PENYENGGARAAN ialah asas penjagaan motosikal yang sangat penting dan sering diambil mudah pemilik. Ada yang langsung tidak peduli tentang tempoh servis berkala dan tidak kisah tentang pemeriksaan motosikal sampai kepada tahap asalkan boleh jalan.
Sama seperti kenderaan bermotor lain, motosikal juga perlu disenggara. Bukannya payah pun, jika anda amalkan 5 tip mudah di bawah ini, anda bukan saja mampu menjimatkan masa atas jalan, tetapi juga mengurangkan risiko motosikal rosak tiba-tiba.
Jadi, lakukan 5 tip mudah senggara motosikal ini supaya kenderaan anda dapat berkhidmat lama dengan memberikan prestasi optimum sepanjang masa.
1. PERIKSA TEKANAN ANGIN TAYAR
Tayar motosikal penting untuk memastikan anda dan pembonceng selamat. Tekanan angin tayar motosikal yang mencukupi mempengaruhi prestasi pengendalian, brek dan pecutan motosikal. Sebaliknya tayar yang kurang angin memberikan impak besar terhadap keselamatan tunggangan.
Amalkan memeriksa tekanan angin, dan kondisi tayar setiap seminggu sekali atau sebelum menunggang. Periksa tanda kerosakan, lusuh, pecah, rekah dan retak. Minimum ketebalan bunga tayar bagi motosikal 50cc ialah 1mm. Tekanan angin untuk tayar pula boleh dibaca dalam buku manual.
2. PASTIKAN ENJIN SEJUK
Cecair seperti penyejuk atau coolant dan minyak perlu diperiksa dan diganti baharu dengan kerap bagi meningkatkan prestasi dan jangka hayat motosikal. Buku manual ada menyarankan jenis minyak yang boleh digunakan, bergantung perbatuan dan variasi suhu.
Pastikan enjin tidak panas sebelum menambah coolant untuk elak berlaku keretakan akibat perubahan suhu mendadak. Sekiranya enjin terlalu panas, anda berisiko tercedera. Jadi, gantikan cecair penyejuk sebelum memulakan perjalanan atau tunggu hingga enjin sejuk.
3. MINYAKKAN RANTAI KETIKA MASIH PANAS
Pastikan rantai berada pada tahap kendur yang betul (sekitar 1 inci setiap rantai). Rantai terlalu tegang boleh menyebabkan kerosakan ke atas roda dan bering kotak gear. Tambah pelincir atau minyak rantai sebaik saja pulang berkonvoi ketika motor masih panas supaya boleh diserap rantai ketika enjin sejuk. Jangan lupa bersihkan rantai setiap kali menukar minyak.
BACA >>> #ApaNakBuat: 7 Tip Senggara Rantai Motosikal yang Perlu Anda Ikut
4. PASTIKAN LAMPU BERFUNGSI BAIK
Kerap memeriksa lampu ialah amalan yang sangat bagus demi keselamatan penunggang. Jika lampu rosak atau pecah, itu bermakna motosikal anda berbahaya ditunggang dan berisiko tinggi ditahan polis. Walaupun mentol dalam keadaan baik, tetapi perumah lampu mungkin terkumpul debu dan kotoran. Pastikan dicuci atau dilap sekerap mungkin.
5. PERIKSA BATERI
Bagi mengelak sebarang masalah atau kegagalan kuasa, periksa bateri sebulan sekali. Bersihkan terminal dengan berus dawai dan pencuci khas untuk mengelak kakisan berlaku. Jika mahu bajet, boleh saja cuci gunakan soda bikarbonat atau minuman Coca-Cola, tetapi pastikan dibilas sebersihnya. Elakkan bahan kimia kuat.
BACA >>> #TahukahAnda: Benarkah Coca-Cola dan Kereta Bersahabat Baik?
Pastikan penutup lubang isi air bateri ketat supaya tidak dimasuki bahan cuci. Selepas benar-benar kering, boleh semburkan bahan anti-karat pada terminal untuk elak pembentukan kakisan. Kerap menunggang jarak dekat dan sekali sekala bergerak jauh ialah cara terbaik memastikan bateri motosikal dicas baik.
SUMBER: MoreBikes
Leave a Reply