PELUMBA Malaysia, Khairul Idham Pawi berpeluang menjadi pelumba negara pertama direkrut masuk ke dalam pasukan Petronas Yamaha, yang kali pertama akan mengasah trek MotoGP musim ini.
Selepas mengambil kira status Hafizh Syahrin yang dijangka kekal lama dengan pasukan satelit Tech3, Khairul kini menjadi perhatian Petronas Yamaha sebagai seorang lagi pelumba muda Malaysia untuk dibawa masuk ke pentas MotoGP.
BACA >>> Petronas Yamaha SIC Pilih Morbidelli dan Quartararo, Lengkapkan Barisan Pelumba MotoGP 2019
Rekod Khairul, 20 , paling cemerlang ialah mencatatkan sejarah sebagai pelumba Malaysia pertama yang pernah menjejak kaki di podium sebagai juara grand prix sebanyak dua kali, iaitu ketika dia menjadi rookie Moto3 pada 2016.
Namun, Khairul, yang mewakili pasukan Idemitsu Honda Team Asia dalam aksi Moto2 2018, agak bergelut untuk meraih mata apabila sekadar menamatkan musim lalu di tempat ke 30 dengan mengutip 1 mata. Kini pelumba itu mensasarkan musim baharu yang lebih segar selepas berhijrah ke pasukan baharu dan menjadi satu-satunya wakil pelumba Moto2 Petronas Yamaha SIC.
TEMPOH DUA TAHUN RAIH PENGALAMAN
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sepang, Razlan Razali berkata, Khairul sepatutnya beraksi baik sepanjang kontrak dua tahun, kemudian tempat untuk pasukan MotoGP memang sedia menanti untuknya.
"Khairul tetap permata negara kami, sebagai satu-satunya pelumba Malaysia yang pernah menang perlumbaan Grand Prix. Dia cuma tak bernasib baik sebab masuk Moto2 terlalu awal. Saya tak pasti apa rancangan lagi, tapi semestinya ia dua tahun pengalaman yang cukup berharga.
"Dia datang melawat pasukan MotoGP kami (selepas perlumbaan Valencia). Kami cakap, tengok, hang ada dua tahun saja lagi untuk buat sesuautu sebab kami nak hang jadi pelumba MotoGP Malaysia pertama dalam pasukan ni.
"Semua itu sepatutnya berikan dia galakan untuk benar-benar bermotivasi, fokus dan kerja kuat. Sebab dia tahu kalau dia beraksi dengan bagus, itu perkembangan semula jadi dalam struktur ke MotoGP. Ia memang menanti," kata Razlan dipetik Crash.net.
BACA >>> Ujian MotoGP: Vinales Ungguli Ranking, Pelumba Petronas Yamaha Boleh Tahan
Pasukan Petronas Yamaha SIC ialah pasukan baharu MotoGP 2019, diwakili rookie daripada Moto2, Fabio Quartararo dan akan beraksi bersama rakan pasukan yang juga rookie terbaik 2018, Franco Morbidelli aka si rambut megi.
SUMBER: Crash.net
Leave a Reply