LOTUS masih tidak menghasilkan model serba baharu sejak Evora pada 2009, tetapi dijangka berubah dalam beberapa tahun akan datang. Pastinya Lotus bakal mendapat banyak manfaat sejak dimiliki pengeluar automotif dari China, Geely yang memiliki kedudukan kewangan lebih stabil selain turut memiliki Volvo.
Hasilnya, pengeluar Britain itu akan melancarkan dua model sport baharu menjelang 2020 dan salah satunya bakal menggantikan model Elise atau Evora, manakala satu lagi ialah model baharu yang berorientasikan trek. Kemudian, kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama jenama iitu akan menyusul pada 2021 atau 2022.
Buat masa ini, Lotus hanya akan mengeluarkan edisi istimewa untuk model sedia ada. Tahun lalu menyaksikan penampilan Exige Cup 430 yang ekstrem, dan kali ini muncul pula adiknya dalam versi lebih jinak dan lebih mesra jalanan. Digelar Exige Sport 410, model sport ringan terbaharu Lotus itu mewarisi komponen trek Exige Cup 430 yang menyaksikan naik taraf signifikan berbanding 350.
PEMANDUAN ATAS JALAN TERBAIK
Menurut Lotus, Exige Sport 410 direka untuk pemanduan jalanan terbaik yang tidak mampu dicabar pesaing lain dalam kelas sama. Kereta sport ini dilengkapi casis, suspensi dan trenkuasa termaju yang sama seperti saudaranya, Exige Cup 430 yang lebih menumpukan kepada pemanduan trek.
Di sebalik bonet ialah enjin 3.5L supercas V6 daripada Exige Cup 430 yang ditala semula, dan dikalibrasikan untuk menghasilkan kuasa 410hp (7,000rpm) dan tork 420Nm. Kuasa dihasilkan disalurkan kepada transmisi manual 6 kelajuan nisbah rapat.
BACA >>> Alahai, Comelnya Helmet Kucing Buatan Lotus Ini!
Exige Sport 410 dilengkapi peredam nitron boleh laras 3 tahap yang ditala semula supaya sesuai untuk tetapan aerodinamik baharu. Selain berkongsi rekabentuk sama seperti Exige Cup 430, model ini dibangunkan untuk menjana 149.6kg daya bawah (downforce). Bahagian depan dirombak dengan gril lebih lebar, tirai udara gentian karbon dan spliter depan. Perubahan itu juga ada pada Sport 350.
NISBAH KUASA-BERAT TERBAIK
Dengan berat kering 1,054kg, Exige Sport 410 memberikan nisbah kuasa kepada berat (power-to-weight) terbaik dalam kelas dengan kuasa 389hp bagi setiap tan, menjadikan kereta ini sebagai model Exige V6 paling ringan. Berat juga dikurangkan menerusi penggunaan sistem ekzos titanium, iaitu sebanyak 9.9kg.
Komponen gentian karbon dapat dilihat menerusi penutup sil, bumbung, instrumen meter dan lid bampar. Fizikal ringan membolehkan Exige Sport 410 memecut 0-100kmj sepantas 3.3 saat dengan kelajuan tertinggi 289kmj. Walaupun dibangunkan untuk pemanduan jalanan, model ini turut menawarkan opsyen trek seperti ciri cut-off elektrik dan kawalan pemadam api.
BACA >>> Lotus 3-Eleven 430 - Tetap Penanda Aras Baharu Kereta Sport dengan Nilai Wang
Tiada beg udara, termasuk pada roda stereng, harnes 4-poin dan sangkar oleng (roll cage) patuh FIA turut dipasang. Ruang dalaman terhidang roda stereng Alcantara dan kerusi sport gentian karbon Lotus, juga dengan opsyen Alcantara dan kulit atau trim kulit penuh dengan sulaman kontras.
Pek warna untuk ruang dalaman memberikan kemasan kontras, penyaman udara dan pemanas keliling, material karbon untuk kerusi eyelet dan bezel tingkap elektrik. Penyaman udara dan sistem hiburan bersepadu seperti iPod dan konektiviti Bluetooth juga disediakan. Harga Exige Sport 410 di Britain bermula £85,600 (RM458,045).
SUMBER: CarBuzz
Leave a Reply