HYUNDAI Motor dan Kia Motors bakal memperkenalkan teknologi pengecasan bumbung solar untuk beberapa produk automotif jenama itu selepas 2019. Produk itu kelak akan menggunakan panel solar yang dimuatkan dalam bumbung atau bonet kereta, dan menyokong kenderaan daripada jenis pembakaran dalaman, hibrid dan elektrik (EV).
Ini secara tidak langsung akan meningkatkan kecekapan bahan api, memberikan tenaga elektrik tambahan dan menambah jarak perjalanan sesebuah kenderaan yang menggunakan sistem berkenaan.
BACA >>> Jalan Berkuasa Solar, Bercahaya Dalam Gelap Atasi Masalah Penunggang, Pejalan Kaki
Teknologi pengecasan solar dibangunkan untuk menyokong sumber kuasa utama kenderaan, menambah baik perbatuan dan mengurangkan emisi CO2. Sistem tersebut akan memiliki kemampuan mengecas bateri kenderaan elektrik dan hibrid, termasuk enjin konvensional jenis pembakaran dalaman yang membantu meningkatkan tahap kecekapan bahan bakar.
TIGA JENIS SISTEM CAS
Ada 3 jenis sistem pengecasan bumbung solar yang dilaporkan sedang dibangunkan dua jenama automotif dari Korea Selatan itu.
Sistem generasi pertama akan diaplikasikan pada model hibrid, dan dihasilkan dalam bentuk struktur panel solar silikon yang disepasukan dalam bumbung kereta standard. Sistem ini mampu mengecas 30-60 peratus bateri sepanjang hari normal, bergantung keadaan cuaca dan faktor alam sekitar.
Sistem generasi kedua ialah bumbung solar untuk kenderaan pembakaran dalaman, yang juga kali pertama menggunakan teknologi seumpama ini. Teknologi semi transparen boleh disepadukan dengan bumbung panoramik, yang membenarkan cahaya masuk ke dalam kabin, dan pada masa sama mengecas bateri kenderaan. Sistem pengecasan solar untuk kenderaan konvensional dapat membantu menghasilkan kenderaan yang kurang menghasilkan pencemaran CO2.
Akhir sekali, sistem generasi ketiga yang buat masa ini diuji dan direka untuk bateri EV dan aka dimuatkan pada bonet dan bumbung kenderaan tersebut bagi memaksimumkan output tenaga.
"Pada masa depan, kami jangka ada banyak jenis teknologi jana elektrik berbeza yang disepadukan pada kenderaan kami. Bumbung solar ialah yang pertama untuk teknologi ini dan automobil tidak lagi pasif dalam menggunakan tenaga, tetapi akan mula menghasilkannya secara aktif," kata Naib Presiden Eksekutif Divisyen Kejuruteraan dan Rekabentuk Hyundai Motor Group, Jeong-Gil Park yang juga membangunkan teknologi tersebut.
BACA >>> Hyundai Patenkan Visor Matahari dengan Indikator Lampu Isyarat
"Ini ialah pembangunan yang mengujakan bagi kami, merekabentuk teknologi untuk pemilik kenderaan dalam membantu mereka beralih daripada pengguna tenaga kepada penghasil tenaga," katanya lagi.
Teknologi generasi pertama akan dilancarkan selepas 2019 dan akan membantu pengeluar itu memenuhi sasaran peraturan global dan menambah baik kecekapan bahan api.
Leave a Reply