SEMAKIN hari semakin banyak kita disajikan dengan pelbagai teknologi pintar dalam dunia automotif. Dalam artikel Ford Ranger baharu lalu, kami ada menyebut tentang teknologi bantuan pemanduan seperti Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Amaran Lencong (LDW) dan Kawalan Jelajah Adaptif (ACC) yang kini dimiliki trak pikap popular itu.
BACA >>> 16 Fakta Pantas - Ford Ranger Serba Baharu Kini di Malaysia, Harga Bermula RM91k
Di peringkat antarabangsa, Ford sudah melakukan banyak projek teknologi pintar sama ada sedang dibangunkan atau sudah siap dimuatkan pada model kenderaan di bilik pameran. Ford Focus baharu misalnya mempunyai teknologi lampu utama yang begitu canggih.
PEMANDUAN MALAM LEBIH SELAMAT
Bagi sesetengah orang, pemanduan malam begitu sensitif. Di sinilah Ford nampak peluang untuk menjadikan produk keretanya lebih selesa dan selamat. Melalui Focus baharu, Ford menjadi pengeluar pertama dunia memperkenalkan teknologi yang menggunakan papan tanda dan garisan jalan sebagai indikator untuk melaras pencahayaan lampu supaya jalan depan lebih terang.
Sistem berkenaan berfungsi melebarkan suluhan cahaya lampu apabila kenderaan menghampiri bulatan supaya pemandu dapat melihat lebih jelas pengguna jalan raya lain seperti pejalan kaki dan penunggang basikal.
BACA >>> Mazda i-ACTIVSENSE [SIRI 2]: Memandu Malam Lebih Tenang dengan Kawalan Suluh-Tinggi (HBC)
Ia juga boleh melaraskan pergerakan lampu utama ke kiri atau kanan mengikut garisan jalan supaya pemandu dapat melalui selekoh dengan selamat. Sistem ini atau dikenali sebagai Sistem Lampu Depan Adaptif (Adaptive Front Lighting System - AFLS) yang menggunakan teknologi kamera dan lampu bagi mencerap garisan jalan.
Teknologi pergerakan lampu sudah lama wujud cuma kini lebih canggih apabila menggunakan kamera dan lampu berbanding pergerakan stereng pemandu. Sistem lampu utama pintar itu juga dapat mengelak pengguna jalan terkena silauan lampu dengan ciri Lampu Suluh Tinggi Bebas Silau (Glare-Free Highbeam -GFH).
Jadi, pemandu tidak perlu lagi merendahkan lampu tinggi apabila berselisih dengan kenderaan lain. Lebih menarik, pemandu juga tidak perlu menukar lampu tinggi secara manual apabila melalui jalan kosong.
TEKNOLOGI CANGGIH
Selain itu, kamera depan Ford Focus baharu juga canggih dengan pelbagai fungsi berguna. Dengan cerapan diambil, teknologi dimiliki mampu membantu mengekalkan kereta dalam lorong atau laluan yang betul, sekali gus mengekalkan jarak selamat dengan kenderaan depan selain memberi amaran jika pemandu tersalah masuk lorong di lebuh raya.
Kamera dipasangkan pada cermin depan di bawah cermin pandang belakang yang mampu mengawasi papan tanda dan garisan jalan di depan pada jarak hingga 65 meter.
BACA >>> Ford Paten Teknologi Kesan Penunggang Motosikal di Garisan Tengah Jalan
Walaupun teknologi masa kini sudah serba canggih, Ford masih tidak berhenti dan terbaharu sedang membangunkan teknologi yang menggunakan kamera infra merah untuk mengesan manusia, penunggang basikal dan haiwan dengan ketinggian hingga 120 meter.
Leave a Reply