MENUNGGU memang menyeksakan. Begitulah dirasai setiap pelanggan ketika menghantar kereta mereka di servis di pusat servis (SC). Ini diburukkan lagi dengan suasana pusat servis yang membosankan dan tidak selesa hingga terasa sejam bagaikan setahun lamanya. Stres betul!
Sebenarnya, apa yang pelanggan perlukan di pusat servis untuk mengubat hati yang sedang kebosanan? Mungkin di bawah ini jawapannya:
1. WIFI PERCUMA
Ini kemudahan yang wajib ada di setiap pusat servis. Sepatutnya mana-mana pusat servis yang tiada kemudahan WiFi perlu diboikot pelanggan. WiFi pula mestilah berkelajuan tinggi dan janganlah asal cukup syarat saja. Bukan semua pelanggan menggunakan telefon ada bil dan bukan semua pelanggan ada bil cukup kuota Internet mereka. 😛 Ya, kemudahan WiFi percuma dapat membuatkan mereka tersenyum.
Internet percuma menerusi WiFi mampu menghilangkan kebosanan dan melengah-lengahkan perasaan lama menunggu. Sedar tak sedar nama kena panggil sebab kereta sudah siap servis.
2. MANA SOKET LETRIK NAK CAS?
Ramai pelanggan datang ke pusat servis dengan beban kerja yang perlu diselesaikan. Jadi, komputer riba aka laptop mereka perlukan bekalan kuasa. Ini termasuk mereka yang datang ke pusat servis dengan bateri telefon bimbit sudah kekuningan (tinggal 30 peratus sahaja). Power bank terlupa. Aduh, kena pula panggilan bos masuk bertalu-talu.
Cari punya cari, soket letrik memang ada, tetapi tidak cukup. Pusat servis bukan main besar, soket letrik tidak sampai 10 pun. Itupun habis 'diborong' untuk mesin air, televisyen dan vakum makcik cleaner, termasuk kerusi urut eletrik. Apa salahnya sediakan wayar sambungan, atau buat soket letrik baharu. Melaburlah sikit?
3. LOKAR BERKUNCI
Bayangkan sedang asyik menaip di laptop, tiba-tiba perut memulas. Nah, tak pasal-pasal kena usung masuk tandas. Takkan nak biarkan macam tu saja atas meja atau kerusi. Benda dalam laptop jangan dibuat main. Silap-silap ada dokumen juta-jutaan ringgit. Gambar anak isteri ada beribu-ribu fail. Kalau hilang mahu air mata bercucuran.
Mahu solat di surau pun tidak khusyuk walaupun letak laptop di sebelah. Sambil solat sempat pula jeling-jeling ye tak? Jadi, lokar berkunci patut ada sebagai fasiliti wajib! Boleh letak di ruang surau atau laluan ke bilik air atau tandas.
4. RUANG MAINAN KANAK-KANAK
Sesetengah pelanggan ialah suri rumah yang datang dengan anak. Ada juga bapa mithali yang bawa anak mereka ke pusat servis. Faham-faham sajalah, budak-budak kalau bosan mulalah mengamuk ajak balik. Tapi macam mana nak balik kalau kereta belum siap servis?
Penyelesaiannya, sediakan ruang mainan kanak-kanak. Biarkan anak-anak pelanggan menggelongsor keriangan hingga terlentok kepenatan di atas sofa.
BACA >>> Lakukan 5 Tabiat Ini Jika Mahu Gear Automatik Anda Rosak
5. PERPUSTAKAAN MINI
Tidak perlu pun berbelanja besar. Cukup saja sediakan sebuah rak buku 6-8 para. Bahan bacaan pula mesti pelbagai untuk pelanggan lelaki dan perempuan pelbagai peringkat umur. Antara genre buku wajib ada: kereta, masakan, hiasan rumah, gaya hidup wanita, famili, komik.
Sama seperti WiFi, buku-buku juga berfungsi melengah-lengahkan perasaan menunggu lama. Bila pelanggan tidak lama menunggu, kuranglah sikit mereka rasa nak marah.
6. MAKANAN PERCUMA
Orang Malaysia memang suka makan. Tambahan pula percuma, berilah apa saja pasti cepat sahaja diserbu mereka. Bukanlah minta dijamu nasi beriani atau set stik. Tetapi cukuplah roti krim, roti kaya, biskut kering dan kopi panas. Menariknya, ada pelanggan beritahu ada beberapa pusat servis di Malaysia menyediakan makanan menarik seperti nasi lemak dan teh tarik.
Benarlah kata pengasas mi segera dari Jepun, Momofuku Ando; "Dunia aman jika manusia cukup makan".
7. TINGKAP TEMBUS KE RUANG SERVIS
Jika di bengkel luar, pelanggan dibenarkan datang dekat kepada kereta, tetapi tidak di pusat servis. Jadi bagi menghormati naluri ingin tahu itu, ada baiknya pusat servis mewujudkan tingkap tembus ke ruang servis bagi membolehkan pelanggan melihat bagaimana kereta mereka diservis.
Tingkap tembus juga mampu mewujudkan perspektif luas di pusat servis, sekali gus mengurangkan stres pelanggan. Tak adalah rasa terperangkap semacam duduk dalam penjara.
8. MAKWE CUN
Kalau syarikat penerbangan ada khidmat pramugari, apa salahnya pusat servis tiru benda sama. Sediakan penasihat servis (SA) yang cun melecun atau kacak bergaya. Silap haribulan, kereta belum sampai tempoh servis pun pelanggan sudah datang terpacak mahu tukar itu ini. Hehehe...
BACA >>> Inilah 5 Cara Memandu Teruk Yang Boleh Rosakkan Kereta Anda [SIRI 1]
BACA >>> Inilah 5 Cara Memandu Teruk Yang Boleh Rosakkan Kereta Anda [SIRI 2]
Leave a Reply