MASIH setia menanti Yamaha R15? Nah, kami ada khabar gembira untuk anda!
Jika ada pembaca masih ingat, awal tahun ini kami pernah bertanya kepada Pengarah Urusan Hong Leong Yamaha Malaysia (HLYM) sendiri, Datuk Jim Khor sama ada Yamaha R15 v3 versi terbaharu akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia atau tidak.
Jawapan beliau ketika itu sedikit mengecewakan; "Masih dalam tempoh ujian, belum ada keputusan." Walhal kelibat jentera sukan 150cc itu sudah kerap dilihat atas jalan raya sejak diintip peminat setia jenama Jepun itu sejak hampir setahun lalu.
Namun, baru-baru ini timbul desas-desus kuat mendakwa Yamaha R15 v3 bakal berada di pasaran tidak lama lagi.
Menurut sumber boleh dipercayai lagi, street naked 150cc popular Yamaha, iaitu FZ150i sudah mula dihentikan pengeluaran bagi memberi laluan kepada model sportbike R15 ini. Mungkin ini berita kurang enak kepada peminat jentera 'separa sport' jimat minyak itu.
Namun, dalam pasaran automotif yang kecil seperti Malaysia, tidak sukar untuk mencari alasan kenapa FZ150i terpaksa dikorbankan. Selain perlu berentap sengit dengan Modenas Pulsar NS200 yang lebih berkuasa, dan dalam julat harga bawah RM10,000, FZ150i juga bersaing dalam barisan jentera Yamaha sendiri seperti kapcai Y15ZR yang mendominasi pasaran motosikal praktikal prestasi tinggi kelas 150cc.
BACA >>> #SembangDeras: Yamaha R15 Tidak Muncul Sebab Tidak Macam Buat Kuih
Dengan pengenalan model sport R15, kami tidak menolak andaian model itu akan lebih berdaya saing memandangkan pesaing terdekat cuma sportbike Modenas, Pulsar RS200. Dalam braket harga yang dianggarkan kira-kira RM12,000 hingga 13,000, tidak diragui ada perbezaan kuasa ketara dengan enjin 200cc milik Pulsar RS200 yang nyata lebih bertenaga apabila dibandingkan dengan motosikal 150cc lain di pasaran.
Namun kami yakin, pengaruh jenama Yamaha itu sendiri, termasuk rekabentuk seksi bergaya berserta teknologi dimiliki untuk versi R15 terbaharu ini (seperti VVA, fork depan USD), ia pasti mampu menambat hati mereka yang mahukan sportbike aras mula berjenama terkenal dengan bajet sekitar RM15,000 ke bawah.
Desas-desus ini juga dikuatkan lagi dengan kenyataan daripada staf pemasangan HLYM yang mendakwa model sportbike 150cc itu sudah pun mula dipasang di Sungai Buloh. Jika benar pemasangan tempatan sudah bermula (yang bukan import), ini bermakna R15 kemungkinan besar sudah hampir bersedia dilancarkan dalam masa terdekat.
Apa kata anda, boleh percaya atau tidak?
SPESIFIKASI
YAMAHA YZF-R15 V3.0
ENJIN: Penyejukan cecair, 4-lejang, SOHC, 4-injap, suntikan bahan api (Fi), silinder tunggal, petrol
KAPASITI ENJIN: 155.1cc
TRANSMISI: 6-kelajuan, klac multiplat jenis basah
CASIS: Frem Delta Box
KUASA MAKSIMUM: 19.04hp @ 10,000rpm
TORK MAKSIMUM: 14.7Nm @ 8,500rpm
DIMENSI panjang x lebar x tinggi : 1,990mm x 725mm x 1,135mm
TINGGI PELANA: 815mm
JARAK RODA: 1,325mm
BERAT: 137kg
TANGKI: 11 liter
TAYAR & RODA: 100/80-17M/C 52P (depan); 140/70-17M/C 66S (belakang); Rim Aloi 17 inci, Tayar Tanpa Tiub (tubeless)
BREK: Cakera Tunggal 282mm (depan); Cakera Tunggal 240mm (belakang)
SUSPENSI: Teleskopik Terbalik (USD) (depan); Monoshock (belakang)
LAMPU: Lampu Depan dan Belakang LED, Lampu Signal Kristal (kiri dan kanan), Lampu Posisi
CIRI MUDAH & SELESA: Penghidup Elektrik, Peg Kaki pembonceng, Lampu Nampak (pass light), Pelana Terpisah, Bar Hendal Pembonceng, Suis Mati Enjin
KONSOL INSTRUMEN: Digital - Spidometer, Takometer, Meter Trip, Odometer, Tolok Minyak, Indikator Gear
BATERI: Bebas Senggara, 3.5Ah (10H), 12V
saravanan says
tak ada ABS! tak pe tak nak. SKIP.
Azam says
Yamaha Slaz (Thailand) atau xabre (indon) tak bawa masuk ke?...