SKUTER ialah motosikal terbaik untuk penunggang urban, dan tiada jenama skuter yang cukup ikonik selain Vespa. Sudah lebih 70 tahun sejak diperkenalkan Piaggio & Co di Itali pada 1946, motosikal itu masih mengekalkan gaya asal dengan sedikit saja perubahan dibuat, bersesuaian perkembangan teknologi semasa.
Baru-baru ini, penulis berkesempatan menunggang uji sendiri model terbaru, Primavera 150 (2018). Impresi awal cukup baik walaupun penulis seorang penggemar dan penunggang sportbike. Memandangkan ramai kalangan pengikut ArenaPermotoran dan PanduLaju masih asing dengan jenama ini, sebagai mukadimah untuk laporan penuh akan datang, berikut beberapa fakta menarik dan penting tentang Vespa yang perlu anda tahu.
BACA >>> Skuter Vespa Tertua Sedang Dilelong, Harga Semasa Pun Sudah Lebih RM700k!
1. INSPIRASI DARIPADA SKUTER PERANG
Seperti kebanyakan perusahaan kereta dan motosikal ketika itu, Piaggio & Co asalnya terlibat dalam industri pembuatan pesawat udara Perang Dunia Kedua (WWII).
Selepas perang tamat, bagi meneruskan kelangsungan industri, pengeluar itu beralih kepada pembuatan motosikal untuk pasaran awam. Digelar MP5, rekabentuk prototaip jurutera Piaggio, Renzo Spolti dan Vittorio Casini itu dihasilkan dengan menambah baik motosikal sedia ada sambil menambah sepasang sayap pelindung depan dan pelindung enjin.
BACA >>> #RetroAuto: Kerana Aktres Hollywood, Vespa Itali Cetus Budaya Popular Skuter Dunia
Hasilnya bukan saja bertujuan menghindarkan elemen cuaca dan kotoran daripada terkena enjin, malah menjadikan motosikal lebih bersih dan praktikal.
Bagaimanapun, rekabentuk itu di-reject pemilik Piaggio ketika itu yang kurang berkenan dengan segmen tengah yang tinggi. Lantas jurutera aeronautik, Corradino D'Ascanio dipanggil untuk menambah baik rekabentuk tersebut.
D'Ascanio sebelum itu ditugaskan Lambretta untuk menghasilkan motosikal dengan prinsip rekabentuk sama berasaskan skuter perang tentera bersekutu Amerika Syarikat (AS), Cushman Model 53 (gambar atas), tetapi terhenti separuh jalan disebabkan ketidaksefahaman dengan Lambretta dari segi metod pembuatan.
2. "SEMBRA UNA VESPA!"
"Nampak macam tebuan!" Itulah ungkapan terkenal Enrico Piaggio, pemilik pengeluar motosikal terkenal, Piaggio & Co ketika melihat prototaip Vespa, MP6 (Moto Piaggio no 6) buat kali pertama.
Segmen belakang besar dengan ekor runcing, bahagian tengah ramping, dan sepasang hendal seperti antena, memang tidak sukar membayangkan reaksi Piaggio itu.
D'Ascanio selaku pereka yang bertanggungjawab terhadap rekabentuk MP6, memang tidak sukakan motosikal dengan alasan "besar, kotor, dan tak boleh diharap". Bahagian depan dan enjin terlindung, dengan transmisi pacuan terus ke roda belakang bermakna penunggang bebas daripada masalah kotoran akibat minyak enjin dan rantai pacu motosikal tradisional.
Selain itu, kedudukan enjin dan transmisi di belakang memberikan ekstra ruang di tengah yang memudahkan skuter itu dinaiki penunggang lelaki atau perempuan (kebetulan fesyen kaum hawa ketika itu ialah stail gaun labuh).
3. BINTANG FILEM DAN IKON FESYEN
Jika anda tertanya, kenapa Vespa begitu popular? Jawapannya, wayang gambar dan fesyen.
Sama macam filem tempatan seperti Gila Gila Remaja, Remp-It, KL Menjerit dan sebagainya yang mempopularkan budaya rempit, populariti dan jualan Vespa mencanak naik selepas muncul dalam filem Roman Holiday yang ditayangkan pada 1952.
Melalui filem itu, yang dibintangi ikon Hollywood, Audrey Hepburn, jualan Vespa meroket tinggi daripada cuma 2,500 unit pada 1947 kepada 100,000 unit pada tahun sama.
BACA >>> #RetroAuto: Kerana Aktres Hollywood, Vespa Itali Cetus Budaya Popular Skuter Dunia
Populariti Vespa semakin berkembang dengan kemunculan budaya popular atau pop-cult, Mods di Britain pada awal 1960-an. Budaya yang mementingkan penampilan kemas itu dilihat secocok dengan Vespa kerana ciri jentera dimiliki menawarkan perlindungan daripada elemen cuaca sebagai faktor jualan.
Bagaimanapun, jualan dan populariti Vespa mula merudum dengan kemunculan motosikal dan skuter lain, terutama Honda Super Cub yang menawarkan reliabiliti dan praktikaliti pada harga lebih murah. Namun, bagi mereka yang mementingkan gaya, tiada motosikal atau skuter lain yang mampu menggantikan Vespa (selain Lambretta, pesaing ketat jenama itu), sekali gus menjadikan skuter tersebut kekal popular dan relevan hingga hari ini. Tidak mustahil juga untuk tahun-tahun mendatang.
Leave a Reply