penunggang yang memilih jentera 250cc silinder tunggal kurang berkemampuan.
BACA >>> #TunggangUji: Honda CB250R - Retro Moden dengan Resepi Gaya dan Keunggulan
Hantaran kuasa responsif, ringan dan lincah serta mudah disenggara ialah alasan kenapa sesetengah penunggang masih setia dengan konfigurasi enjin ini. Lihat saja Honda CB250, walaupun cuma satu silinder dan lebih mahal berbanding pesaing sekelas, respons baik daripada penunggang uji dan pemilik menjadikan ia sangat laku hingga stok sedia ada sukar didapati.
Paling penting, jangan lupa simpan wang untuk servis penyenggaraan. Motor laju kalau tayar botak sampai terkeluar benang, tak ke mana juga 😉
Leave a Reply