"PANJANG betul van ni. Boleh ke aku nak bawa ni?". Itu reaksi saya ketika pertama kali bersua muka dengan BAIC AD 009, van mewah berkapasiti 16 tempat duduk keluaran Beijing Auto International Corporation.
Melihat keadaan fizikal yang besar dan panjang, mungkin ramai beranggapan van ini susah dikekang, terutamanya mereka yang pertama kali memandu van., Namun, itu semua perasaan semata-mata dan anda akan seronok kerana ia mudah dikendalikan apabila mula memandu.
Saya bukanlah tidak pernah memandu van, tetapi cuma terhad kepada 12 penumpang sahaja. Sekarang saya perlu memandu van yang ada tambahan satu baris lagi tempat duduk di belakang. Bagaimanapun, saya tidak perlu mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri.
Amber Dual Sdn Bhd ialah pengedar eksklusif jenama BAIC di Malaysia dan van AD 009 adalah model CKD pertama dibawa masuk ke pasaran tempatan. Bagi mereka yang baru mengenali BAIC, jenama ini adalah antara pengeluar utama kenderaan elektrik di dunia dan berpangkalan di China.
Menerusi memorandum persefahaman (MoU) bersama Amber Dual di China tahun lalu, jenama ini bakal memperkenalkan beberapa model baharu termasuk kenderaan elektrik ke negara ini dengan pemasangan dibuat di kilang dekat Gurun, Kedah.
DALAMAN MEWAH
Sekarang kita beralih kepada van yang sedang dipandu. BAIC AD 009 dibangunkan dengan konfigurasi (2 + 4 + 3 + 3 + 4) tempat duduk.
Faktor utama keselesaan ialah penumpang tidak perlu menundukkan kepala terlalu banyak ketika memasuki ruang kabin belakang kerana jarak tinggi bumbung yang agak tinggi. Anda juga mampu mencelah ke bahagian paling belakang tanpa sebarang masalah.
Bahagian kabin van menjanjikan tahap keselesaan yang baik, di mana semua tempat duduk dibaluti kulit, manakala bahagian lantai ditutupi karpet PVC. Sangat praktikal untuk sebuah kenderaan yang memuatkan 16 penumpang pelbagai ragam. Jadi, tidak perlu mengeluh jika ada kanak-kanak yang tertumpah minuman. Cuma ambil kain dan lap.
Setiap baris tempat duduk disediakan ventilator penyaman udara yang boleh dilaraskan menggunakan tuil di belakang. Rekabentuk papan pemuka ringkas dan padat. Jika bosan, sentuh saja skrin sesentuh bersaiz 15.4 inci dan lagu kegemaran akan menyanyi melalui enam pembesar suara.
LUARAN MENARIK
Melihat aspek luaran, ramai beranggapan van ini ialah produk Jepun. Ya, saya akui wajah luaran BAIC AD 009 tampak seakan sama. Apa yang berbeza ialah rekaan belakang yang tampak lebih lebar dan menarik. Ramai pengguna jalan raya yang ditemui mengakui daya tarik rekabentuk luaran van ini.
BAIC AD 009 didatangkan dengan bampar hadapan, lampu kabus hadapan, rim aloi dan beberapa ciri lain.
PRESTASI
Aspek mekanikal BAIC AD 009 dikuasakan unit enjin G4BA bersesaran 2.7L petrol. Bantuan kotak gear manual 5-kelajuan mampu memberikan kuasa sekuat 148hp pada 5,200rpm, dan tork 235Nm (4,000rpm).
PANDU UJI BAIC AD 009
Sepanjang mengemudi BAIC AD 009 selama seminggu, saya tidak berasa kekok. Van ini mudah dipandu ke mana saja. Masalahnya mungkin cuma petak parkir memandangkan saiz badan yang agak besar. Di sini pengalaman akan membantu.
Dari segi prestasi, tindak balas enjin tidak mengecewakan. Begitu juga pengendalian stereng yang cukup responsif, tetapi sedikit kerja keras diperlukan ketika mendaki bukit.
Apabila memandu di lebuh raya, van memecut stabil. Jika terlalu ralit menekan pedal minyak, badan van mula membuang, terutama ketika dipotong kenderaan lebih besar memotong. Mungkin disebabkan saya memandu tanpa penumpang.
Apa yang paling penting, saya berharap kualiti pemasangan di Gurun tidak terjejas dan proses pemasangan dapat dibuat dengan teliti, sama seperti model yang diimport terus dari China. Rekomendasi saya, jika anda sedang mencari sebuah van besar, selesa dan praktikal, BAIC AD 009 mungkin boleh dijadikan alternatif terbaik selain jenama dari Jepun.
SPESIFIKASI
BAIC AD 009
ENJIN G4BA bersesaran 2.7L petrol
TRANSMISI Manual 5-kelajuan
KUASA MAX 148hp @ 5,200rpm
TORK MAX 235Nm @ 4,000rpm
KAPASITI TANGKI 86L
HARGA: RM114,947.30 (Persendirian) / RM115,197.30 (Syarikat) - Atas jalan termasuk insurans & GST
Mohd Faizal says
saya mencari van macam VIP dgn harga yg brpatutan
ABG GYL says
Boleh cuba Maxus G10. Atau beli saja mana2 van dan lakukan sedikit modifikasi dalam van.
Ariffin says
Ingin mencari van kuasa letrik UTK 12 penumpang
Arunasalam says
Soalan
1. Tempat duduk boleh diubahsuai, seperti menjarakkan, dan kurangkan kerusi kpd 2+3+3+3+space kosong belakang.
2. Pinjaman..bagaimana..interest + ansuran + deposit
3.