TAHUKAH anda, jenis motosikal mampu mempengaruhi karakter atau perangai si penunggang?
Sebenarnya, penulis pun tidak tahu, sehinggalah seorang rakan yang boleh dikategorikan sebagai seorang pemandu kereta tegar, berkongsikan satu teori masuk akal. Menurutnya, penunggang motosikal seperti Harley-Davidson dilihat lebih berhemah walaupun motosikal mereka lebih lantang dan laju, berbanding penunggang kapcai yang cenderung menunggang melulu.
Betul atau tidak, tiada kajian saintifik.
Tetapi, sejak diberikan peluang menunggang uji Vespa Primavera 150 versi 2018 ini, mungkin ada benar juga 'teori kedai kopi' tersebut.
BACA >>> #BikinMotor: Vespa PX 150 'Pseudo-Scrambler', Skuter Kustom Ekstrem dari Rusia
INTRO & CIRI
Kepada anda yang belum tahu, Primavera ialah salah satu model Vespa yang ditawarkan di Malaysia. Diedarkan secara sah Naza Premira Sdn Bhd, ada 5 pilihan model Vespa seperti Sprint, GTS Super, S dan LXV yang setiap satu dikhususkan untuk segmen penunggang (aka peminat Vespa) tertentu. Primavera ialah siri Vespa paling asas dan paling universal untuk mereka yang mahu cuba menunggang sebuah skuter Vespa.
Walaupun paling asas, jangan cepat menyamakan Primavera 150 dengan skuter aras mula lain di pasaran.
Primavera 150 2018 yang saya tunggang uji ini masih mengekalkan DNA Vespa sejak dilancarkan hampir setengah abad lalu. Tiada panel dan komponen plastik murah seperti kebanyakan skuter pada julat harga bawah RM20,000, sebaliknya hampir seluruh rangka Vespa ini dibentuk daripada keluli. Padanan warna yang dicat seragam meliputi seluruh badan, trim krom dan pelana lembut yang dibaluti fabrik anti-slip menaikkan aura eksklusif dan mewah skuter ikonik ini.
Walaupun menampilkan gaya old-skool, dari segi teknologi ia mampu bersaing dengan skuter 150cc moden lain.
BACA >>> Vespa Elettrica Buka Tempahan Awal untuk Pasaran Zon Euro, Harga €6,390 (RM30,499)
Antara perubahan terkini termasuklah penggunaan teknologi LED untuk lampu depan dan lampu brek, manakala panel meter menggabungkan ciri analog dan digital. Dari segi keselamatan, skuter ini dilengkapi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan imobiliser, yakni ciri mewah yang boleh dikatakan tidak berapa diperlukan untuk skuter sebegini, tetapi turut ada dalam senarai spesifikasi.
KUASA
Bagaimanapun, dari segi kuasa mungkin ketinggalan berbanding pesaing lain seandainya anda menjadikan ia kriteria penting. Tidak seperti pengeluar lain yang gemar meletakkan kuasa tinggi sebagai daya tarikan pembeli, untuk Primavera 150, Vespa cuma berikan kuasa yang cukup-cukup saja, sesuai dengan status model itu sebagai skuter urban.
Walaupun bersesaran 155cc, enjin i-GET milik Vespa ini ialah unit 4-lejang SOHC penyejukan udara dengan 3-injap. Jumlah kuasa maksimum yang dihantar ke roda belakang melalui transmisi automatik CVT ialah 12.9hp @ 7,750rpm dengan tork 12.8Nm @ 6,500rpm.
Sepanjang tempoh tunggang uji, kelajuan maksimum yang mampu dicapai ialah sekitar 105-110kmj dan ia perlu dikerah sepenuhnya untuk mencapai kelajuan tersebut. Jika ditunggang bersahaja, skuter ini mampu dipecut 70kmj dengan mudah, dengan kelajuan santai sekitar 90kmj.
