PROTON Holdings Berhad (Proton) dan Zhejiang Geely Holding Group (Geely) hari ini menandatangani perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mewujudkan usahasama yang akan membuka jalan kepada Proton untuk memasang dan memasarkan kenderaan jenama itu di China.
Kedua-dua pengeluar memegang ekuiti sama dalam syarikat usahasama (JVC) baharu itu yang belum lagi diberikan nama.
DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) berkata, usahasama tersebut melibatkan penubuhan kilang pengeluaran di China yang akan memasang kenderaan, dan membangunkan rangkaian pengedar untuk memasarkan produk Proton di China.
BACA >>> Apa Geely Sudah Buat kepada Proton Sejak Jadi Rakan Strategik Asing?
Portfolio kereta untuk pasaran China tersebut akan dibina berasaskan platform Geely dengan rekabentuk luaran hasil sentuhan Proton sendiri. Bagaimanapun, mana-mana platform Proton yang sesuai boleh dibangunkan sebagai model unutk pasaran Negara Tembok Besar itu.
Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM yang juga Pengerusi Proton, Datuk Sri Syed Faisal Albar berkata, kemasukan Geely’s sebagai rakan strategik membuka laluan mudah buat Proton untuk memasuki pasaran China.
“ Peranan Geely ialah memastikan kelulusan lesen pembuatan dan kawal selia yang diperlukan untuk usahasama di bawah undang-undang China. Geely juga akan mengenal pasti lokasi sesuai untuk membina kilangan pembuatan," katanya.
Syed Faisal berkata lagi, vendor komponen Proton sedia ada yang berkualiti dan kompetitif juga mungkin dipertimbangkan sebagai pembekal untuk syarikat JV, dan ini seleras dengan hasrat Kerajaan Malaysia yang mahu pembuat komponen buatan negara turut terlibat dalam pasaran China.
Buat masa ini, PanduLaju difahamkan kerjasama ini akan melibatkan model kenderaan elektrik sahaja dan ia akan dipasarkan untuk pasaran China. Sama ada ia bakal memasuki Malaysia atau tidak, kami masih belum menerima sebarang maklumat.
GEELY CATAT PERTUMBUHAN
Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sebelum ini menyuarakan rasa kesal berikutan kurang eksport kereta Malaysia ke pasaran serantau walaupun jenama China, Korea dan Jepun dengan mudah memasuki pasaran negara ini.
Jualan kereta penumpang di China mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan sejak sedekad lalu. Pada 2008, 6.78 juta kenderaan penumpang dijual di China, dan meningkat lebih 24 juta pada 2017. Geely jelas sekali menjadi peneraju dalam sektor ini dengan menjadi pengeluar kereta milik persendirian pertama di China yang menjual lebih 1 juta unit kenderaan untuk pasaran domestik dalam masa setahun.
BACA >>> Rekabentuk Proton Akan Tampil Unik dan Berbeza daripada Geely - Peter Horbury
Pada 2017, lebih 1.24 juta junit terjual, meningkat 5.06 peratus, manakala dalam 6 bulan pertama 2018, Geely meraih jualan lebih 125,000 unit setiap bulan dengan model Boyue melepas aras 20,000 unit sebulan kecuali Januari tahun ini (30,000 unit). Kenderaan utiliti sukan (SUV) versi tempatan dijangka dilancarkan di Malaysia pada suku ketiga 2018, menjadikan ia satu-satunya SUV pertama Proton.
Sasaran awal Proton-Geely dalam usahasama baharu itu bagi separuh tahun pertama 2019 ialah mendapat kelulusan semua perundangan sebelum mengorak langkah lebih jauh.
Majlis tandatangan MoU disempurnakan antara Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Geely, An CongHui dan Syed Faisal. Ia turut disaksikan sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Duta China di Malaysia, Bai Tian dan Pengerusi Geely, Li Shufu.
Leave a Reply