SEBELUM sesiapa mengecam, tengok dulu tarikh artikel, November 2017, dah nak masuk lima tahun! Yelah, manalah tahu kalau ada yang tuduh kami cuma bising sekarang saja. Padahal kami di PanduLaju bercakap dari segi industri automotif itu sendiri.
Sebelum seorang profesor dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) buat cadangan kelmarin (Jun 2022), idea melupuskan kenderaan lama sebenarnya sudah disuarakan Persekutuan Persatuan Syarikat Kereta dan Kredit Malaysia (FMCCAM) seawal 2007! Selepas enam tahun berlalu, cadangan sama kedengaran lagi dan kali ini daripada Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof Dr Wong Shaw Voon (2013).
BACA >>> Menteri: Kerajaan Tidak Akan Buat Dasar Jangka Hayat Kenderaan (ELV) Sekarang!
Kemudian, muncul semula idea mengenai dasar melupuskan kenderaan lama. Kali ini diuar-uarkan pula Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad (2014). Malah awal tahun 2015, pemilik kereta berusia 10 tahun ke atas ditawarkan rebat hingga RM5,000 untuk membeli kereta baharu jika melupuskan kenderaan lama mereka. Namun, tidak diketahui setakat mana keberkesanan skim (dibaca Skim Insentif Pengguna) tersebut. Apa yang pasti, jika ditanya pemilik kereta di luar sana, hampir pasti rata-rata mereka tidak tahu.
Sekali lagi kedengaran saranan sama menerusi kenyataan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (Kerajaan lama), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Oktober 2017). Namun, faham-faham sajalah, semua idea dan cadangan itu sekadar retorik atau polemik di media massa sahaja.
Kemudian, muncul pula kenyataan daripada Menteri Pengangkutan daripada Kerajaan Pakatan Harapan (PH), Anthony Loke, dipetik The Edge sebagai bercadang memperkenalkan semula program rebat tunai untuk pemilik kenderaan yang mahu melupuskan kereta lama. Bagaimanapun, dibatalkan hanya beberapa minggu selepas cadangan dikemukakan.
Sudahnya, pi mai pi mai tang tu juga.
Cuba bayangkan dasar itu dilaksanakan lebih 10 tahun lalu - bermula 2007, sudah tentu kita kini sudah memperoleh hasil dapatan yang positif atau negatif. Jika pun gagal, setidak-tidaknya ada pihak berusaha merangka mekanisme ke arah mewujudkan dasar pelupusan kenderaan lama. Apakah kita perlu menunggu 10 tahun lagi untuk mendengar idea sama dan kemudian berperang dalam Facebook?
Realitinya, dasar lupus kenderaan lama sangat sukar dilaksanakan di Malaysia. Sukar di sini bukanlah bermaksud tidak boleh dilaksanakan, tetapi ada beberapa isu yang perlu Kerajaan selesaikan dulu sebelum bercakap ikut sedap mulut saja.
Kenapa sukar? Nah, kami senaraikan sikit beberapa sebab:
1. BAYAR PINJAMAN KERETA TERLALU LAMA
Murah atau mahal harga kereta itu subjektif dan memang tidak akan habis didebatkan dari malam membawa ke subuh hingga ke esok hari dan bulan. Tetapi kami berpendapat harga kereta di negara kita cuma sederhana. Tidak murah, tetapi tidak juga melampau mahal.
Itupun kalau kita rajin membaca statistik jumlah jualan kenderaan (TIV) yang diumumkan setiap penggal sepanjang setahun. Apa kami perasan, TIV lebih kerap meningkat daripada menurun. Ingat, kita sekarang bercakap tentang fakta dan bukan sentimen! Tetapi apa kena mengena dengan dasar lupus kereta pula?
Maknanya, harga kereta Malaysia mungkin mahal, tetapi pinjaman bank yang membuatkannya murah. Kalau tak percaya, sekarang pergi buka mana-mana laman web menjual kereta di Indonesia dan cari kalkulator pinjaman kenderaan. Cuba perhatikan berapa duit muka yang orang Indonesia bayar untuk sebuah Toyota Vios atau Honda City. Selepas itu, tengoklah pula berapa lama pula tempoh pinjaman yang dibenarkan bank di sana.
Dan kemudian bandingkan pula dengan skim pinjaman kenderaan yang ditawarkan bank-bank kita.Ya, di Malaysia, kita boleh buat pinjaman kenderaan sampai 9 tahun. Ada sesetengah bank boleh bagi kita berhutang sampai 10 tahun! Tetapi apa kena mengena dengan dasar lupus kereta? Sabar, belum punchline.
Maknanya, jika dasar lupus kereta dilaksanakan (andaikan bermula usia kereta 12 tahun), ini bermakna pembeli yang jenuh membayar ansuran bank 9 tahun perlu melupuskan kenderaan mereka hanya selepas 3 tahun hutang kereta langsai. Baru saja habis hutang sudah disuruh berhutang pula. Faham tak ni apa masalah yang berlaku?
Jadinya, masing-masing lepas geram dan cakap;
Banyak cantik, penat aku bayar kereta tiap-tiap bulan, lepas tu depa suruh aku pi lupus pulak. Lantaklah nak jadi apa!”
