PELUMBA negara, Hafizh Syahrin yang baru direkrut sebagai rookie MotoGP 2018 menamatkan ujian pramusim di Litar Antarabangsa Losail, Qatar di tempat ke-22 dengan catatan masa 1:56.731 dan 58 pusingan. Rakan sepasukan , Johann Zarco berada di kedudukan ke-4 dengan masa 1:55.186, 52 pusingan.
Pelumba asal Selangor itu bermula di petak ke-16 dan pada satu masa berada di kedudukan ke-14 daripada 22 pelumba. Ujian hari pertama itu, yang juga ujian rasmi keempat bagi Hafizh jelas menunjukkan dia mula serasi dengan jentera M1 dan krew Tech 3.
BACA >>> Hafizh Sah ke MotoGP Wakili Pasukan Monster Yamaha Tech 3!
Mengungguli sesi ujian pertama ialah Maverick Viñales (Movistar Yamaha MotoGP) 1:55.053, mengatasi Andrea Dovizioso (Ducati Team) dan Andrea Iannone (Team Suzuki Ecstar).
VR46 MAHU BERLUMBA LAGI
Sementara itu, hero tua, Valentino Rossi (Movistar Yamaha MotoGP) dalam satu temu bual menyatakan hasratnya untuk terus berlumba dua tahun lagi, iaitu hingga 2020. Kenyataan itu mungkin menjawab spekulasi beliau akan bersara dan mengetuai pasukan satelit Yamaha berikutan pengumuman bos Tech 3, Herve Poncharal yang tidak lagi akan bersama Yamaha, musim depan.
“Saya tidak sangka Ponchara tinggalkan Yamaha. Kami pernah fikirkan dan ia peluang hebat, tetapi dalam dua tahun akan datang kami tidak akan tubuhkan pasukan MotoGP dengan Yamaha," kata Rossi.
Pelumba Itali itu mengakui ada banyak projek bakal dilakukan selepas dia berhenti berlumba, tetapi bukan dalam masa sebelum 2020.
"Saya mungkin berlumba lagi dua tahun, harapnya kita akan bercakap tentang pasukan itu kemudian apabila saya berhenti. Tetapi bukan 2019 atau 2020," katanya lagi.
Selepas Marc Marquez menyambung kontrak dua tahun dengan Repsol Honda Team beberapa hari lalu, dan disusuli Maverick Viñales (Movistar Yamaha MotoGP) mengumumkan masa depannya dengan Yamaha Team, apakah Rossi juga akan melakukan perkara sama?
SUMBER: MotoGP
Leave a Reply