SIAPA yang tidak kenal majalah automotif Top Gear? Selain hadir dengan konten menarik, anugerah tahunan majalah tersebut juga ditunggu-tunggu ramai peminat dan pemerhati dunia permotoran.
Antara keistimewaan anugerah tahunan TopGear ialah tidak pilih bulu, model jenama apa pun boleh terpilih sebagai contoh Fiat Multipla yang menang pada 2000. Kini Anugerah tahunan popular itu kembali lagi dan sekali lagi hadir dengan keputusan menarik.
BACA >>> Hyundai Group Lantik Pereka Lambo, Bentley Sebagai Ketua Pereka Baharu
Hyundai Motor terpilih sebagai Pengeluar Tahunan Terbaik Majalah BBC TopGear 2018. Apakah faktor pengeluar automotif dari Korea Selatan ini terpilih?
HYUNDAI - PENGELUAR TERBAIK 2018
Menurut BBC Top Gear, Hyundai menjadi pilihan disebabkan perkembangan pantas ditunjukkan pengeluar itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini selain kepelbagaian produk ditawarkan daripada i30N, IONIQ hingga KONA Electric.
Keunikan Hyundai juga dapat dilihat di Malaysia apabila kita sudah tidak sukar untuk melihat Ioniq dipandu atas jalan. Tidak dinafikan Kia lebih popular di pasaran tempatan, tetapi di peringkat global seperti Eropah, Hyundai begitu aktif menerokai industri automotif sama ada dalam teknologi hijau atau ke sukan permotoran seperti Kejuaraan Rali Dunia (WRC).
Pengiktirafan Top Gear itu mempunyai makna besar dan menjadi perakuan betapa Hyundai sudah setaraf dengan jenama global lain. Hyundai kini mempunyai portfolio produk begitu luas, daripada kereta urban, penumpang, hot hatch, SUV besar dan kecil serta kepelbagaian teknologi melibatkan enjin biasa, hibrid, elektrik dan kuasa hidrogen.
Hyundai kini bukan saja pengeluar automotif tetapi sudah menjadi rumah teknologi, termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hyundai Motor UK, Tony Whitehorn berkata;
"Untuk menerima pengiktirafan majalah BBC TopGear ialah perakuan kepada perjalanan jauh kami dalam dekad lalu. Pada 2008, kami hanya jual 28,000 unit kenderaan di UK dan ia semata-mata sebab harga.
"Kemudian tahun ini kami tersenarai dalam 10 pengeluar teratas UK dan bakal mencapai jualan lebih 90,000 unit sebelum hujung tahun. Faktor utama pilihan pelanggan ialah rekabentuk kenderaan. Jenama kami terus berevolusi dan kami begitu bangga kerana dapat menawarkan kepada pelanggan pelbagai pilihan model berbanding sebelum ini."
Tahniah diucapkan kepada Hyundai dan semoga terus memberikan alternatif terbaik kepada pelanggan. Khabarnya, Hyundai i30 N bakal ditawarkan untuk pasaran Malaysia dan kami memang tidak sabar untuk menanti waktu tersebut!
Leave a Reply