MASIH ramai berdegil dan buat tidak peduli tentang bahaya menggunakan telefon pintar sambil memandu. Kononnya mereka sudah cukup cekap dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Sedangkan kemalangan boleh berlaku dalam masa beberapa saat saja, sepantas mengelipkan mata.
Tetapi, spesies pemandu begini, selagi kemalangan tidak menimpa diri sendiri, selagi itulah dia akan menganggap apa dilakukannya itu bukanlah perkara serius sangat yang perlu dikecohkan.
Artikel Sembang Deras kali ini, kami kongsikan status Facebook milik penulis, Khairul Abdullah tentang pengalamannya yang sempat menyaksikan kemalangan membabitkan seorang pemandu cuai akibat menggunakan telefon sambil memandu. Semoga menjadi iktibar buat kita semua.
* Status di bawah sudah disunting secara minimal tanpa menjejaskan maksud asal penulis. Tulisan asal boleh dibaca pada pautan di akhir artikel. Gambar sekadar hiasan. Harap maklum.
Kisah akak 'pecah muka' ketika main handphone sambil memandu.
Ini kejadian petang semalam ketika saya pulang daripada kerja. Waktu puncak, kenderaan bertali arus. Sekejap bergerak, sekejap berhenti. Tiba-tiba terdengar hon bertalu-talu. Jenguk cermin belakang dan nampak ada mat motor sedang acu 'jari tengah' kepada sebuah kereta, selang sebuah di belakang saya.
Saya terus memandu, dan jalan sesak kembali di hadapan. Saya berhenti, kereta belakang pun berhenti. Mat motor tadi lalu melewati saya dengan muka tak puas hati.
Tiba-tiba, "BAMMMM!" bunyi dentuman kuat di belakang. Usai saya pandang saja cermin belakang, "BAMMMMM!" bunyi kali kedua kedengaran apabila kereta saya pula dihentam.
Allah. Allah.
Saya ke tepi dan berhenti lalu keluar. Kereta di belakang saya juga ke tepi dan keluar sambil bergegas buka pintu belakang. Nampak beliau sedang mengeluarkan anaknya. Saya terus pergi ke kereta dia dan tanya, semua OK tak? Takut apa-apa terjadi ke atas anak perempuannya yang berusia sekitar 5 tahun.
"OK bang, tak ada apa, terkejut je ni," jawab lelaki tersebut.
Mujur anak dia duduk dalam car seat. Selamat beb, kalau jenis berdiri melompat-lompat tu, memang nahaslah. Bahagian belakang kereta dia remuk teruk. Memang kuat gila bunyi berlanggar tu. Saya lantas pergi ke kereta yang melanggar kami, masih di tengah jalan. Bahagian depan remuk teruk, berasap, air menitis dan memancut.
Nampak seorang akak sedang kaku. Saya buka pintu nak tengok keadaan dia.
Allahuakbar!
Darah penuh muka, hidung dan mulut. Baju turut lencun dengan darah. Badannnya menggeletar akibat terkejut.
"Kak, kak. Akak OK ke?" tanya saya.
Dia tak dapat jawab. Bibir menggeletar dipenuhi darah. Muka juga penuh darah. Terdengar tangisan berserta air mata mengalir deras, sederas darah yang mengalir keluar daripada hidungnya.
Beg udara dah pecah, begitu juga telefon yang pecah dan skrin retak seribu, tanpa penutup, tanpa bateri yang terpelanting entah ke mana. Saya lantas menyuruh lelaki bersama anak perempuan tadi untuk telefon ambulan. Orang ramai mula berhenti dan datang menghampiri. Kemudian kami bersama tolak kenderaan akak tadi ke tepi.
"Tadi ada motor hon-hon kat dia, abang. Siap tunjuk jari lagi," beritahu seorang lelaki yang bekerja di tepi lebuh raya yang sedang dibina.
"Ohhh, mat motor tu hon kat dialah ye? Saya perasan juga tadi," tanya saya minta kepastian.
"Ye bang, mat motor tu marah sebab akak tu ke kiri kanan hampir nak langgar dia. Akak tu main telefon," jelas lelaki itu lagi.
Nah.
......
Jadi boleh tak kau bayangkan?
Telefon depan muka, kau tengah layan WhatsApp, lepas tu kemalangan dan serta-merta beg udara terbuka, lepas tu hentam tangan bersama handphone terus ke muka kau.
Laju dan kuat, kau tau tak?
Boleh kau bayangkan tak betapa kuat handphone tu hentam muka kau sampai cedera teruk begitu sekali? Cuba kau bayangkan kuat tak kuat sampai skrin telefon boleh pecah dan retak seribu serta penutup, termasuk bateri tertanggal.
Cuba kau bayangkan darah mengalir laju keluar daripada hidung, keluar daripada luka-luka di bahagian muka, dahi dan mata. Nak buka mata pun tak boleh.
Cuba kau bayangkan darah mengalir keluar daripada mulut bersama air liur dan gigi depan kau hilang 3 batang. Nak bercakap pun tak boleh sebab darah bersembur keluar bila kau buka mulut.
Cuba kau bayangkan tangan kau menggeletar, badan kau menggeletar, jantung kau berdegup kencang dan fikiran kau melayang teringatkan mak, ayah, suami, isteri atau anak-anak.
Boleh bayangkan semua tu?
......
Jadi, kepada semua yang suka guna telefon ketika memandu tu, kau hadamkanlah ye. Selagi tak kena, selagi tu kau rasa ia tak akan berlaku kat kau. Tapi bila dah kena, maka terlambat dah.
Kalau nasib baik, kau masih boleh main telefon lagi lepas tu. Kalau nasib tak baik mungkin kau makan minum guna strawlah buat beberapa ketika. Atau kalau lebih teruk, sedar-sedar dah 'maarobbuka'-lah. Waktu tu apa pun tak boleh.
Tak salah kalau lepaskan sekejap handphone tu barang sejam dua ketika memandu pulang. Kau simpan hendphone tu dalam glove box. Kau dengar radio sudahlah. Ada orang menunggu kau di rumah tu.
Faham.
Sekian.
KHAIRUL ABDULLAH
#mentalitimasihjamban
Leave a Reply