SELEPAS debut global beberapa bulan lalu, Mazda3 serba baharu singgah sebentar di Pameran Motor Singapura (SMS) 2019. Sayangnya model generasi keempat itu bukan untuk dijual seperti tertera jelas pada bahagian cermin depan 'Not For Sale'. Model dipamerkan itu ialah versi sedan dalam versi pemanduan sebelah kiri (LHD).
Menurut wakil Mazda Singapura, unit tersebut ialah versi Skyactiv-G 2.5L. Peringkat global, Mazda3 memiliki empat varian enjin: Skyactiv-G 1.5, Skyactiv-G 2.0L dan Skyactiv-D 1.8L. Penampilan baharu sedan itu mengambil ilham Konsep Kai menerusi lampu depan runcing dan gril besar agresif.
BACA >>> Mazda3 (2019) Tawar Teknologi SkyActiv-X, Enjin Petrol dengan Pembakaran Cara Diesel
Bahagian bawah bampar depan kelihatan ambilan udara, diapit lampu kabus kecil. Imej garang disempurnakan dengan rim 18-inci bersama kemasan krom pada frem tingkap. Lampu belakang diperincikan dengan rekaan bulatan ganda untuk setiap kluster dengan hujung but ditinggikan seperti ekor itik, mirip spoiler.
Bawah bampar belakang kelihatan ekzos kembar dan perkataan Mazda3 dengan fon baharu berbanding versi lama. Dimensi sedan dipertingkat berbanding model terdahulu dengan panjang 4,662mm (bertambah 82mm), lebar 1,797mm (+2mm) dan tinggi 1,445mm (+5mm), manakala jarak roda dipanjangkan 25mm kepada 2,725mm.
BACA >>> #GMS2018: Mazda Kai Concept - Beri Bayangan Rupa Mazda3 Serba Baharu
Ruang kabin dihidangkan unit infotainment skrin sentuh 8.8 inci yang dikuasakan sistem konektiviti MZD baharu. Di bawah unit itu ialah susunan butang kawalan sistem penyaman udara, manakala konsol tengah kelihatan butang kawalan unit infotainment dan tuil transmisi.
Leave a Reply