HARI terakhir menjelang 1 Syawal 1439 Hijrah ini, ramai perantau sudah mula berpusuan meninggalkan ibu kota seperti mana Ramadan yang berbaki sehari lagi bakal pergi meninggalkan kita.
Ada pulang ke desa dengan kereta baharu berseri-seri, plastik pembalut kusyen pun tidak dicabut lagi. Tidak kurang juga memilih pengangkutan awam; kereta api, kapal terbang, bas atau feri. Tidak kisahlah, asalkan selamat tiba ke destinasi.
Motosikal? Mana boleh dilupakan. Inilah jentera pilihan popular anak muda sejak zaman berzaman setiap kali tiba musim beraya. Kalau tidak berkonvoi beramai-ramai pergi beraya rumah kawan-kawan, sepupu sepapat, dan makwe yang pernah sekelas dan sekolah sama pada Hari Raya memang tidak sah.
Namun, dalam keriangan, jangan pula dilupakan mereka yang terpaksa mengambil risiko menunggang motosikal pulang ke kampung halaman kerana itulah satu-satunya alternatif yang mereka ada. Mari kita imbau kembali kisah mereka ini yang pernah mewarnai media sosial menjelang Syawal lalu.
1. IBU + 2 ANAK | YAMAHA LC135 | KUANTAN - TAIPING (~495KM)
Tidak sanggup melihat wajah sugul dua anaknya di pagi raya, ibu tunggal ini nekad menempuh perjalanan lebih 6 jam berbekalkan motosikal Yamaha LC135 sahaja untuk pulang ke kampung halaman. Netizen prihatin yang menjumpai pasangan anak beranak ini bagaimanapun memberikan bantuan dengan menumpangkan anak-anaknya sepanjang perjalanan dari Gambang ke hentian Genting Sempah sebelum berpisah haluan.
2. BAPA + 3 ANAK | HONDA EX-5 | SEPANG - PULAU PINANG (~412KM)
Mungkin nampak mengerikan apabila melihat anak-anak ini berhimpit atas motosikal bapa mereka yang sempit itu, tetapi mungkin inilah satu-satunya pilihan yang ada. Menurut sumber, lelaki ini, yang juga berkhidmat sebagai 'runner' tukar tiub tayar motosikal, membawa tiga anaknya pulang ke kampung halaman di Pulau Pinang utnuk menyambut Raya yang bakal menjelang. Dia juga dilihat menaiki motosikal sama apabila pulang semula ke rumah mereka di Sepang.
Ada baiknya apabila kisah lelaki ini diviralkan kerana menurut sumber, dia kemudian menerima sumbangan sebuah kereta daripada insan prihatin yang tidak dikenali. Rezeki anak-anak...
BACA >>> #ApaNakBuat: 7 Perkara Anda Perlu Buat Sebelum Balik Raya ke Kampung
3. TUAN + KUCING (TWINY) | YAMAHA LAGENDA 110 | SHAH ALAM - IPOH (~210KM)
Dalam duka, ada suka. Gelagat kucing manja ini yang kelihatan tenang menumpang bahu tuannya yang menunggang motosikal pulang beraya sangat mencuit hati. Menurut tuannya yang baru berusia 23 tahun, kucing peliharaannya itu, bernama Twiny, memang sudah biasa menunggang motosikal bersama, hinggakan kucing itu lebih selesa duduk di belakang bahu dan bukan dalam bakul depan. Menurut pemuda itu yang menunggang lebih 6 jam ke Ipoh dari Shah Alam, dia akan berulang alik semula bagi mengambil si abang Twiny pula, Tony untuk pulang ke kampung halamannya. Maknanya, 2 trip perjalanan adalah sejauh ~600km. Wow!
Kebanyakan pemilik haiwan peliharaan memang sedia maklum, haiwan-haiwan ini tidak dibenarkan dibawa bersama dalam pengangkutan awam. Jadi kesanggupan tuan kucing ini menempuh perjalanan jauh berulang kali memang patut dipuji dan diberikan tabik hormat. Pasti tidak ramai yang sanggup apabila mengenangkan 'anak bulus' mereka yang terpaksa ditinggalkan Raya ini 🙂
Leave a Reply