TUNGGANGAN
Dari segi gaya tunggangan, Primavera 150 bukan motosikal atau skuter yang boleh dihenyak sewenangnya di selekoh. Mengambil selekoh besar seperti di susur masuk/keluar lebuh raya pada kelajuan dan sudut miring tinggi seperti kapcai atau skuter prestasi tinggi lain bakal membuatkan roda belakang menari.
Namun, menyelinap lautan kereta di jalan-jalan bandar atau membuat pusingan-U terasa lebih lincah, terutama jika penunggang sudah terbiasa menunggang motosikal sport. Mungkin disebabkan saiz roda kecil, cuma sebesar 12 inci yang memudahkan skuter ini menukar arah.
BACA >>> #RetroAuto: Kerana Aktres Hollywood, Vespa Itali Cetus Budaya Popular Skuter Dunia
Prestasi gabungan brek cakera depan dan dram di belakang cukup baik, terutama dengan kehadiran ABS walaupun mungkin sangat jarang diperlukan. Meredah bonggol dan kawah jalan, antara karakteristik jalan perumahan di Malaysia memang tidak jadi isu langsung. Unik pada Vespa, suspensi depan ialah unit tunggal - antara legasi Vespa sekian lama yang memudahkan roda depan diganti.
PRAKTIKALITI
Primavera 150, sama seperti skuter sekelas lain cukup baik dalam hal praktiliti jika anda mahukan motosikal yang mudah ditunggang jarak dekat dalam bandar-bandar. Selain ciri keselamatan, kuasa dan tunggangan seperti disebutkan di atas, tidak dilupakan juga mengenai aspek penjimatan bahan api dan ruang simpanan.
Enjin i-GET 155cc dengan sistem suntikan bahan api yang menepati piawaian ketat EURO 4 memberikan Primavera 150 tahap ekonomi bahan api sekitar 30km-35km/liter. Dengan saiz tangki sebesar 8 liter, sekali isian penuh mampu bertahan lebih seminggu jika jarak tunggangan sekitar 30km sehari (lebih kurang ulang-alik Subang Jaya-Shah Alam).
Mengenai ruang simpanan, bahagian depan diberikan kompartmen glove box. Cukup untuk mengisi gajet kesayangan, tetapi sayang tiada soket pengecas disertakan. Ruang bawah pelana cuma boleh memuatkan sebuah helmet muka penuh. Jika melihatkan saiz Primavera 150 ini yang kecil, kekurangan itu masih boleh dimaafkan. Jika tidak diguna untuk menyimpan helmet, tiada masalah untuk menempatkan dokumen, gajet atau set baju hujan.
Nak sangkut teh tarik bungkus ikat tepi? Pun boleh, ada cangkuk kecil turut disediakan, cuma posisi di celah kelangkang membuatkan penulis berkira-kira mahu guna cangkuk tersebut.
BERBALOI ATAU TIDAK?
Pada tanda harga sekitar RM15,000-RM16,000, jujur sekali ia bukan murah. Lebih-lebih lagi ada pesaing jenama lain yang lebih berkuasa pada julat harga sekitar RM12,000 sahaja.
Tetapi, seperti iPhone terkini, harga murah bukanlah segala-galanya untuk menarik pembeli. Sudah tentu, jika anda mahukan skuter dengan spesifikasi lebih berkuasa, cukup banyak pilihan. Bagaimanapun, jika anda peminat Vespa, atau bakal pemilik yang mahukan motosikal berimej mewah dan ikonik pada harga 'lebih murah', Primavera 150 sememangnya sukar ditandingi.
BACA >>> #RetroAuto: Fakta Menarik Tentang Vespa - Ikon Skuter Lebih 70 Tahun di Pasaran
Atau boleh jadi anda penunggang yang gemar menunggang laju, Vespa ini mungkin membantu anda menghayati sisi 'weekend ride' yang SANTAI dalam erti kata sebenar. Cubalah!
Suhardi says
Bro, Video review tadak kah? Tq