DUNIA automotif hari ini segar dengan persaingan dalam segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) kelas kompak seperti Honda HR-V, Mazda CX-3 dan Toyota C-HR. Selain segmen baharu itu, saingan trak pikap saiz sederhana juga meriah seperti Toyota Hilux, Ford Ranger, Mazda BT-50, Isuzu D-Max, Nissan Navara dan Mitsubishi Triton.
Itu belum lagi dikira lagi model yang tidak dibawa masuk ke Malaysia seperti Volkswagen Amarok, Honda Ridgeline, Mercedes-Benz X Class dan Fiat Fullback. Semua model disebut itu memang popular di pasaran masing-masing.
Apa yang menarik tentang segmen trak pikap saiz sederhana ialah projek rebadge yang sudah jadi praktis industri. Hari ini ramai bersembang tentang bagaimana Mercedes-Benz menggunakan semula Nissan Navara sebagai X-Class, tetapi faktanya, Mitsubishi sebelum itu sudah lama berkecimpung dalam metod sama.
TRITON GAYA BAHARU
Contohnya, Triton generasi ke-5 dijenamakan semula sebagai Fiat Fullback untuk pasaran Eropah dan Ram 1200 (Timur Tengah). Walaupun Triton sangat kuat dengan elemen Mitsubishi, tetapi Jepun tidak menghalang ia digunakan semula pengeluar Itali dan Amerika Syarikat (AS).
Tidak dinafikan, Triton sejak generasi ke-4 mempunyai rekabentuk di luar kebiasaan dengan imej lebih kepada model kereta sedan berbanding trak yang lebih bersegi dan maskular.
BACA >>> Masalah Enjin Idle-Up Mitsubishi Xpander Cuma Perlu Kemas Kini ECU
Kini, selepas tiga tahun di pasaran, nampaknya ada sesuatu menarik bakal ditampilkan Mitsubishi apabila foto Triton dengan balutan penyamaran bertebaran di alam maya. Gambar Triton sedang dipandu uji dikesan di Australia dan Eropah dan ia begitu mudah dicam sebagai model Mitsubishi.
Jadi, apakah tandanya?
Ya, tidak lain tidak bukan ialah rupa depan Dynamic Shield, iaitu identiti Mitsubishi seperti terdapat pada Pajero Sport, Xpander dan Outlander. Wajah signatur yang garang dan moden itu bakal digunakan pada Triton baharu.
Penampilan terbaharu ini pasti menggembirakan peminat trak pikap itu kerana rupa depan Pajero Sport sememangnya menjadi antara modifikasi popular di kalangan pemilik Triton. Malah, bukan saja dibikin ke atas Triton generasi ke-5, tetapi juga model generasi ke-4. Sudah jadi seperti trend.
BACA >>> Apakah Pro dan Kontra Mitsubishi Eclipse Cross (2018)?
Menambah lagi keghairahan ialah Mitsubishi sudah pun mengedarkan foto bayangan Triton dengan wajah Dynamic Shield! Nampak ala Mitsubishi Xpander dengan rupa depan Dynamic Shield yang bakal melebarkan lagi saingan segmen trak pikap sederhana.
Persoalannya, adakah anda berada dalam kem gaya agresif dan urban seperti Triton, atau lebih gemar gaya konservatif seperti Toyota Hilux?
Leave a Reply