PANAS! Panas ! Panas! Pelumba sensasi kita, Hafizh Syahrin sah bakal beraksi dalam kejuaraan MotoGP bersama pasukan barunya, Monster Yamaha Tech 3 sekali gus menamatkan teka-teki mengenai status terkini anak muda kelahiran Selangor itu.
Hafizh, yang terkenal dengan julukan Pescao, akan muncul dengan jentera baharunya, Yamaha YZR-M1 dalam ujian pra musim kedua di Buriram, Thailand, minggu depan. Ujian pertama baru saja selesai minggu lalu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan pasukan Yamaha Tech 3 ketika itu menggunakan khidmat pelumba World Superbike (WorldSBK), Yonny Hernandez untuk pelumba ganti kepada Jonas Folger yang menarik diri dalam saingan musim ini.
BACA >>> Hafizh Syahrin Bakal ke MotoGP? Kini dalam Senarai Utama Pasukan Yamaha
Status terkini Hafizh itu dilaporkan portal MCN, dan turut disahkan menerusi nota Monster Yamaha Tech 3 yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Hafizh, beberapa jam tadi.
“Pertama sekali saya mahu berterima kasih kepada Herve Poncharal kerana beri saya peluang dan sudah tentu kepada seluruh pasukan Monster Yamaha Tech 3. Saya akan cuba yang terbaik sepanjang tiga hari di Thailand. Bagi saya, inilah impian jadi kenyataan untuk menunggang jentera MotoGP. Saya akui sangat gembira dapat peluang ini.
“Saya harap dapat memecut pantas untuk menunjukkan kepada semua apa yang mampu saya buat. Saya mahu berterima kasih kepada Razlan (pengurus SIC Team) dan semua yang menyokong yang membuatkan hal ini terlaksana. Saya cukup gembira dan mahu lihat ke Buriram kerana inilah kali pertama saya menunggang motosikal MotoGP. Saya tahu perlu banyak belajar tentang Yamaha YZR-M1, dan bersemangat untuk faham bagaimana pasukan ini bekerja kerana tahu mereka sangat berpengalaman. Saya mahukan banyak input daripada mereka Semasa musim sejuk lalu, saya banyak berlatih dan harap kerja keras ini berbaloi. Saya tidak sabar untuk mulakan ujian.
BELUM 100 PERATUS SAH?
Walaupun sumber MCN mengesahkan Hafizh sebagai pengganti Folger, tetapi ketua pasukan Yamaha Tech 3, Poncharal pula menyatakan catatan masa di Thailand nanti akan menentukan nasib pelumba Moto2 itu.
Menurut Poncharal, selepas ujian di Sepang, pasukan Yamaha Tech3 sudah melakukan banyak rundingan sebelum memutuskan memilih Hafizh dan yakin dia mampu menonjolkan keupayaannya.
“Dia masih muda, baru 23 tahun, sudah beberapa kali naik podium Moto2, dan itu bukan mudah. Dia menamatkan saingan dalam kelompok 10 pelumba terbaik dalam saingan Moto2 2017. Itu pencapai hebat kerana saya tahu betapa sukar kategori tersebut.
"Seperti saya selalu cakap, memiliki pelumba muda adalah sangat bermakna bagi pasukan ini berbanding memiliki pelumba yang sudah ada nama. Mari lakukan yang terbaik, saya sudah cukup teruja dan optimis, selepas Buriram kami akan segera buat keputusan akhir (Let’s do the test, I’m already full of excitement and optimism and really soon after Buriram we will take a final decision). Terima kasih kepada Razlan Razali daripada SIC, sebagai pengurus Hafizh," kata Poncharal.
Kenyataan akhir Poncharal itu seakan memberi bayangan tentang keputusan yang dicapai Hafizh di Buriram bakal menjadi penentu nasibnya dalam saingan MotoGP kelak. Ayuh doakan hero kita!
KREDIT FOTO: Hafizh Syahrin Pescao55
Leave a Reply