Maknanya, Kerajaan perlu selesaikan dulu isu tempoh pinjaman kenderaan sebelum berani nak pung pang pung pang lupus kereta. Itu satu.
2. TAHAP KEPUASAN PEMILIKAN KERETA
Juga ada kaitan dengan isu di atas. Abang bagi contoh, antara baju RM10 dan RM300, mana satu baju yang kita tidak kisah dibuang selepas dipakai setahun? Sudah tentu baju RM10 kan? Sebabnya, nilai RM10 untuk sehelai baju boleh dikatakan sudah cukup memberikan tahap kepuasan memakai kepada kita dalam tempoh setahun.
Namun, situasi tersebut berbeza bagi baju RM300 yang mungkin ambil masa 3 tahun atau lebih lama sebelum kita rela hati nak buang, jual atau berikan kepada orang lain.
Bagi kebanyakan orang, nilai RM10 untuk sehelai baju boleh dibelanjakan dengan senang hati tanpa berfikir panjang. Sebaliknya, nilai baju RM300 boleh membuat seseorang itu berfikir dua tiga kali dan memaksa dia menabung beberapa bulan sebelum dapat memiliki pakaian mahal tersebut. Dari segi psikologi, semakin mahal dan sukar sesuatu barang itu dimiliki, semakin payah pula kita mahu melepaskannya.
Sama juga macam kereta. Andaikan kita langsai pinjaman kereta selepas 5 tahun dan dapat memandu selama 7 tahun tanpa beban hutang, kita mungkin tak berat hati sangat nak let go kereta untuk dilupuskan selepas masuk usia persaraan ke-12 tahun.
Jadi, Kerajaan perlu menyemak dahulu tempoh pinjaman kereta sedia ada. Kereta mungkin jadi murah, tetapi kita pula bersediakah membayar deposit 20-30 peratus daripada harga kereta? Misalnya, perlu deposit RM10,000 untuk beli Myvi dan bayaran bulan hingga RM1,000. Bersedia dan sanggupkah kita? Beranikah Kerajaan? (Sekarang sila angkat tangan ke bahu, dan mata pandang ke atas).
3. SOLIDARITI PENCINTA KERETA LAMA
Antara mereka yang kuat menentang dasar lupus kereta lama ialah kumpulan pemilik kereta lama, antik dan klasik. Apakah kereta mereka juga dipaksa dilupuskan? Beranikah Kerajaan akan mengenakan cukai tinggi terhadap mereka?
Selagi tiada siapa yang tampil memberikan penjelasan menang-menang mengenai situasi pemilik kereta lama, antik atau klasik sekiranya dasar lupus kereta benar-benar dilaksanakan, selagi itulah mereka akan kuat menentang.
Hak mereka juga perlu dipertahankan kerana kereta-kereta seumpama itu adalah sebahagian daripada industri automotif. Misalnya di Amerika Syarikat, budaya modifikasi kereta vintaj bukan saja merancakkan ekonomi domestik, tetapi juga memelihara nilai sejarah negara. Siapa lagi yang diharapkan menjaga Proton Saga ‘kotak’ kalau bukan pencinta model itu sendiri. Kita sendiri tidak mahu suatu hari nanti hanya mampu menatap kereta itu di muzium dan televisyen.
Kerajaan perlu memikirkan hal pengecualian cukai, rebat insurans, geran khas, atau apa saja insentif untuk menjaga kelompok tersebut. Tapi dengan syarat, kereta mereka mesti selamat dan sempurna. Kalau badan kereta berkurap, ekzos cecah jalan, bampar diikat dawai, itu sendiri mahu ingatlah. Siap sedia diskrapkan.
4. TIADA DEPOH LUPUS
Persoalan ini agak lucu, tapi serius. Sekarang jawab soalan kami, macam mana kereta lama nak dilupuskan sedangkan kita tak ada depoh khas yang menguruskan hal-hal pelupusan kenderaan secara efisien? Buat masa ini, satu-satunya pusat pelupusan (atau penempatan) kereta lama adalah di premis kenderaan terpakai, kedai besi buruk dan kedai potong.
Agak pelik kalau dasar itu dilaksanakan ketika Kerajaan pada masa sama tidak menyediakan pihak yang menguruskan hal pelupusan berkenaan secara bersepadu. Semacam menyuruh orang ramai buang sampah, tetapi tidak disediakan tapak pembuangan sampah dan pihak yang menguruskan sampah.
5. KUASA SYARIKAT DAN KAPITALIS
Dasar lupus kereta lama akan memaksa banyak syarikat merombak perbelanjaan masing-masing. Pengusaha syarikat teksi misalnya perlu menggantikan kenderaan mereka setiap 10-12 tahun. Begitu juga syarikat lain tidak mengira swasta atau Kerajaan. Paling terkesan sudah tentu syarikat yang menjalankan urusan berhubung logistik, perkhidmatan, keselamatan dan kurier seperti Pos, Polis, Tentera, dan seumpamanya.
Persoalannya, apakah dasar Kerajaan untuk melindungi mereka? Apakah ada pengecualian lupus kereta, atau diberikan diskaun beli kenderaan baharu pada harga asas, atau subsidi penyenggaraan. Semuanya masih dalam situasi krik krik lagi.
Akhir kalam, semua ini sembanggggg....
Leave a Reply