MODEL streetbike, TVS Apache RTR 200 4V akhirnya tiba di Malaysia. Kepada anda yang mungkin tidak tahu, TVS ialah jenama produk motosikal buatan TVS Motor Company, iaitu pengeluar motosikal multinasional yang berpangkalan di Chennai, India.
Jangan sesekali pandang rendah jenama motosikal ketiga terbesar India ini kerana BMW Motorrad sendiri memilih TVS sebagai rakan sekutu untuk memasarkan motosikal bawah 500cc sejak 2013. Hasil kerjasama itu ialah kemunculan BMW G 310 R. Jadi jenama baru yang bakal menembusi pasaran Malaysia nanti bukanlah cikai!
BACA >>> TVS Apache RR 310 Lancar di India - Inilah Kembar G310R Tanpa Lambang BMW
Untuk pasaran Malaysia, jenama itu dipasarkan menerusi Daju Motor Sdn Bhd yang terletak di Petaling Jaya, Selangor. Buat masa ini, TVS Apache RTR 200 4V akan dibawa dalam versi import (CBU) dari India sebelum disusuli model pemasangan tempatan (CKD).
HARGA
- TVS Apache RTR 200 4V - RM10,950
* Atas jalan tidak termasuk insurans
BACA >>> #BikinMotor: Pulsar NS200 Kena Sumpah Jadi Kawasaki Z1000
ENJIN 197.75CC SOHC
TVS Apache RTR 200 4V dijana enjin 4 injap 197.75cc SOHC penyejukan minyak berkuasa 20.7hp @ 8,500rpm dan tork 18.1Nm @ 7,000rpm. Dengan padanan transmisi 5-kelajuan, ia membolehkan streetbike ini memecut 0-100kmj sepantas 11.2 saat.
Sebagai perbandingan, model ini bakal bersaing dengan Modenas Pulsar NS200 yang sudah dilancarkan secara rasmi tahun lalu. Pulsar NS200 dijana enjin 199cc SOHC, penyejukan cecair berkuasa 23.2hp @ 9,500rpm dan tork 18.6Nm @ 8,000rpm.
Keselesaan tunggangan ditugaskan kepada suspensi fork teleskopik 37mm (depan) dan monoshock KYB (belakang), manakala kuasa henti menggunakan khidmat brek cakera 270mm (depan) dan 240mm (belakang). Bahagian roda dipadankan rim 17 inci dengan balutan tayar Pirelli bersaiz 90/90 (depan) dan 130/70 (belakang).
BACA >>> 4 Reviu Pantas | Modenas Dominar D400 vs Pulsar NS200 vs Kawasaki Z250
5 PILIHAN WARNA
Bagi pasaran Malaysia, TVS Apache RTR 200 4V ditawarkan dalam lima pilihan warna:
- Hitam
- Merah
- Putih
- Kelabu
- Hitam kusam (matte)
Antara ciri khas TVS Apache RTR 200 4V ialah lampu depan jenis mentol dengan lampu posisi LED, lampu belakang LED dan ekzos lumba barel kembar. Persoalannya, mampukan TVS Apache RTR 200 4V mencabar Modenas Pulsar NS200 di Malaysia? Adakah rakyat Malaysia boleh menerima jenama ini?
Jika mahu melihat dengan dekat, model streetbike ini kini sudah berada di bilik pameran TVS seluruh negara. Maklumat lanjut boleh layari www.dajumotor.com.
Leave a Reply