KERAJAAN nampaknya nekad melancarkan Projek Kereta Nasional Baharu (PKNB) menerusi mandat diberikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Kumpulan Kerajaan-Industri Malaysia Bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) sebagai entiti penyelaras projek tersebut.
Mandat diterima MIGHT itu dimaklumkan dalam sidang media di Cyberjaya, pagi tadi yang dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof, dan Presiden dan Ketua Eksekutif MIGHT, Datuk Dr Mohd Yusof Sulaiman.
PKNB dikatakan berupaya membantu memacu pembangunan negara dan menyokong industri hiliran lain, sekali gus mewujudkan keseimbangan ekonomi. Keputusan itu juga dibuat selepas menilai potensi industri pembuatan yang masih kekal sebagai sektor penting dalam ekonomi Malaysia sebagai asas ekonomi menarik dan kompetitif peringkat antarabangsa.
BACA >>> #SembangDeras: Projek Kereta Nasional 3.0 - Psstt... Kau Jangan Percaya Sangat!
Mohd Redzuan berkata, PKNB mampu memulihkan industri automotif tempatan dan menyokong industri komponen dan alat ganti yang memacu syarikat kecil dan sederhana (SME).
Menurutnya lagi, usaha memperkenakan platform pembuatan automotif teknologi tinggi akan menyediakan peluang kepada syarikat dan usahawan tempatan untuk meneroka perniagaan baharu, termasuk meningkatkan pengetahuan dalam pelbagai bidang kejuruteraan seperti pemprograman komputer, mekanikal, elektrikal dan elektronik menerusi pemindahan teknologi yang berlaku.
Sementara itu, Dr Mohd Yusof pula berkata, PKNB berpotensi memacu tranformasi dalam industri pembuatan dan menguatkan keupayaan kejuruteraan. Justeru katanya lagi, MIGHT memainkan peranan menjelaskan kepentingan pelaksaan PKNB dalam merancakkan pembangunan dan pembinaan negara.
MIGHT turut diberikan mandat sebagai penyelaras dalam menjalinkan kerjasama dengan kementerian Kerajaan, agensi, industri dan akademi dalam usaha menjayakan projek kereta nasional tersebut.
MALAYSIA SEBAGAI NEGARA INDUSTRI 4.0
Berdasarkan laporan 'Readiness for the Future of Production' (Kesediaan untuk Masa Depan Pengeluaran) yang diterbitkan Forum Ekonomi Dunia (WEF) awal tahun ini, hanya 25 negara meraih manfaat baik dalam era Industri 4.0, dan Malaysia ialah salah satu daripada negara itu.
Malaysia kini berada pada kedudukan ke-20 untuk Structure of Production (Struktur Pengeluaran) dan ke-22 untuk Drivers of Production (Pemacu Pengeluaran).
BACA >>> Kereta Nasional Ke-3? Ya, Ini Betul-Betul, Bukan Cubaan!
Unjuran dibuat ke atas 100 negara berdasarkan kesediaan setiap negara menghadapi pengeluaran pembuatan masa depan itu, termasuk menilai apa yang boleh dilakukan pembuat dasar dan peneraju perniagaan untuk meraih peluang dan cabaran mendatang.
Menariknya, Malaysia dimasukkan dalam 'Mighty Five' yang bakal menjadi negara pembuatan teratas menjelang 2020, menurut US Council on Competitiveness. Ia merujuk kepada 5 negara Asia Pasifik, terdiri daripada Malaysia, India, Thailand, Indonesia dan Vietnam yang diramalkan menjadi 15 negara teratas dalam pembuatan berdaya saing menjelang 5 tahun akan datang.
KESIMPULAN
Daripada sidang media yang berlangsung pagi tadi, secara kasar dapatlah kita simpulkan bahawa projek kereta nasional ketiga atau PKNB kini sah dilaksanakan Kerajaan. Kita juga diperkenalkan dengan entiti MIGHT yang akan mengambil peranan menyelaraskan projek berkenaan.
Cuma, kita masih samar-samar tentang bagaimana PKNB akan dilaksanakan? Adakah menumpukan kereta (fizikal dan berjenama) baharu semata-mata, ataupun ada projek sampingan pembuatan alat ganti dan komponen berkualiti pada harga kompetitif (baca: murah). Ataupun PKNB itu ialah projek kenderaan elektrik atau hibrid?
Setakat diketahui tadi, PKNB khabarnya tidak akan menggunakan dana Kerajaan dan akan dibina berasakan platform modular yang mampu menghasilkan banyak segmen kenderaan berbeza. Malah, ia tidak akan bersaing secara langsung dengan Proton dan Perodua yang lebih bersifat konvensional, sekali gus memberi bayangan pembangunan kenderaan jenis autonomi atau semi autonomi daripada jenis hibrid atau elektrik.
Menariknya prototaip dijangka siap tahun depan dan pengeluaran dibuat seawal 2020. Wow! Kenapa cepat? Ini kerana teknologi dimiliki sekarang mewajarkan pembangunan dilakukan dengan lebih pantas.
Apapun, semuanya masih samar-samar selagi tiada prototaip di depan mata. Apa yang pasti ialah kemunculan entiti MIGHT sebagai penyelaras PKNB dan manfaat yang akan Malaysia dapat menerusi projek nasional tersebut. Isunya sekarang, projeknya bagaimana? Jeng jeng jeng...
Leave a Reply